Monday, April 13, 2009

FIKRAH ISLAMIAH


Fikrah Islamiyah
Jumaat 18 Muharram 1419/15 Mei 1998
Dari Masjid Rusila
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Tegakkan pemerintahan yang mempertahankan Islam

SATU perkara yang wajib diketahui dan diamalkan oleh umat Islam daripada pengajaran peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w ialah mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah SWT dan kewujudan daulah Islamiah itu menjadi salah satu daripada ajaran Islam.

Semasa masih ada di Makkah, Rasulullah s.a.w telah ditawarkan dengan berbagai-bagai tawaran di antaranya ialah Rasulullah s.a.w akan dilantik menjadi pemimpin tertinggi Makkah sekiranya Rasulullah s.a.w sanggup meninggalkan dakwah Islam dan membiarkan agama menyembah berhala terus berjalan.


Rasulullah s.a.w menolak tawaran ini dan terus berhijrah ke Madinah kerana di Madinah, penduduknya menerima Islam sebagai agama mereka, sanggup mempertahankan Rasulullah s.a.w dan sanggup menyerahkan tanah air mereka menjadi tapak mendirikan negara Islam yang di dalamnya tertegak syariat Allah SWT dan sanggup pula mempertahankan daulah Islamiyyah yang dibina itu dengan nyawa dan darah mereka.

Tidak sebagaimana di Madinah, penduduk Makkah hanya mahu menyerahkan kuasa pemerintahan sahaja kepada Rasulullah s.a.w tetapi tidak akan membiarkan Islam berkembang biak dan syariat Islam dilaksanakan, dengan itu tidak memungkinkan negara Islam sebenar dapat ditegakkan. Apabila tiba di Madinah Rasulullah s.a.w mempersatukan orang-orang Muhajirin dan Ansar di atas persaudaraan ibadat dan Islam yang lebih tinggi darjat dan
kekuatannya berbanding dengan perhubungan darah keturunan.

Kemudian Rasulullah s.a.w membina masjid sebagai tempat ibadat dan lebih jauh daripada itu tempat pentadbiran negara Islam. Selepas itu Rasulullah s.a.w mengadakan perjanjian yang dinamakan piagam Madinah yang merupakan perjanjian antara pemerintah Islam dan rakyat yang terdiri daripada orang-orang Islam sendiri dan perjanjian dengan rakyat yang bukan Islam
tetapi berada di bawah kerajaan Islam.Rasulullah s.a.w telah menyediakan segala keperluan bagi memungkinkan kewajipan sebagai sebuah negara dan dijadikan dasar negara itu ialah hukuman Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berhukumlah (dalam perselisihan) di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah". (Surah Al-Maidah ayat 49)

Kitab Injil yang diterima oleh nabi Isa daripada Allah SWT telah diselewengkan oleh ahli kitab sehingga Injil yang satu itu menjadi beratus-ratus buah (dengan pelbagai nama) yang setiap satunya bercanggah dengan yang lain.Ajaran kristian ini dibawa ke Eropah. Apabila berlakunya pertembungan antara golongan gereja dan golongan istana, maka dipisahkan diantara gereja dan istana yang membawa ajaran pemisahan antara agama dan pemerintahan.

Kemudian apabila ada orang-orang Eropah belajar di negara Islam seperti di Andalus dan Baghdad, mereka membawa ilmu ke Eropah. Paderi-paderi kristian telah menolak ilmu-ilmu tersebut yang akhirnya membawa kepada pemisahan antara ilmu duniawi dengan ajaran kristian.Hasilnya lahirlah pula ajaran sekular yang memisahkan ajaran agama dan kehidupan dunia kecuali dalam soal keagamaan di gereja-gereja sahaja.

Ajaran ini pula dibawa ke dalam dunia kecuali dalam negara-negara umat Islam oleh penjajah-penjajah kristian yang menjajah umat Islam sehingga sebahagian umat Islam menganggap Islam itu hanyalah upacara ibadat perseorangan sahaja seperti sembahyang, puasa, membaca al-Quran dan majlis-majlis zikir.

Apabila Turki menerima pembaratan selepas jatuhnya Khilafah Islamiah yang terakhir dengan dibatalkan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang kafir sehingga Islam tidak lagi memerintah, maka Syeikh Al-Islam Turki yang terakhir iaitu Almarhum As-Syeikh Mustafa Al Basri telah menegaskan dalam bukunya ... sekularisma yang memisahkan ajaran agama dengan kehidupan dunia merupakan jalan paling mudah untuk menjadi murtad.

Apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w itu kemudian diikuti oleh umat Islam selepasnya dan menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.Oleh itu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, para sahabat menyambung kewajiban itu dengan mereka melantik Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang akan menggantikan baginda dalam menjalankan pemerintahan negara Islam.

Oleh itu satu mesyuarat telah diadakan untuk melantik seseorang khalifah Islam walaupun pada masa itu jenazah Rasulullah s.a.w belum lagi dikebumikan.Itu semua menunjukkan betapa wajibnya mendirikan negara Islam dan kewajiban ini sebahagian daripada ajaran Islam. Adapun pemikiran umat Islam pada hari ini lain pula jadinya apabila mereka menolak ajaran politik dan pemerintahan termasuk di dalam kewajiban Islam dan ajarannya.

Fahaman ini adalah menyeleweng dariapda ajaran Islam, kerana ajaran yang mengatakan bahawa politik suku, ajaran Islam suku merupakan fahaman yang dihasilkan daripada penyelewengan oleh ahli kitab terhadap ajaran yang dibawa oleh nabi Isa a.s.. Nabi Isa a.s telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya beramal dengan kitab Taurat dan kitab Injil pada masa yang sama.

Apabila nabi Isa a.s diangkat oleh Allah SWT, pengikut-pengikut setia baginda yang bergelar Khawariyun telah menerima tekanan dan penyeksaan sehingga memaksa mereka mengasingkan diri daripada masyarakat. Akhirnya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Isa telah diselewengkan oleh orang-orang yang jahil dan mempunyai kepentingan diri yang kemudian ajaran yang direka
itu dinamakan agama kristian.

Kita perlu sedar bahawa apabila pemerintahan dipisahkan daripada agama bermakna membatalkan hukum qisas, hudud dan ta'zir serta mempersendakan samada jahil atau tahu menyebabkan seorang itu boleh menjadi murtad.

Dengan itu juga Islam dan aqidah umat Islam tidak dilindungi sebagaimana apa yang telah diucapkan oleh al Imam Al-Ghazali: "Agama itu asas, pemerintah adalah penghulunya. Maka apa yang tidak ada asas akan runtuh dan apa yang tidak ada penghulu akan hilang".

Kita dapat lihat bahawa dengan ditinggalkan ajaran Islam mensabitkan berlakunya segala kemungkaran. Ini kerana negara Islam itulah yang akan mendaulatkan syariat Allah dan menjaga agamanya bermula dengan ibadat, muamalat, munakahat, jenayat dan menjaga ibadat umat Islam.

Firman Allah bermaksud: "Orang-orang yang jika kami memperkukuhkan(menjadikan mereka memerintah) di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru perkara ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah akibat (kesudahan) segala sesuatu". (Surah Al-Haj ayat 41).

Marilah kita semasa menyambut peristiwa hijrah supaya kembali kepada Islam khususnya kembali kepada satu kewajiban yang telah dilupakan oleh umat Islam iaitu mendirikan negara yang mendaulatkan syariat Islam.
"Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada engkau akan kitab dengan sebenarnya supaya engkau menghukum di antara manusia dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Allah dan jangan kamu menjadi penolong orang-orang yang khianat". (SurahAn-Nisa ayat 105) .


BIODATA TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG




KELAHIRAN

Lahir pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947 di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Anak ke 5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang.

KELUARGA

Mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajjah Zainab bt. Awang, 47 tahun dan Dr. Norzita Taat, 37 tahun. Anak 13 orang. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 2 orang anak. Anak sulong beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Iman, Yaman.

PENDIDIKAN

Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil senawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Disamping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973. Tamat dengan B. A (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun sahaja (1974 - 1975)

POLITIK

Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang. 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

PILIHANRAYA

Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

ANTARABANGSA

Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir. Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.

Antaranya :-

1. Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.

2. Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.

3. Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.

4. Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr.Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.

5. Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.

6. Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.

7. Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

BADAN BUKAN KERAJAAN

Menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu 1977 - 1978.

PENGALAMAN KERJA

Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 - 1978.

No comments: