Monday, April 6, 2009

SEJARAH 2003 KINI BERULANG


Sejarah 2003 Kini Berulang.

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah satu nama yang tidak dapat dipisahkan dari mahasiswa/wi Kedah yang sedang ataupun telah menamatkan pengajian di Bumi Anbiya' Mesir. Ringkasnya disebut MKKK. Pengalaman pahit suka dan duka dalam persatuan ini membawa seribu satu makna samada yang tersurat mahupun yang tersirat.MKKK jelas dari segi tafsiran maksud terhadap namanya yang ternyata diselitkan dua perkataan yang merupakan elemen penting dalam MKKK bagi melaksanakan peranannya itulah kebajikan dan keluarga.

KEBAJIKAN

Sesuatu yang mendalam dari pengamatannya. MKKK hingga kini melaksanakan kewajipannya terhadap anak-anak Kedah yang dinaunginya dari sudut kebajikan.Jika ingin dijelaskan apakah jenis kebajikan yang diberikan maka pelbagai huraian yang boleh diperkatakan.Apa yang penting adalah survival MKKK sebagai sebuah persatuan yang menjadi wadah anak-anak Kedah mesir perlu dijaga dan diteruskan.Soal masih kurang dari pelaksanaan ini adalah muhasabah diperingkat kepimpinan supaya memahami dengan jelas peranan masing-masing untuk melaksanakan sebaik dan semampu mungkin demi kebajikan ahlinya.

Kebajikan dengan ertikata yang berbagai menjadi fokus utama MKKK kepada ahlinya. Kadang-kadang pelbagai isu yang timbul yang perlu segera diselesaikan. Segenap permasalahan yang berlaku terhadap ahli maka MKKK bertanggungjawab untuk meleraikannya.Bahasa mudah untuk difahami dimana peranan MKKK sebagai badan kebajikan terhadap ahlinya adalah dari mula jejak kaki di lapangan terbang Mesir hinggalah langkahan terakhir untuk meninggalkan bumi Mesir.

KELUARGA

MKKK bergerak,berjalan dan terus membina keutuhan atas dasar kekeluargaan. MKKK mengamalkan sistem pentadbiran kekeluargaan dalam kepimpinan dan penyelesaian dalam sesuatu masalah. Kepimpinan bertindak sebagai si ayah dalam memimpin ahli yang bertindak sebagai anak-anak. Jadi atas sistem yang dibina inilah MKKK berdiri dengan perpaduan ahli-ahlinya dan kekuatan pandangan, idea serta pendapat dari ahlinya untuk meneruskan survival sebagai badan kebajikan dan kian maju yang juga sebagai badan yang bertanggungjawab dalam sebaran dakwah islamiah. Di Bumi Mesir bagi anak-anak Kedah tiada persatuan lain melainkan MKKK yang telah bertapak lebih dari 40 tahun. Peranan ini terus dimainkan oleh kepimpinan yang silih berganti.

Ingin diungkapkan didalam keluarga pelbagai karenah yang timbul kadang-kadang suka, kadang-kadang duka, tak kurang juga kadang-kadang bermasam muka dan kadang-kadang sedih apatah lagi kadang-kadang datang perasaan terasa namun demi ikatan kekeluargaan semua ini dapat diakhiri dengan keindahan dan kedamaian.Inilah hakikat keluarga. Kepimpinan memainkan tanggungjawabnya manakala yang dipimpin juga turut menunaikan tanggungjawabnya. Suasana ini amat harmoni andai kita praktikkan seratus peratus dalam kesatuan ini. MKKK kian mengorak pelbagai langkah mengikut suasana dan keadaan semasa. Inilah sebuah kesatuan.

Ingin menghurai panjang mengenai persatuan yang bernama MKKK ini. Namun kesempatan yang ada ingin memfokuskan mengenai sejarah yang berakhir pada tahun 2003 kini berulang.Perkara kecil dan simple namun kesannya amat mendalam bagi kepimpinan dan ahli MKKK.



Tanggal 04 April 2009

MKKK mengulangi sejarah Muhasabah Nisfu Sanah yang sekian lama tidak dilaksanakan. Sebenarnya muhasabah sebegini perlu termaktub didalam takwim tahunan MKKK dalam setiap sesi pentadbiran. Apabila melihat suasana Muhasabah Nisfu Sanah adalah terdapat 1001 kebaikan dan kepentingan. Kepimpinan boleh mengoreksi gerak kerja masing-masing agar lebih mantap dan kembali pulih jika terdapat lompang-lompang selama mentadbir hampir setengah sesi.Ahli juga turut dapat bermuhasabah tanggungjawab masing-masing terhadap MKKK.
Berikut Berita setelah Muhasabah Nisfu Sanah (HISAB '09) MKKK.

Haiyu Sabiek, 4 April - Majlis Kebajikan Keluarga Kedah pada tahun ini telah mencatatkan satu sejarah dengan penganjuran program Muhasabah Nisfu Sanah (HISAB '09) yang berjalan dengan jayanya di Asrama Darul Aman 3, Haiyu Sabiek. Program yang bertemakan "Mendokong Kesinambungan Perjuangan Mahasiswa Islam" ini diklasifikasikan sebagai program mega MKKK pada sesi 08/09 yang membawa motif yang cukup bermakna. Di antara objektif dan matlamat program HISAB '09 ini diadakan adalah untuk memberikan kesempatan kepada barisan pimpinan dan ahli MKKK untuk bermuhasabah dan mengoreksi kembali segala gerak kerja, pembawakan dan tindakan yang telah dijalankan oleh MKKK sepanjang separuh penggal pentadbiran bagi sesi 08/09 yang lalu.

Seterusnya menerima cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli bagi memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan dalam sebarang aspek untuk membina kekuatan persatuan selepas ini.Program HISAB '09 kali ini telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Mohd Khairulnaim bin Abd. Kadir daripada Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra pada jam 9.30 pagi. Majlis yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Dipertua MKKK, Ustaz Abu Bakar bin Razak ini diteruskan dengan ucapan pembukaan dan taklimat ringkas program oleh YDP. YDP dalam ucapannya menekankan kepada hadirin tentang peri pentingnya muhasabah dan konsep musyawarah dalam pembawakan sebuah organisasi persatuan. Beliau juga meminta setiap hadirin supaya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang program berlangsung.

Setelah itu, program dilanjutkan pula dengan pembentangan laporan aktiviti setiap Jabatan, Badan dan Unit MKKK sepanjang separuh penggal yang lalu secara ringkas oleh AJKT serta AJK Unit HEWI yang terlibat. Kemudian, sesi perkara berbangkit dan soal jawab berkenaan segala aktiviti dan program yang telah dilaksanakan dibuka kepada hadirin. Slot ini memberi peluang kepada ahli-ahli untuk meminta penjelasan daripada barisan kepimpinan bagi setiap tindakan yang diambil oleh MKKK dalam menjalankan segala aktiviti dan program serta dalam menghadapi beberapa isu dan masalah yang berlaku pada masa yang lalu. Selain itu juga, pelbagai cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli telah diterima oleh barisan kepimpinan untuk dilaksanakan selepas ini bagi mengukuhkan perjalanan persatuan sepanjang slot tersebut berlangsung. Respon yang cukup baik daripada hadirin yang hadir mencerminkan keperihatinan semua pihak dalam membangunkan persatuan yang dicintai ini.

Selesai sahaja slot soal jawab dan penjelasan bagi segala persoalan yang dilontarkan oleh ahli, majlis diserikan lagi dengan slot ramah mesra bersama wakil kepimpinan PMRAM sesi 2009 yang dijemput hadir bersama dalam program. Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz bin Muhammad mengetuai rombongan wakil PMRAM yang hadir dijemput untuk memberikan ucapan seterusnya menyempurnakan perasmian pentup program HISAB '09. Wakil PMRAM yang turut hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime, Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan, Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain dan Setiausaha HEWI PMRAM, Ustazah Nor Hafiza binti Abdul Wahab. Presiden dalam ucapannya menyeru semua hadirin agar meneruskan usaha mengukuhkan persatuan dengan kekuatan kesatuan mahasiswa dan perlaksanaan segala tindakan mengikut landasan ajaran Islam.

Semestinya program kali ini memberikan natijah yang amat penting kepada MKKK. Kehadiran ahli-ahli MKKK yang ramai dalam program HISAB '09 iaitu hampir 300 orang juga melambangkan sensitiviti yang tinggi setiap mereka dalam mempertahankan kesinambungan perjuangan persatuan ini. Tambahan pula, kesibukan masing-masing dalam persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak menghalang untuk mereka meluangkan sedikit masa menghadiri program kali ini. Barisan kepimpinan MKKK mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli yang memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menggerakkan hala tuju persatuan. Inilah lambang kekuatan dan kesatuan mahasiswa/wi Islam di Mesir.

"Walau kita terus maju kehadapan namun amat penting sekali sekala kita menoleh ke belakang"


Semoga kesatuan ini dibimbing oleh Allah Jalla Wa'ala dan terus melangkah demi dasar yang didokongnya tak lain dan tak bukan Al-Quran dan As-sunnah.

Akhukum Fil Islam

Abu Bakar bin Razak
Asrama Darul Aman, Hayyu Asyir Kaherah Mesir
12.08 malam.
07/04/2009.









No comments: