Sunday, December 20, 2009

SALAM MAAL HIJRAH - TAHNIAH BUAT ABG FIKRI DAN SKUAD IMPUTARA





Assalamualaikum.. sahabat dan sahabiah sekalian...

Walaupun dalam keadaan genting bagi kami di bumi Mesir ini dengan bahang peperiksaan yang hampir tiba lebih kurang sebulan sahaja lagi namun saya cuba untuk menyempatkan diri ini meng'update' blog ini.

PERKARA PERTAMA

Sahabat dan sahabiah sekalian..

Kullu Am Wa Antum Bilkhair saya ucapkan bagi menyambut Tahun Baru Islam 1431 Hijrah ini. Seringkali kita akan mengingati kisah dan sejarah bulan Muharram yang mulia ini setiap tahun. Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan penulisan ini dengan mencatat sejarah dan kisah yang sering kita dengari pada saban tahun. Ingin saya ungkapkan kepada sahabat dan sahabiah tentang satu perkara sahaja yang akan merangkumi semua perkara terhadap niat dan azam kita.

Saya bila mendengar ucapan dari Fadhilatus Syeikh Sayyid Syaltut As-Syafie dalam siri pengajian Minhaj At-Tholibin pernah Fadhilatus Syeikh menyelitkan ucapan selamat tahun baru kepada kami semua. Dalam ucapan yang ringkas itu Fadhilatus Syeikh menyatakan agar setiap tahun keimanan dan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul kian bertambah. Ini sahaja ucapan Syeikh buat anak didiknya. Saya tersentak. Ucapan ringkas tapi padat dan penuh isi yang tersirat bagi mereka yang berfikir. Memang benar ulama' mempunyai ucapan yang manis sehingga menusuk kalbu dan memecahkan kotak pemikiran sekiranya kita berfikir. Apa yang boleh saya sebutkan adalah ulama' kita menyeru agar kita sentiasa meningkatkan taqarrub kita kepada Allah S.W.T dan tanamkan perasaan kecintaan kepada baginda Muhammad S.A.W setiap masa dan detik. Tambahan di awal-awal tahun ini kita memasang niat dan azam yang pelbagai. Ingatlah sahabat dan sahabiah sekalian niat dan azam yang utama kita adalah akan berusaha sedaya upaya dalam menghambakan diri kepada Allah 'Azza Wa Jalla serta berniat dan berazam akan mencontohi kekasih Allah S.W.T iaitu Nabiyyuna Muhammad S.A.W dalam setiap langkah dan pergerakkan bagi menyusuri kehidupan ini.

Disamping itu barulah kita memasang pelbagai niat dan azam. Sebelum saya terlupa saya juga menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian untuk terus menuntut ilmu dan memperlengkapkan diri dalam pelbagai kemahiran serta niatlah ilmu ini adalah untuk diamalkan. Sering kita ingat bahawa "ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah". Niatlah dan azamlah ilmu ini untuk kita curahkan kepada masyarakat yang senantiasa menanti kepulangan kita. Ringkas saya katakan bahawa cuba tanam dalam diri kita yang kerdil ini untuk memperjuangkan islam dimana jua kita berada dan di mana jua posisi dan kedudukan kita.

"Salam Maal Hijrah, Selamat Tahun Baru dan Salam Perjuangan."

PERKARA KEDUA

Ucapan Tahniah buat Abang Fikri yang berjaya dalam bidang yang beliau ceburi sekarang sebagai Pengarah Urusan Bahagian IMP UTARA. Alfu Mabruk juga buat rakan seangkatan dalam IMP UTARA ( http://imputara.co.cc/ ) yang ramainya adalah kelulusan Al-Azhar As-Syarif dan lebih membanggakan anak-anak Kedah yang pernah terlibat dalam persatuan MKKK di Perlembahan Nil ini.

Semoga menjadi contoh dan tauladan serta semangat kepada kami yang masih di bumi anbiya' ini. Ingatlah bahawa kita mampu mengubah jika kita berusaha untuk berubah. Banyak bidang dan posisi di medan yang memerlukan dan menantikan kepulangan kita. Yang di Malaysia selamat meneruskan perjuangan berbakti kepada agama bangsa dan Negara. Bagi yang di Mesir teruskan usaha tingkatkan semangat untuk mencapai tahap ilmu,akademik dan pengetahuan setinggi yang mungkin bagi persiapan untuk terjun dalam masyarakat kelak.

"Doakan kami semua najah dalam imtihan di dunia dan akhirat".


Akhukum Fillah,
Abu Bakar Bin Razak
Haiyu Sabeik, Madinah Nasr, Kaherah.
10.37 Malam
20 Disember 2009.

Friday, December 11, 2009

JOM STUDY 10 JAM SEHARI - TARGET MUMTAZ SEMUA MADAH


SEBULAN SETENGAH.Satu jangka masa yang panjang. Satu jangka masa yang sangat keemasaan bagi individu pelajar yang tahu erti mahal detik masa yang berlalu.Saya sebelum ini di dalam majlis-majlis motivasi yang dianjurkan oleh pihak PMRAM atau (Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) pernah melaungkan kepada para pelajar sekalian satu slogan "Satu Hari 10 Jam Study".

Selepas daripada slogan ini saya warwarkan,sempat juga saya bertanya kepada beberapa orang teman sama ada mereka dapat menyambut baik seruan ini atau tidak. Tapi nampak gayanya agak meleset."Satu Hari 10 Jam Study" adalah satu slogan yang retorik?Saya sendiri terfikir, mengapa para pelajar agak payah untuk menyambut slogan ini?Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari.

Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Takkan satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan.

Kesimpulan:
Tidur : 6 Jam
Study : 10 Jam
Aktiviti lain: 8 Jam
Jumlah : 24 Jam

Adakah masih belum cukup 8 jam berbaki untuk kalian habiskan dengan aktiviti buang masa kalian? Takan masih mahu jadi seperti bayi yang tidur berjam-jam. Kalau masih mahu study hanya 1 jam sehari atau kurang atau hanya 2 jam atau 3 jam atau ...., memang kalian adalah spesis manusia tidak bersungguh dalam Mengejar Pelangi.

Saya harap slogan ini disambut baik oleh kalian semua. satu bulan setengah, satu waktu yang cukup panjang untuk kalian isi dengan aktiviti mentelaah ilmu. Waktu itu terlalu panjang untuk kalian mereka satu status pencapaian ilmu yang baik untuk peperiksaan mendatang.Semoga berjaya dan bersemangat.

Tambahan

Saya menyokong penuh slogan Al-Fadhil Akh Ustaz Hairul Nizam bagi meningkatkan pencapaian akademik mahasiswa/wi Malaysia di Mesir.

Sahabat-sahabiah harus mengambil slogan ini sebagai suatu cabaran dalam perbaiki diri masing-masing untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Masa masih ada dan belum terlambat. Jangan lagi leka dengan perkara yang tidak berfaedah. Tinggalkan lihaf anda. Ceraikan kemalasan anda. Talak 3 bagi melakukan perkara yang tidak memanfaatkan buat diri anda.

Saya ingin menambah satu lagi slogan yang seiring dengan "Study 10 Jam Sehari" iaitu " Mumtaz Semua Madah". Kedua-dua slogan ini sahabat-sahabiah akan lebih tekun dan pulun untuk mencapai kecemerlangan.

Ingatlah sahabat-sahabiah sekalian masa yang anda ada di Mesir begitu terhad. Gunakan sebaiknya dan manfaakan semaksimum mungkin. Peluang berada di bumi yang penuh dengan keberkatan para anbiya', para syuhada, para ulama' dan para auliya' ini begitu tinggi nilainya.

Disamping itu saya juga menyeru diri saya dan sahabat serta sahabiah untuk saling bantu membantu dan tolong menolong dan yang paling penting saling tegur menegur antara satu sama lain dalam usaha untuk sama-sama berkhidmat kepada masyarakat kelak dengan penuh kesatuan dan gelombang ilmu yang mantap.

Semoga kita semua mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

"Salam Imtihan" dan "Salam Perjuangan"

Abu Bakar Razak
Haiyyu Sabeik, Madinah Nasr, Kaherah
11 Disember 2009
2.37petang.

Wednesday, October 28, 2009

TEMURAMAH PARA MASYAIKH TERHADAP PROGRAM PEMBACAAN KUTUB SITTAH PMRAM











Sumber Asal : http://www.videonazrul.blogspot.com/

Akhukum
Abu Bakar Razak
28 Oktober 2009
1.32 petang, Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir Kaherah.

Sunday, October 25, 2009

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Berjaya, Tahniah PMRAM


Kaherah, 20 Oktober 2009 - Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir siri pertama melabuhkan tirai. Majlis yang telah berlangsung semenjak tiga hari yang lalu berlangsung dengan baik dan penuh harmoni tanpa ada sebarang cubaan sabotaj atau perbuatan khianat untuk menggagalkan majlis tersebut. Berbeza dengan keadaan tiga hari yang lalu, pihak penganjur iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir membuat keputusan mengadakan majlis penutupan Pembacaan Kutub Sittah siri pertama di Nadi Riadhi, Hayyu Sadis.

Dewan Nadi Riadhi, mula dibanjiri para peserta seawal jam 6.30 pagi dan pada hari yang terakhir para peserta kelihatan lebih bersemangat kerana hampir 98 peratus peserta mengenakan jubah putih bagi peserta lelaki dan tudung putih bagi peserta perempuan. Wajah berseri-seri dan penuh ceria dilihat pada semua peserta yang hadir pada majlis penutupan ini.

Majlis pembacaan Kitab Sahih Imam Bukhari dimulakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Rifaat Fauzi Abdul Mutalib bermula pada hadith yg ke 1466 dan diteruskan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Majlis Pembacaan Kutub Sittah diakhiri oleh al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani pada hadith yang ke 1788 tepat jam 5 petang. Turut bersama adalah al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani , al-Allamah Syeikh Jamal Farouq dan Syeikh Toha Dusuqi al-Hubaisyi.

Majlis penutupan diserikan dengan kedatangan para masyaikh dan ulama' terkemuka al-Azhar termasuk al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, al-Allamah Syeikh Jamal Farouq, Syeikh Toha Dusuqi al-Hubaisy, al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani, Syeikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr. Sa'ad Jawish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober, Syeikh Usamah Mahmud al-Azhari dan paling istimewa adalah kehadiran al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, Mufti Mesir.

Sebelum bermula muhadhrah bersama al-Allamah Mufti, para masyaikh menyampaikan amanat dan kata-kata pendorong kepada semua yang hadir pada majlis tersebut. Antara yang ditegaskan dan diharapkan oleh para masyaikh adalah agar majlis dan program sebegini diteruskan pada masa yang akan datang.

Penghujung majlis, setelah selesai sesi muhadharah bersama al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, sesi penghargaan kepada para masyaikh yang sudi meluangkan masa dalam menjayakan majlis ilmu ini dan majlis pengijazahan sanad kepada semua peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama anjuran PMRAM.

Disediakan oleh:
Sidang Wartawan,
Majlis Pembacaan Kutub Sittah, PMRAM
http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/

TAMBAHAN

1. Sebagai ahli biasa saya cukup bangga dengan pencapaian matlamat program yang dianjurkan oleh PMRAM ini.

2. Program atau majlis qiraah hadis yang telah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak hatta institusi-institusi di Mesir juga, doakan agar ianya berterusan.


3. Kesungguhan para Masyaikh membuatkan kita menitiskan airmata jika selepas daripada ini kita masih malas hendak menghadiri kelas pengajian.

4. Ikatan kita bersama ulama' terjalin teguh dan sesungguhnya inilah yang kita impikan memdapat tarbiah direct dari murabbi dan ulama' tersohor di bumi Mesir yang barakah ini.


5. Sedikit kecewa dengan isu yang timbul, namun buah yang berhasil dari usaha yang keras lebih lumayan dan amat berpatutan.


6. Harapan kepada PMRAM teruskan anjurkan majlis dan program pengajian dan talaqqi walaubagaimanapun jangan lupa program dan aktiviti yang lain agar dilihat stabil dan seimbang dalam semua perkara.

Gambar Kenangan :


Ketibaan Fadhilat Al-Mufti

Al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani

Syeikh Dr. Sa'ad Jawish

Al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani

Al-Allamah Syeikh Jamal Farouq

Syeikh Usamah Mahmud al-Azhari

Syeikh Ahmad Hajain



Akhukum,
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir, Kaherah
26/10/2009 , 7.07 pagi.

Monday, September 14, 2009

MUHADHARAH RAMADHAN BERSAMA PROF. DR. RIF'AT FAUZI


Prof Dr. Rif'at ketika di Konvo PMRAM

Marilah sama-sama kita hadir dalam Program Ifthor Jamaie & Munajat Perdana PMRAM 1430 H dan mengambil istifadah daripada muhadharah yang akan disampaikan oleh Syeikh Rif'at Fauzi antara ulama yang banyak mentahqiq Kutub Syafieyyah dan sering menjadi musyrif kepada mahasiswa master dan PhD di Universiti Kaherah.


Sempat saya menziarahi Dr. Rif'at di Kediaman beliau di Haiyu Sabiek bersama Mantan Presiden PMRAM 2008, Ust Khairul Anuar serta beberapa teman yang lain. Al-Fadhil Dr seorang yang mudah didampingi. Semoga kita juga mengikuti jejak langkahnya dalam memperkasa keilmuan islam dalam diri.



Saya dan rakan-rakan yang menziarahi beliau ketika di Maktabah milik beliau yang penuh dengan kitab-kitab yang pernah ditahqiqnya.Semoga kita juga berpeluang untuk muqarabah dan mulajasah bersama Prof Dr. Rif'at Fauzi.

Iklan Program :

Tarikh : 28 Ramadhan 1430 H bersamaan 18 September 2009
Hari : Jumaat
Tempat : Dataran Haiyu Asyir

"sibukkanlah dirimu dengan ilmu wahai penuntut ilmu"

Wednesday, September 9, 2009

HUMAITHARA YANG DIRINDUI

Maqam Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli

Kisah Kewafatan Syeikh Abu Hasan Asy-syazuli di Humaithara

Pada tahun 656 Hijrah, Syeikh Abu Hasan Asy-syazuli telah berangkat dengan rombongannya ke Mekah untuk menunaikan ibadat haji. Tetapi sebelum perjalanan itu dimulakan, Syeikh Abu Hasan Asy-syazuli telah berpesan kepada salah seorang daripada ahli rombongan itu, yakni Syeikh Madhi Ibn Sultan, yang merupakan pelayan khasnya, agar membawa beberapa alat untuk menggali kubur.

Syeikh Madhi Ibn Sultan telah merasa terperanjat apabila mendapat perintah yang sedemikian rupa, dan dia pun bertanyakan sebabnya. Maka telah dijawab oleh Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli "Tunggu sajalah. Di Humaithara (nama sebuah desa di padang pasir 'Aidhab) nanti, kita akan mendapat berita yang lebih pasti" Telah dilaporkan yang Syeikh Abu Hasan Asy-syazuli pernah bercerita yang ketika dia jatuh sakit, " wahai Tuhanku, bilakah saat pertemuan itu?" Maka telah diberitahu yang pertemuan itu (yakni pertemuannya dengan Allah, yang beerti saat kematianya) akan berlaku apabila sampai di Humaithara. Dia telah diberikan satu gambaran rohani yang dia akan mati di kaki sebuah bukit berdekatan dengan sebuah telaga yang mempunya air yang sedikit dan rasanya masin, tetapi air itu akhirnya akan bertukar menjadi bertambah banyak dan rasanya akan menjadi tawar.

Telah bercerita pula seorang anak lelaki kepada Syeikh Abu Hasan Asy-syazuli yang telah menyertai rombongan itu, yakni Syeikh Syarafuddin Abu Abdullah Muhammad : Turut menyertai kami ialah seorang budak yatim yang telah kematian bapanya, dan ibunya pula bekerja di rumah kami. Dia dibesarkan oleh keluarga kami.Ketika Syeikh mahu bertolak, dia telah menyuruh kami menyertainya, bersama-sama kaum wanita dan budak lelaki itu telah menunjukkan minat untuk menyertai kami. Syeikh telah menyuruh kami membawanya bersama. Ibu budak itu telah berjumpa dengan Syeikh dan telah berkata kepadanya " Ya Saiyidi, aku minta saiyidi berikanlah perhatian saiyidi kepadanya." Syeikh telah menjawab, " Kami akan menjaganya, InsyaAllah sehingga Humaithara."

Kami pun bertolak, dan apabila kami memasuki kawasan padang pasir, Syeikh dan budak lelaki itu telah jatuh sakit. Budak lelaki itu telah meninggal duni sehari sebelum sampai ke Humaithara. Kami telah berniat untuk mengebumikannya, tetapi Syeikh telah menyuruh kami membawa mayat budak lelaki itu ke Humaithara. Kami telah berhenti di Humaithara dan memandikan mayat budak lelaki itu, dan kami telah mengebumikan mayat itu di situ. Pada malam hari itu pula, rupa-rupanya, Syeikh sendiri yang telah meninggal dunia. Pada petang hari itu, dia telah mengumpulkan sahabatnya dan telah meninggalkan wasiat kepada mereka.

Di antara pesanannya yang terakhir ialah mereka disuruh sentiasa mengamalkan Hizb Al-Bahr, dan menentukan juga yang anak-anak mereka turut menghafalnya, kerana terkandung di dalamnya al-'ism al-a'zam. Selepas itu dia telah menyendiri bersama Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi untuk meninggalkan bebrapa wasiat khas kepadanya dan telah memilihnya sebagai pewaris barakah yang telah dia terima daripada Allah.Kemudian telah berpesan pula kepada para sahabatnya agar memilih Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi sebagai penggantinya, kerana menurutnya,Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi akan diberikan maqam yang besar, dan Syeikh Abu Al-Abbas Al-Mursi adalah " sebuah pintu dari pintu-pintu Allah".

Ketika hampir-hampir waktu magrib, dia telah berkata kepadaku, " Wahai Muhammad,isikan satu mangkuk dengan air dari telaga itu." Aku telah menjawab,"Ya Saiyidi, airnya masin dan pahit, tetapi air yang kami bawa adalah air tawar." Dia telah berkata ,"Bawakan aku airnya (air telaga itu), kerana apa yang aku inginkan lakukan bukanlah seperti yang engkau sangkakan. "Maka kami pun membawa semangkuk air.Dia telah meminum air itu, berkumur-kumur dan meludah ke dalam mangkuk itu. Kemudia, dia telah berkata kepadaku, "Tuangkan kembali air ini ke dalam telaga itu. "Aku pun menuangkan kembali air itu, dan dengan izin Allah,air itu telah tiba-tiba menjadi banyak dan rasanya telah menjadi tawar.

Dia telah menghabiskan masanya pada malam iu dengan beribadat dan berzikir. Aku telah mendengar dia menyebut, "Ilahi, Ilahi." Apabila waktu subuh tiba, dia telah menjadi senyap. Kami telah menyangka yang mungkin dia telah tertidur, dan telah menggoyang-goyangkan badannya. Rupa-rupanya dia telah meninggal dunia. Aku lalu memanggil Syeikh Abu Abbas Al-Mursi dan kami pun memandikan mayat Syeikh.Di antara mereka yang telah turut meyembahyangkan jenazahnya ialah Syeikh Badruddin Muhammad ibn Ibrahim ibn Jama'ah, yang beberapa tahun kemudian telah menjadi ketua Qadi (Qadhi Qudhah) di Mesir bagi Mazhab Imam As-Syafie. Telah bercerita Syeikh Abu Ishaq Ibrahim ibn Abdur Rafi' : Sebelum Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli bertolak untuk mengerjakan hajinya yang terakhir (di mana dia telah meninggal dunia dalam perjalanan), dia telah berkata kepada para sahabatnya, "Pada tahun ini,aku akan melakukan haji yang digantikan." Dia telah meninggal duni sebelum sempat mengerjakan hajinya.

Apabila para ahli rombongan sudah pulang ke Mesir (setelah tamat menunaikan ibadat haji), mereka telah bertanya kepada Syeikh 'Izzudin Abdul Aziz Abdus Salam mengenai kata-kata daripada Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli itu. Dia (yakni Syeikh 'Izzudin Abdul Aziz Abdus Salam) telah menangis dan telah berkata kepada mereka," Demi Allah, Syeikh telah memberitahu engkau sekalian tentang kematianya. Tidakkah engkau sekalian tahu bahawa sebenarnya Syeikh telah berkata yang malaikatlah yang akan menunaikan hajinya sebagai ganti? Ada sebuah hadis RasulallahS SAW yang bermafhum, " Sesiapa yang meninggalkan rumahnya dengan niat untuk mengerjakan haji, dan mati sebelum menyempurnakannya, maka Allah akan menggantikan tempatnya, yang akan menunaikan ibadat haji pada setiap tahun (sebagai ganti) sehingga hari Qiamat."

" Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli mempunyai beberapa orang anak lelaki yang telah digolongkan ke dalam barisan ulama' dan auiliya' yang disegani ramai. Tetapi, mereka tidak terpilih untuk menggantikan kedudukan ayah mereka. Sebaliknya,selepas Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli meninggal duni, Tarekat Asy-Syazuliyyah telah dipimpin oleh anak menantunya, yakni Syeikh Abu Abbas Al- Mursi, seperti yang telah diwasiatkan oleh Syeikh Abu Hasan As-y-Syazuli sendiri sebelum dia meninggal dunia. Ketika itu, Syeikh Abu Abbas Al-Mursi berumur 40 tahun.Dan apabila Syeikh Abu Abbas Al-Mursi pula meninggal dunia tiga puluh tahun kemudia pada tahun 686 Hijrah, Tarekat Asy-Syazuliyyah telah dipimpin pula oleh seorang anak murid kepada Syeikh Abu Abbas Al-Mursi yang bernama Syeikh Ibn Ato'illah Al-Iskandari.

Di antara anak-anak lelaki beliau adalah Syeikh Syihabuddin Ahmad, Syeikh Abu Hasan Ali dan Syeikh Syarafuddin Abu Abdullah Muhammad. Dan anak-anak perempuan beliau pula bernama Zainab dan Arifah Al-Khair. Dan kisah ini juga menandakan sifat rendah diri yang dimiliki oleh anak-anak kepada Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli, yakni mereka yang tidak melebihkan diri mereka atas orang lain. Dengan ikhlas, mereka telah menerima kelebihan Syeikh Abu Abbas Al-Mursi ke atas diri mereka, walaupun mereka juga termasuk ke dalam golongan Arbab Al-Ahwal Wal Maqamat.

Nukilan Dari Buku Mendekati Ulama' Dan Para Wali Allah Di Mesir
Disusun oleh : Ahmad Lutfi Bin Abdul Wahab Al-Idrisi Al-Linggi
Mukasurat : 560 -566

31 Ogos hingga 2 September di Bumi Humaithara

Alhamdulillah diberi kesempatan oleh Allah S.W.T untuk meneruskan pengajian bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki di kaki bukit Humaithara yang terletak di sempadan Negara Sudan.

Selama 2 hari di Humaithara. Pelbagai kenangan yang tidak dapat dilupakan. Walaupun belajar dalam keadaan panas cuaca yang bahang pada bulan Ramadhan namun terdapat halawah yang berbeza di bumi Kaherah.

Majlis Ta'lim dijalankan di Maqam Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli pada setiap petang dan malam. Syeikh memilih kitab Minhajul 'Arifin karangan Al-Imam Hujjatul Islam Abi Hamid Al-Ghazali untuk dikhatamkan sepanjang berada bi Humaithara.


Ketika di Jabal Humaithara :

Syeikh Nuruddin ketika di Jabal Humaithara

Di Jabal ini sempat Syeikh diskusikan sambungan bacaan kitab Minhajul 'Arifin dalam bab Ahkam. Bab yang menerangkan 'irabul qulub ataupun keadaan/ hal perihal hati. Yang terdiri padanya 4 jenis dan ceraian.


1. Raf'u / Marfu' : Hati yang sentiasa menaik dengan kekuatan dalam mengingati Allah tidak kira dimana jua berada(zikrullah) hati yang sentiasa berzikir kepada Allah Jalla Wa 'Ala. Dalam hukum yang pertama ini terdapat beberapa alamat atau petanda untuk mengenal hati seseorang itu adalah Rafa'. Pertama terdapat muafaqah kepada Al-Quran dan Al-Hadis. Kedua tidak mukhalafah terhadap Allah dan Rasul dan yang ketiga rindu yang berpanjangan serta berterusan.

2. Fathu/ Mansub : Hati yang tegak dan betul yang sentiasa beribadat kepada Allah dengan penuh keredhoan. Antara alamat dan petanda hati adalah mansub adalah yang pertama tawakkal kedua membenarkan dan yang ketiga yakin.

3. Khafdhu : Hati yang menurun yang terdapat padanya kesibukan dengan selain Allah. 3 alamat yang menunjukkan hati ini menurun adalah yang pertama 'ujub kedua riya' dan yang ketiga sibuk dengan kemewahan dunia.

4. Waqaf/ Mauquf : Hati yang terhenti atau yang terhalang oleh kerana lalai dan leka kepada Allah S.W.T. Antara alamat dan petanda hati ini kemanisan dalam ketaatan kepada Allah telah hilang, Tidak merasa pahit dalam melakukan maksiat yakni suka melakukan maksiat dan merasa samar dengan perkara halal yang telah ditentukan oleh Allah Taala.

Gambar kenangan penuntut limu bersama Syeikh Nuruddin dan Syeikh Ibrahim di Jabal Humaithara

Berqasidah di Jabal Humaithara

Tempat Penginapan :

Bangunan milik Jam'iyyah Tarekat Al-Hamidiyyah Asy-Syazuliyyah

Ruangan Bilik Yang Dilengkapi Bantal, Tilam dan Lihaf

Ifthor Beramai-ramai

Asrama Di Tingkat 3

Di Dapur ..

Daging Masak Merah Juadah Berbuka

Ust Yusri .. Chef Kami

Di Maqam Abu Hasan Asy-Syazuli :

Pengajian Berlangsung Petang dan Malam di Maqam

Beri Taklimat

Permandangan Sekitar Humaithara :

Friday, September 4, 2009

Barisan AJKT MKKK sesi 2007/2008

MAT MKKK Kali Ke 42 Pada 3 Oktober 2009 Sama-sama kita Jayakan

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah yang menjadi wadah kesatuan anak-anak Kedah di sini perlu meneruskan kesinambungan jawatankuasa peneraju untuk membawa MKKK dan memastikannya relevan dengan tuntutan semasa tanpa menggadaikan prinsip-prinsip utuhnya.

Justeru ahli-ahlinya akan bersidang di dalam Mesyuarat Agung Tahunan untuk mengoreksi perjalanan MKKK selama setahun iaitu sesi 2008/2009 dan memberikan komen membina seterusnya melemparkan cadangan bernas untuk persatuan yang didukungi bersama.

41 tahun MKKK melakar pelbagai sejarah dan kenangan. Pelbagai suka duka dirasai bersama. Namun kebelakangan ini, diri ini terasa dan seolah-olah amat risau akan kesinambungan peneraju MKKK mendatang. Mungkin ini hanya perasaan saya. Apa yang penting kita kena yakin bahawa adik-adik yang bakal memegang tampuk pentadbiran mampu dan akan lakukan lebih terbaik dari tahun-tahun sebelumnya.

MAT satu medan dan merupakan kewajipan buat ahli dalam membentuk kesatuan ini.Di sinilah tempat kita mengkritik kepimpinan, menyoal kerja-kerja Ahli Jawatankuasa Tadbir, mempersoalkan lompang-lompang yang berlaku dan yang paling penting mencadang, memberi idea serta buah fikiran agar sesi mendatang dapat melakukan dengan lebih terbaik.

Gambar-gambar sekitar MAT tahun lepas :

Dari Kiri Us Hamdan( Pengerusi Penasihat MKKK), Prof Dr Jamil Hashim
( Pengarah JPMK) dan Us Fadhil (YDP MKKK 07/08)


YDP Menunjukkan Sesuatu Kepada Perasmi

Penantian... Sidang Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke 41

Us Hasbullah (Setiausaha Agung MKKK sesi 07/08) Bangun Menjawab Persoalan

Harapan agar ahli MKKK dapat menghadirkan diri baik ikhwah baik akhawat. samada Kaherah mahupun cawangan. Mungkin kehadiran anda menjadi sinar buat kesatuan MKKK ini. Dengan idea dan cadangan yang dilemparkan bakal mengeluarkan tunas yang baik jesteru membuahkan natijah yang terbaik.

Akhukum Fillah
Abu Bakar bin Razak
Asrama Darul Aman Madinah Nasr Kaherah Mesir
4 September 2009, Jumaat
4.11 petang.



Friday, August 28, 2009

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Anjuran PMRAM


PMRAM Teruskan Baktimu

Satu organisasi yang tak pernah lekang dibibir-bibir mahasiswa mahasiswi yang menuntut di Bumi Mesir. Satu persekutuan yang telah lama menabur bakti sejak tahun 1930 lagi. Tidak dinafikan walaupun pelbagai halangan dan rintangan yang dihadapi oleh PMRAM namun ianya tetap dan terus kukuh.Saya yakin dan percaya sesiapa pun yang pernah mengenali PMRAM tahu akan kepentingan keberadaan PMRAM di Bumi Mesir bagi meneruskan misi dan visinya terhadap mahasiswa/wi seluruhnya.

Sekian lama PMRAM bertapak pelbagai jasa yang telah diberikan oleh PMRAM kepada masiswa/wi samada secara sedar dan tidak sedar. Lihatlah segala sudut sehingga saya boleh katakan tiada satu persatuan yang mampu berjalan dan bergerak sehebat PMRAM di Bumi Mesir ini.Tahniah PMRAM dengan keikhlasan perjuangan barisan pimpinan berjaya menobatkan PMRAM sebagai persatuan yang disegani.

Walaupun terdapat pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan PMRAM namun saya percaya mereka juga tidak sanggup mempertikaian jasa dan bakti PMRAM serta kemampuan PMRAM berdiri diatas kaki sendiri. Program yang besar dapat diatur dengan baik walaupun tiada peruntukan dari mana-mana pihak untuk PMRAM. Satu contoh dan tauladan buat semua. PMRAM tidak kira ahli atau tidak ahli isi borang atau tidak isi borang, PMRAM ini berjalan dan bergerak untuk semua mahasiswa/wi di Mesir. Ini hakikat yang saya kira tidak ada individu atau kumpulan untuk menyatakan tidak benar atas kenyataan ini.

Jika ingin dihurai,panjang kisah PMRAM ini dari 1930 hingga 2009. Namun ingin saya skopkan adalah peranan PMRAM dalam menjulang ilmu dan thaqafah yang menjadi matlamat utama mahasiswa/wi. Persekutuan ini mempunyai gelombang yang besar dalam membentuk suasana ilmiah terhadap sekian mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. PMRAM mampu mengubah suasana yang lesu yang mendatar dengan menganjurkan program mega yang dapat dirasai oleh semua orang.Ini kekuatan yang ada pada PMRAM.Jadi kekuatan ini diguna sebaiknya oleh PMRAM dalam menghidupkan suasana menyedarkan mereka yang leka dari menuntut dan mendalami ilmu.

Suka saya menyentuh mengenai program terdekat yang dianjurkan oleh PMRAM iaitu Majlis Pembacaan Sunan Sittah yang akan bermula dengan Sohih Bukhari pada Oktober ini.Majlis yang sekian lama dinantikan. Mengundang para masyaikh Al-Azhar As-Syarif. Mungkin boleh saya katakan ini bidayah yang baik yang bakal mencatat 1001 kebaikan pada masa mendatang. Dari permulaan ini pelbagai perkara akan tercetus demi menjulang ilmu dan thaqafah serta ketekunan mahasiswa/wi dalam menuntut ilmu.

Anjuran majlis tafaqquh seperti ini perlu diperhebatkan tanpa mengabaikan program-program yang lainnya. Bukanlah 100% bila mengikuti program kita akan faqih dan terus jadi ulama' namun terdapat isi tersirat terhadap penganjuran majlis ini. Saya cuba mencipta apakah isi tersirat itu.Pertamanya timbul kesedaran dan usaha dalam mencari dan mendalami ilmu. Keduanya menjalin hubungan erat antara PMRAM dan Al-Azhar itu sendiri. Dan yang ketiga membentuk biah ilmiah yang menjadi matlamat asal mahasiswa/wi ke Mesir.Mungkin ada lagi isi tersiratnya namun saya serahkan kepada pembaca untuk menafsirkannya sendiri. Apa yang saya hendak katakan adalah manfaat dan faedah serta kesan majlis yang bakal menjelang ini harapnya dapat dirasai bersama.Sama-sama kita doakan majlis ini berjalan dengan lancar.




PMRAM teruskan baktimu itu yang cuba saya ungkapkan buat sidang pembaca. Mahasiswa/wi kini seolah-olah memerlukanmu tetapi tidak mampu mengungkapnya dengan kata-kata.Rancanglah, susunlah dan aturlah setiap yang bermanfaat untuk disajikan buat mahasiswa/wi di Mesir ini. Ahli-ahli sedia menghulurkan tangan untuk menyambutnya.Dulu mungkin PMRAM dinafikan tetapi kini PMRAM diperlukan.

PMRAM teruskan baktimu sekali lagi saya katakan demi masa depan mahasiswa/wi yang bakal mencorak masyarakat, mengubah cara hidup yang tersimpang jauh dari landasan syariat dan membina tapak agar Islam yang syumul ini dijadikan cara hidup buat seluruh masyarakat khususnya di tanahair Malaysia yang kita cintai.

Salam Ramadhan.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar bin Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir , Madinah Nasr, Kaherah Mesir.
28 Ogos 2009M bersamaan 6 Ramadhan 1430H
3.23 petang.

Tuesday, August 25, 2009

Tokoh Tasawwuf Yang Agung


As-Sayyid As-Syeikh Abu Al Hasan As-Syazuli r.a (593H-656H/1197-1258M)

Nama dan Nasab
Nama beliau ialah Ali ibn Abdullah ibn Abdul Jabbar ibn Tamim ibn Hurmuz ibn Hatim ibn Qusoyy ibn Yusuf ibn Yusya’ ibn Warad ibn Battol ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Isa ibn Muhammad ibn Al-Hasan ibn Ali ibn Abi Talib r.a..

Gelaran
Taqiyyudin Abu Al-Hasan As-syazuli (dalam satu riwayat As-Syazili)

Tarikh dan Tempat Lahir
Beliau dilahirkan pada tahun 593 Hijrah bersamaan 1197 Masihi di sebuah kampung bernama Ghumarah, berdekatan dengan bandar Sabtah, Moroko.

Riwayat Ringkas Tentang Kehidupan

Semasa tinggal di Ghumarah, Abu Al-Hasan belajar menghafaz Al-Qur’an, ilmu-ilmu asas agama, ilmu sunnah nabawiyah dan sebagainya di bawah tarbiah dan ta’lim ulama’-ulama’ besar di zaman beliau.

Setelah itu beliau bermusafir ke kampung Fas untuk bertemu dengan seorang Sheikh sufi iaitu, As-Sheikh Abdullah bin Abil Hasan ibn Harazim (murid As-Sheikh Abu Madyan r.a.) dan memakai khirqah sufi daripada beliau.

Kemudian, beliau menuju ke Zawilah dan kemudiannya ke bandar Tunisia. Di sana, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam daripada ulama’-ulama’ besar di sana. Beliau bermazhab Maliki dalam fiqh Islami.

Di sana juga, beliau sempat berkumpul dengan para sufi yang merupakan anak-anak murid kepada Abul Madyan r.a., dan seterusnya terkesan dan tertarik dengan metodologi tarbiah sufiyah mereka.

Setelah itu, beliau bermusafir ke Iraq dan bertemu dengan As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a., yang merupakan khalifah bagi Sidi Ahmad Ar-Rifa’i r.a.. Beliau mengambil bai’ah daripada As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan sering mengikuti perhimpunan mereka. Imam Abu Al-Hasan r.a. sering berbincang dengan As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan kadangkala beliau (Abu Al-Hasan r.a.) bertanyakan tentang wali qutub di zaman tersebut.

As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a. berkata kepada beliau:” Kamu merantau dari Moroko menuju ke mari (Iraq) sedangkan wali qutub berada di tempatmu (Moroko).”

Seterusnya beliau pulang ke Moroko semula untuk mencari wali qutub yang dimaksudkan tersebut. Akhirnya beliau bertemu dengan wali qutub yang dimaksudkan iaitu As-Sheikh Al-Kabir Al-Wali Al-Qutub Abu Muhammad Abdul Salam ibn Masyish r.a..

Pertemuan pertama beliau dengan wali qutub Ibn Masyish r.a. ialah di atas sebuah bukit, takkala Ibn Masyish r.a. sedang bersendirian beribadah secara khusyuk di hadapan ALLAH s.w.t..

Setelah tamat perguruan dengan Ibn Masyish r.a. beliau disuruh untuk berdakwah di Afrika. Akhirnya, beliau bermusafir ke Afrika, dan tinggal di wilayah Syazulah yang mana kepada nama wilayah tersebutlah, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. dinisbahkan. Setelah itu, beliau tinggal di atas bukit bernama Za’wan.

Setelah itu pula, beliau bermusafir ke Tunisia dan nama beliau mahsyur di sana. Namun, ada individu yang dengki dengan beliau lantas menyebarkan fitnah terhadap Imam As-Syazuli r.a..

Imam As-Syazuli r.a. seterusnya memulakan perjalanan untuk mengerjakan haji di Makkah, dan setelkah itu menetap di Mesir selama 35 tahun.

Diriwayatkan juga bahawa, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. turut serta dalam peperangan di Mansurah, Mesir, takkala berlangsung perperangan antara tentera islam dengan tentera erancis di bawah pimpinan Raja Luis ke-9 (raja Perancis).

Kewafatannya

Pada tahun 656 Hijarah (bersamaan 1258 Masihi), beliau sekali lagi ingin bermusafir untuk mengerjakan haji. Namun, dalam perjalanan, dengan ditemani oleh khalifah beliau Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a., beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di tengah padang pasir ‘aizab di Humaisara, Mesir. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Setelah itu, khalifah beliau, Al-Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a. (yang juga merupakan menantu kepada Imam As-Syazuli r.a.) mengambil alih tugas memimpin anak-anak murid al-Imam as-Syazuli r.a., dan seterusnya menyebarkan manhaj tarbiah tarikat As-Syazuliah yang diberkati.

Semoga ALLAH s.w.t mencurahkan keberkatan ke atas penghulu tarikat As-Syazuliah r.a., dan memanfaatkan kita dengan keberkatan dan hembusan rohani beliau, amin...

Disusun oleh Al-Fadhil Ustaz Mukhlis @ Al-Faqir101
sumber : http://aidaqelantani.multiply.com/journal

IKLAN :
Program Ziarah & Daurah Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Tempat : Humaisara,Bahrul Ahmar (Maqam As-Sayyid As-Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli)
Tarikh: 31 Ogos hingga 3 Sepetember 2009.
Yuran penyertaan L.E 235.00 termasuk pengangkutan, penginapan & makanan.sila daftar segera..
Sila rujuk saudara shahir 0116945639 (ikhwah sahaja).

Rebutlah Peluang Keemasan ini.!!

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir , Cairo
26 Ogos 2009
5.36 pagi

Tuesday, August 18, 2009

Perbaharui Niat Serta Semangat


Sahabat-sahabiah azhari dan azhariah baca dan teliti berita ini. Alangkah gembiranya kalau rajin ke kuliah itulah ganjarannya. Tapi apakan daya azhar banyak bezanya.

Saya menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian walaupun tidak ada ganjaran serupa itu yang azhar berikan tapi ingatlah ganjaran jika kita rajin ke kuliah lebih dari apa yang diberitakan ini.

Suatu ganjaran yang tidak nampak di mata namun ianya mempunyai nilai berlipat kali ganda. Cuba sahabat dan sahabiah berfikir adakah sengaja azhar tidak mewajibkan pelajarnya ke kuliah? pelbagai jawapan dan tafsiran yang kita boleh rangkakan.

Saya tidak mempunyai jawapan untuk para pembaca sekalian. Namun saya yakin dan percaya sahabat dan sahabiah sefikrah dengan saya bahawa keberadaan kita setiap hari di kuliah adalah sesuatu yang amat bermanfaat.

Jadi sebagai peringatan untuk memasuki sesi yang baru di tengah-tengah bulan Ramadhan ini, maka sama-samalah kita mentajdid niat dalam pembelajaran dan pengajian di bumi ardil kinanah ini.Cuba kita letakkan azam yang kita tidak sesekali tinggal muhadharah bersama pensyarah-pensyarah di universiti.

Akademik sesuatu yang penting yang perlu kita pertahankan. Para azhari dan azhariah, dewasa ini sangat memerlukan intelektual yang boleh mengubah haluan masyarakat. Dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik mengikut lunas dan landasan syariat Allah.

Teringat pesanan abang-abang yang telah berjaya, " kuliah memang tidak mencukupi untuk kita bergelar al-faqih, tak dapat tidak kena usaha talaqqi dengan para masyaikh di luar kuliah yang pembelajarannya lebih daqiq(mendalam) dan menyeluruh, namun title,pangkat serta gelaran juga penting sebagai wasilah untuk mendepani masyarakat" katanya lagi " cuba kita perhatikan Imam Gazali dikenali dengan Hujjatul Islam, Imam Zakaria Al-Ansori digelar Syeikhul Islam, Imam Syafie digelar Nasirul Sunnah dan boleh dikatakan semua para ulama' ada gelaran dan pangkat. Tak kurang juga ada ulama' yang mempunyai gelaran lebih dari satu".

Ini menunjukkan gelaran dan pangkat juga penting dalam mendepani masyarakat walaupun kita faqih. Masalan kita digelar doktor, profesor, profesor madya dan lain-lain lagi. Gelaran dan pangkat ini tidak mungkin kita dapat melainkan keputusan peperiksaan yang membanggakan serta prestasi akademik kita yang baik.

Azhar telah menunjukkan manhaj yang terbaik. Jika kita perhatikan di universiti kita belajar mengikut sukatan dan silibus tetapi terdapat pengajian di luar universiti kadang-kadang pensyarah yang sama mengajar di masjid-masjid serta di tempat-tempat pengajian yang khusus dengan kitab turath dan kotemporari yang dibaca dari kulit ke kulit. Ini suatu manhaj yang perlu azhari dan azhariah sedar. Yakinlah bumi Mesir adalah gedung ilmu yang tidak pernah menyekat untuk sesiapa belajar dan mendalami ilmu di buminya.

Dengan azam dan semangat yang kuat serta istiqamah dalam menuntut ilmu dengan izin Allah kita akan menjadi insan yang digelar ulama' yang mewarisi para anbiya'.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman 2 Hayyu Asyir
2.59 pagi
19 Ogos 2009

Tuesday, July 28, 2009

Majlis Memperingati Peristiwa Israk Mi'raj Bersama Ulama'

Barisan Para Ulama' Yang Masyhur Di Mesir

Kesempatan di Bumi Anbiya' , Bumi yang dikatakan gedung ilmu ini perlu dimanfaat sebaik yang mungkin.Bumi yang melahirkan cendiakawan islam dan cerdik pandai dalam segenap perbahasan agama dari sekecil-kecil masalah sehingga sebesar-besar masalah serta dari pelbagai aspek keilmuan. Tidak dinafikan bahawa ulama' Al-Azhar dan Mesir adalah antara intelek islam yang menjadi sumber rujukan dunia.

Sempena bulan rejab yang mulia yang mana terdapat padanya satu peristiwa agung ketika mana Nabi Muhammad S.A.W bertemu dengan Allah Jalla Wa'ala untuk pensyariatan lima waktu sembahyang. Peristiwa yang dinamakan Israk Wal Mi'raj.Peristiwa yang mempunyai pelbagai pengajaran dan iktibar serta kisah yang perlu diingati oleh ummat manusia sepanjang zaman.

Penganjuran majlis memperingati peristiwa israk mi'raj diadakan di serata tempat. Jadi dengan kesempatan di ardil kinanah bumi yang penuh dengan keberkatan para anbiya', para auliya', para syuhada' dan para ulama' ini maka dianjurkan majlis dengan menjemput para ulama' sebagai penceramah dan pengisi.Ini adalah sesuatu yang begitu manfaat bila dapat mendengar kupasan peristiwa dan pengajaran dari israk mi'raj dari mulut mereka yang begitu mendalami ilmu dari ulama' yang berbangsa arab sendiri.

Suatu kelebihan dan istifadah yang banyak dapat diambil dari penyampaian para ulama' dalam menyingkap peristiwa yang agung ini.

Ceramah Isra' Mikraj Oleh Syeikh Asyraf Hamid Hasanain (Khatib dan Imam Masjid Soleh Ja'fari)
Hari : Isnin

Tarikh : 20 Julai 2009 M bersamaan 27 Rejab 1430 H

Masa : Selepas solat Maghrib

Tempat : Dewan Tasamuh wal Ikha', Asrama Darul Aman 3, Haiyu Sabiek. Anjuran : Badan Ilmiah dan Pengetahuan MKKK.

Syeikh Asyraf Hamid Hasanain

Saudara Bazli (UNIC) memperdengarkan ayat suci Al-Quran

Ustaz Osman mengetuai burdah


Sambutan Isra' Mikraj bersama Syeikh al-Allamah Al- Muhaddis Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kitani (Ulama' Agung Hadis)
Hari : Selasa

Tarikh : 21 Julai 2009 M bersamaan 28 Rejab 1430 H

Masa : 5.30 petang

Tempat : Dewan Tasamuh wal Ikha', Asrama Darul Aman 3, Haiyu Sabiek. Anjuran : Pejabat Rektor Al-Azhar kerjasama Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah MKKK.

Syeikh al-Allamah Al- Muhaddis Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith al-Kitani

Ustaz Doktor Jamal Faruq

Ustaz Doktor Mustafa Imarah

Ustaz Doktor Bakar Zaki 'Awad

Para Penuntut Ilmu bersalaman dengan Ulama'

Khidmat.. Jamuan selepas majlis

Memerhati apa yang kurang untuk Fadhilatus Syeikh


Ceramah Isra' Mikraj Oleh Syeikh al-Allamah al-Adib Dr Fathi Abdul Rahman Ahmad Hijazi( Pensyarah Kuliah Bahasa Arab Universiti Al-Azhar)
Hari : Khamis

Tarikh : 23 Julai 2009 M bersamaan 30 Rejab 1430 H
Masa : Selepas solat Maghrib

Tempat : Dataran Haiyu Ashir.

Anjuran : Lajnah Dakwah Dan Pembangunan Insan,Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM).

Syeikh al-Allamah al-Adib Dr Fathi Abdul Rahman Ahmad Hijazi

Makan Bersama Fadhilatus Syeikh selepas majlis

Syeikh Membacakan Doa

Presiden PMRAM menyampaikan hadiah kenang-kenangan


Akhukum Fillah
Abu Bakar Bin Razak
Asrama Darul Aman Haiyu Asyir Kaherah
29 Julai 2009
2.47 pagi