Tuesday, August 25, 2009

Tokoh Tasawwuf Yang Agung


As-Sayyid As-Syeikh Abu Al Hasan As-Syazuli r.a (593H-656H/1197-1258M)

Nama dan Nasab
Nama beliau ialah Ali ibn Abdullah ibn Abdul Jabbar ibn Tamim ibn Hurmuz ibn Hatim ibn Qusoyy ibn Yusuf ibn Yusya’ ibn Warad ibn Battol ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Isa ibn Muhammad ibn Al-Hasan ibn Ali ibn Abi Talib r.a..

Gelaran
Taqiyyudin Abu Al-Hasan As-syazuli (dalam satu riwayat As-Syazili)

Tarikh dan Tempat Lahir
Beliau dilahirkan pada tahun 593 Hijrah bersamaan 1197 Masihi di sebuah kampung bernama Ghumarah, berdekatan dengan bandar Sabtah, Moroko.

Riwayat Ringkas Tentang Kehidupan

Semasa tinggal di Ghumarah, Abu Al-Hasan belajar menghafaz Al-Qur’an, ilmu-ilmu asas agama, ilmu sunnah nabawiyah dan sebagainya di bawah tarbiah dan ta’lim ulama’-ulama’ besar di zaman beliau.

Setelah itu beliau bermusafir ke kampung Fas untuk bertemu dengan seorang Sheikh sufi iaitu, As-Sheikh Abdullah bin Abil Hasan ibn Harazim (murid As-Sheikh Abu Madyan r.a.) dan memakai khirqah sufi daripada beliau.

Kemudian, beliau menuju ke Zawilah dan kemudiannya ke bandar Tunisia. Di sana, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam daripada ulama’-ulama’ besar di sana. Beliau bermazhab Maliki dalam fiqh Islami.

Di sana juga, beliau sempat berkumpul dengan para sufi yang merupakan anak-anak murid kepada Abul Madyan r.a., dan seterusnya terkesan dan tertarik dengan metodologi tarbiah sufiyah mereka.

Setelah itu, beliau bermusafir ke Iraq dan bertemu dengan As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a., yang merupakan khalifah bagi Sidi Ahmad Ar-Rifa’i r.a.. Beliau mengambil bai’ah daripada As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan sering mengikuti perhimpunan mereka. Imam Abu Al-Hasan r.a. sering berbincang dengan As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan kadangkala beliau (Abu Al-Hasan r.a.) bertanyakan tentang wali qutub di zaman tersebut.

As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a. berkata kepada beliau:” Kamu merantau dari Moroko menuju ke mari (Iraq) sedangkan wali qutub berada di tempatmu (Moroko).”

Seterusnya beliau pulang ke Moroko semula untuk mencari wali qutub yang dimaksudkan tersebut. Akhirnya beliau bertemu dengan wali qutub yang dimaksudkan iaitu As-Sheikh Al-Kabir Al-Wali Al-Qutub Abu Muhammad Abdul Salam ibn Masyish r.a..

Pertemuan pertama beliau dengan wali qutub Ibn Masyish r.a. ialah di atas sebuah bukit, takkala Ibn Masyish r.a. sedang bersendirian beribadah secara khusyuk di hadapan ALLAH s.w.t..

Setelah tamat perguruan dengan Ibn Masyish r.a. beliau disuruh untuk berdakwah di Afrika. Akhirnya, beliau bermusafir ke Afrika, dan tinggal di wilayah Syazulah yang mana kepada nama wilayah tersebutlah, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. dinisbahkan. Setelah itu, beliau tinggal di atas bukit bernama Za’wan.

Setelah itu pula, beliau bermusafir ke Tunisia dan nama beliau mahsyur di sana. Namun, ada individu yang dengki dengan beliau lantas menyebarkan fitnah terhadap Imam As-Syazuli r.a..

Imam As-Syazuli r.a. seterusnya memulakan perjalanan untuk mengerjakan haji di Makkah, dan setelkah itu menetap di Mesir selama 35 tahun.

Diriwayatkan juga bahawa, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. turut serta dalam peperangan di Mansurah, Mesir, takkala berlangsung perperangan antara tentera islam dengan tentera erancis di bawah pimpinan Raja Luis ke-9 (raja Perancis).

Kewafatannya

Pada tahun 656 Hijarah (bersamaan 1258 Masihi), beliau sekali lagi ingin bermusafir untuk mengerjakan haji. Namun, dalam perjalanan, dengan ditemani oleh khalifah beliau Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a., beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di tengah padang pasir ‘aizab di Humaisara, Mesir. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Setelah itu, khalifah beliau, Al-Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a. (yang juga merupakan menantu kepada Imam As-Syazuli r.a.) mengambil alih tugas memimpin anak-anak murid al-Imam as-Syazuli r.a., dan seterusnya menyebarkan manhaj tarbiah tarikat As-Syazuliah yang diberkati.

Semoga ALLAH s.w.t mencurahkan keberkatan ke atas penghulu tarikat As-Syazuliah r.a., dan memanfaatkan kita dengan keberkatan dan hembusan rohani beliau, amin...

Disusun oleh Al-Fadhil Ustaz Mukhlis @ Al-Faqir101
sumber : http://aidaqelantani.multiply.com/journal

IKLAN :
Program Ziarah & Daurah Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Tempat : Humaisara,Bahrul Ahmar (Maqam As-Sayyid As-Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli)
Tarikh: 31 Ogos hingga 3 Sepetember 2009.
Yuran penyertaan L.E 235.00 termasuk pengangkutan, penginapan & makanan.sila daftar segera..
Sila rujuk saudara shahir 0116945639 (ikhwah sahaja).

Rebutlah Peluang Keemasan ini.!!

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir , Cairo
26 Ogos 2009
5.36 pagi

No comments: