Tuesday, February 9, 2010

Barakallahu Lakuma - Ust Kadir dan Zaujah





Alfu Mabruk Ustaz Abdul Kadir bin Umar telah menamatkan zaman bujang. Ana minta maaf tak sempat untuk menghadiri Majlis Akad Nikah ust di ARMA dan Majlis Walimatul Urus di Mansurah kelmarin. Walaubagaimanapun ana dan sahabat-sahabat akan ziarah rumah ust nanti. Ana doakan ust bahagia dunia akhirat dan bekekalan hingga ke anak cucu. Ana yakin dan percaya ust bakal menjadi pasangan contoh kepada mahasiswa dan mahasiswi di Bumi Mesir ini walaupun berkahwin tetapi mempunyai daya juang yang tinggi dalam kecemerlangan tambahan pula zaujah ust merupakan seorang mahasiswi pengajian perubatan.


Ini adalah satu suasana yang baik yang menggabungkan diantara dua aliran pengajian iaitu antara pengajian islam dan perubatan dalam ikatan perkahwinan. Apabila melihat suasana dan biah pelajar Malaysia di Mesir masa kini tentu kita amat sekali bimbang akan batasan pergaulan dan pemakaian yang semakin menonjol-nonjol. Dakwah mempunyai pelbagai wasilah dan antara wasilah yang terbesar adalah perkahwinan. Harapnya suasana ini akan dapat dikawal bagi meneruskan mata-mata rantai perjuangan.

Bagi Ust Kadir dan zaujah sekali lagi ucapan barakallahu lakuma.

Abu Bakar Razak
11.15 pagi - 09 Februari 2010
Haiyu Sabiek Kaherah.

Thursday, January 14, 2010

Dua Ucapan Buat Dua Insan..


Ucapan Pertama

Gambar Kenangan ketika sambutan hari raya Aidilfitri

Ucapan Takziah dari saya buat Ustaz Zakaria Othman( Mantan Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir) serta keluarga keatas pemergian ayahanda yang tercinta.

Semoga bangya sekeluarga tabah dalam meneruskan perjuangan kehidupan tanpa seorang ayah yang sepanjang usianya tidak jemu mendoakan kejayaan anak-anaknya, tidak pernah patah memberi semangat dan nasihat agar anak-anak menemui jalan menuju kebahagian duniawi dan ukhrawi.

Kami doakan agar roh arwah senantiasa dipayungi rahmat dari Allah 'Azza Wa Jalla serta ditempatkan bersama para anbiya',auliya',syuhada' dan para solihin. Amin Ya Rabbal 'Alamin.


Ucapan Kedua


Al-Akh Ustaz Hairul ketika di Muqayyam

Ucapan Mabruk dari saya buat Al-Akh Al-Fadhil Ustaz Hairul Nizam Mat Husin serta Isteri yang kini bergelar ayah dan ibu kepada seorang puteri.

Semoga kehadiran 'orang baru' atau cahayamata ini lebih mengikat kasih sayang yang tinggi dalam membentuk usrah muslimah dan bakal menjadi contoh di dalam masyarakat dengan men'realiti'kan Islam yang syumul ini sebagai cara hidup.

Kami doakan teratak mahligai Al-Akh ini mampu menjadi salah satu role model terbaik kepada semua mahasiswa/wi yang menuntut di Mesir ini khususnya yang berjaya membina kecemerlangan sebagai penuntut ilmu dan kecemerlangan sebagai suami, isteri ,ayah ataupun ibu.

Tambahan

Di Kesempatan ini pohon doakan saya dan kawan-kawan yang menempuh peperiksaan di bumi Al-Azhar ini agar beroleh kecemerlangan dan dipermudahkan segala urusan. "Berjuang demi memartabatkan Islam"

Akhukum,
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman Transit,
Haiyu Sabeik, Madinah Nasr Kaherah.
15 Januari 2010
1.00 pagi.

Sunday, December 20, 2009

SALAM MAAL HIJRAH - TAHNIAH BUAT ABG FIKRI DAN SKUAD IMPUTARA





Assalamualaikum.. sahabat dan sahabiah sekalian...

Walaupun dalam keadaan genting bagi kami di bumi Mesir ini dengan bahang peperiksaan yang hampir tiba lebih kurang sebulan sahaja lagi namun saya cuba untuk menyempatkan diri ini meng'update' blog ini.

PERKARA PERTAMA

Sahabat dan sahabiah sekalian..

Kullu Am Wa Antum Bilkhair saya ucapkan bagi menyambut Tahun Baru Islam 1431 Hijrah ini. Seringkali kita akan mengingati kisah dan sejarah bulan Muharram yang mulia ini setiap tahun. Saya tidak berhasrat untuk memanjangkan penulisan ini dengan mencatat sejarah dan kisah yang sering kita dengari pada saban tahun. Ingin saya ungkapkan kepada sahabat dan sahabiah tentang satu perkara sahaja yang akan merangkumi semua perkara terhadap niat dan azam kita.

Saya bila mendengar ucapan dari Fadhilatus Syeikh Sayyid Syaltut As-Syafie dalam siri pengajian Minhaj At-Tholibin pernah Fadhilatus Syeikh menyelitkan ucapan selamat tahun baru kepada kami semua. Dalam ucapan yang ringkas itu Fadhilatus Syeikh menyatakan agar setiap tahun keimanan dan kecintaan kita kepada Allah dan Rasul kian bertambah. Ini sahaja ucapan Syeikh buat anak didiknya. Saya tersentak. Ucapan ringkas tapi padat dan penuh isi yang tersirat bagi mereka yang berfikir. Memang benar ulama' mempunyai ucapan yang manis sehingga menusuk kalbu dan memecahkan kotak pemikiran sekiranya kita berfikir. Apa yang boleh saya sebutkan adalah ulama' kita menyeru agar kita sentiasa meningkatkan taqarrub kita kepada Allah S.W.T dan tanamkan perasaan kecintaan kepada baginda Muhammad S.A.W setiap masa dan detik. Tambahan di awal-awal tahun ini kita memasang niat dan azam yang pelbagai. Ingatlah sahabat dan sahabiah sekalian niat dan azam yang utama kita adalah akan berusaha sedaya upaya dalam menghambakan diri kepada Allah 'Azza Wa Jalla serta berniat dan berazam akan mencontohi kekasih Allah S.W.T iaitu Nabiyyuna Muhammad S.A.W dalam setiap langkah dan pergerakkan bagi menyusuri kehidupan ini.

Disamping itu barulah kita memasang pelbagai niat dan azam. Sebelum saya terlupa saya juga menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian untuk terus menuntut ilmu dan memperlengkapkan diri dalam pelbagai kemahiran serta niatlah ilmu ini adalah untuk diamalkan. Sering kita ingat bahawa "ilmu yang tidak diamalkan ibarat pohon yang tidak berbuah". Niatlah dan azamlah ilmu ini untuk kita curahkan kepada masyarakat yang senantiasa menanti kepulangan kita. Ringkas saya katakan bahawa cuba tanam dalam diri kita yang kerdil ini untuk memperjuangkan islam dimana jua kita berada dan di mana jua posisi dan kedudukan kita.

"Salam Maal Hijrah, Selamat Tahun Baru dan Salam Perjuangan."

PERKARA KEDUA

Ucapan Tahniah buat Abang Fikri yang berjaya dalam bidang yang beliau ceburi sekarang sebagai Pengarah Urusan Bahagian IMP UTARA. Alfu Mabruk juga buat rakan seangkatan dalam IMP UTARA ( http://imputara.co.cc/ ) yang ramainya adalah kelulusan Al-Azhar As-Syarif dan lebih membanggakan anak-anak Kedah yang pernah terlibat dalam persatuan MKKK di Perlembahan Nil ini.

Semoga menjadi contoh dan tauladan serta semangat kepada kami yang masih di bumi anbiya' ini. Ingatlah bahawa kita mampu mengubah jika kita berusaha untuk berubah. Banyak bidang dan posisi di medan yang memerlukan dan menantikan kepulangan kita. Yang di Malaysia selamat meneruskan perjuangan berbakti kepada agama bangsa dan Negara. Bagi yang di Mesir teruskan usaha tingkatkan semangat untuk mencapai tahap ilmu,akademik dan pengetahuan setinggi yang mungkin bagi persiapan untuk terjun dalam masyarakat kelak.

"Doakan kami semua najah dalam imtihan di dunia dan akhirat".


Akhukum Fillah,
Abu Bakar Bin Razak
Haiyu Sabeik, Madinah Nasr, Kaherah.
10.37 Malam
20 Disember 2009.

Friday, December 11, 2009

JOM STUDY 10 JAM SEHARI - TARGET MUMTAZ SEMUA MADAH


SEBULAN SETENGAH.Satu jangka masa yang panjang. Satu jangka masa yang sangat keemasaan bagi individu pelajar yang tahu erti mahal detik masa yang berlalu.Saya sebelum ini di dalam majlis-majlis motivasi yang dianjurkan oleh pihak PMRAM atau (Badan Kebajikan Anak Negeri (BKAN) pernah melaungkan kepada para pelajar sekalian satu slogan "Satu Hari 10 Jam Study".

Selepas daripada slogan ini saya warwarkan,sempat juga saya bertanya kepada beberapa orang teman sama ada mereka dapat menyambut baik seruan ini atau tidak. Tapi nampak gayanya agak meleset."Satu Hari 10 Jam Study" adalah satu slogan yang retorik?Saya sendiri terfikir, mengapa para pelajar agak payah untuk menyambut slogan ini?Sepatutnya seorang pelajar hanya sepatutnya tidur dalam jangka masa 6 jam sehari.

Baik, katakan mereka menyambut seruan ini untuk study sehari dalam masa 10 jam, ini bermakna ada 8 jam lagi buat mereka untuk dihabiskan pada aktiviti-aktiviti yang lain. Persoalannya mengapa masih tidak mahu serius dalam study. Takkan satu hari hanya mahu study sejam sahaja atau 2 jam atau 3 jam? Kalau hanya itu waktu untuk study, saya pasti kawan-kawan tak akan mampu untuk menggondol natijah Imtiyaz ataupun Jayyid Jiddan.

Kesimpulan:
Tidur : 6 Jam
Study : 10 Jam
Aktiviti lain: 8 Jam
Jumlah : 24 Jam

Adakah masih belum cukup 8 jam berbaki untuk kalian habiskan dengan aktiviti buang masa kalian? Takan masih mahu jadi seperti bayi yang tidur berjam-jam. Kalau masih mahu study hanya 1 jam sehari atau kurang atau hanya 2 jam atau 3 jam atau ...., memang kalian adalah spesis manusia tidak bersungguh dalam Mengejar Pelangi.

Saya harap slogan ini disambut baik oleh kalian semua. satu bulan setengah, satu waktu yang cukup panjang untuk kalian isi dengan aktiviti mentelaah ilmu. Waktu itu terlalu panjang untuk kalian mereka satu status pencapaian ilmu yang baik untuk peperiksaan mendatang.Semoga berjaya dan bersemangat.

Tambahan

Saya menyokong penuh slogan Al-Fadhil Akh Ustaz Hairul Nizam bagi meningkatkan pencapaian akademik mahasiswa/wi Malaysia di Mesir.

Sahabat-sahabiah harus mengambil slogan ini sebagai suatu cabaran dalam perbaiki diri masing-masing untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan.

Masa masih ada dan belum terlambat. Jangan lagi leka dengan perkara yang tidak berfaedah. Tinggalkan lihaf anda. Ceraikan kemalasan anda. Talak 3 bagi melakukan perkara yang tidak memanfaatkan buat diri anda.

Saya ingin menambah satu lagi slogan yang seiring dengan "Study 10 Jam Sehari" iaitu " Mumtaz Semua Madah". Kedua-dua slogan ini sahabat-sahabiah akan lebih tekun dan pulun untuk mencapai kecemerlangan.

Ingatlah sahabat-sahabiah sekalian masa yang anda ada di Mesir begitu terhad. Gunakan sebaiknya dan manfaakan semaksimum mungkin. Peluang berada di bumi yang penuh dengan keberkatan para anbiya', para syuhada, para ulama' dan para auliya' ini begitu tinggi nilainya.

Disamping itu saya juga menyeru diri saya dan sahabat serta sahabiah untuk saling bantu membantu dan tolong menolong dan yang paling penting saling tegur menegur antara satu sama lain dalam usaha untuk sama-sama berkhidmat kepada masyarakat kelak dengan penuh kesatuan dan gelombang ilmu yang mantap.

Semoga kita semua mendapat kejayaan dunia dan akhirat.

"Salam Imtihan" dan "Salam Perjuangan"

Abu Bakar Razak
Haiyyu Sabeik, Madinah Nasr, Kaherah
11 Disember 2009
2.37petang.

Wednesday, October 28, 2009

TEMURAMAH PARA MASYAIKH TERHADAP PROGRAM PEMBACAAN KUTUB SITTAH PMRAM











Sumber Asal : http://www.videonazrul.blogspot.com/

Akhukum
Abu Bakar Razak
28 Oktober 2009
1.32 petang, Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir Kaherah.

Sunday, October 25, 2009

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Berjaya, Tahniah PMRAM


Kaherah, 20 Oktober 2009 - Majlis Pembacaan Kutub Sittah anjuran Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir siri pertama melabuhkan tirai. Majlis yang telah berlangsung semenjak tiga hari yang lalu berlangsung dengan baik dan penuh harmoni tanpa ada sebarang cubaan sabotaj atau perbuatan khianat untuk menggagalkan majlis tersebut. Berbeza dengan keadaan tiga hari yang lalu, pihak penganjur iaitu Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir membuat keputusan mengadakan majlis penutupan Pembacaan Kutub Sittah siri pertama di Nadi Riadhi, Hayyu Sadis.

Dewan Nadi Riadhi, mula dibanjiri para peserta seawal jam 6.30 pagi dan pada hari yang terakhir para peserta kelihatan lebih bersemangat kerana hampir 98 peratus peserta mengenakan jubah putih bagi peserta lelaki dan tudung putih bagi peserta perempuan. Wajah berseri-seri dan penuh ceria dilihat pada semua peserta yang hadir pada majlis penutupan ini.

Majlis pembacaan Kitab Sahih Imam Bukhari dimulakan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Rifaat Fauzi Abdul Mutalib bermula pada hadith yg ke 1466 dan diteruskan oleh al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani. Majlis Pembacaan Kutub Sittah diakhiri oleh al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani pada hadith yang ke 1788 tepat jam 5 petang. Turut bersama adalah al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani , al-Allamah Syeikh Jamal Farouq dan Syeikh Toha Dusuqi al-Hubaisyi.

Majlis penutupan diserikan dengan kedatangan para masyaikh dan ulama' terkemuka al-Azhar termasuk al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, al-Allamah Syeikh Jamal Farouq, Syeikh Toha Dusuqi al-Hubaisy, al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani, Syeikh Ahmad Hajain, Syeikh Dr. Sa'ad Jawish, Syeikh Asyraf Imam Masjid 6 Oktober, Syeikh Usamah Mahmud al-Azhari dan paling istimewa adalah kehadiran al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, Mufti Mesir.

Sebelum bermula muhadhrah bersama al-Allamah Mufti, para masyaikh menyampaikan amanat dan kata-kata pendorong kepada semua yang hadir pada majlis tersebut. Antara yang ditegaskan dan diharapkan oleh para masyaikh adalah agar majlis dan program sebegini diteruskan pada masa yang akan datang.

Penghujung majlis, setelah selesai sesi muhadharah bersama al-Allamah Syeikh Dr. Ali Jumuah, sesi penghargaan kepada para masyaikh yang sudi meluangkan masa dalam menjayakan majlis ilmu ini dan majlis pengijazahan sanad kepada semua peserta Majlis Pembacaan Kutub Sittah siri pertama anjuran PMRAM.

Disediakan oleh:
Sidang Wartawan,
Majlis Pembacaan Kutub Sittah, PMRAM
http://kutubsittah-pmram.blogspot.com/

TAMBAHAN

1. Sebagai ahli biasa saya cukup bangga dengan pencapaian matlamat program yang dianjurkan oleh PMRAM ini.

2. Program atau majlis qiraah hadis yang telah lama tidak dianjurkan oleh mana-mana pihak hatta institusi-institusi di Mesir juga, doakan agar ianya berterusan.


3. Kesungguhan para Masyaikh membuatkan kita menitiskan airmata jika selepas daripada ini kita masih malas hendak menghadiri kelas pengajian.

4. Ikatan kita bersama ulama' terjalin teguh dan sesungguhnya inilah yang kita impikan memdapat tarbiah direct dari murabbi dan ulama' tersohor di bumi Mesir yang barakah ini.


5. Sedikit kecewa dengan isu yang timbul, namun buah yang berhasil dari usaha yang keras lebih lumayan dan amat berpatutan.


6. Harapan kepada PMRAM teruskan anjurkan majlis dan program pengajian dan talaqqi walaubagaimanapun jangan lupa program dan aktiviti yang lain agar dilihat stabil dan seimbang dalam semua perkara.

Gambar Kenangan :


Ketibaan Fadhilat Al-Mufti

Al-Allamah al-Muhaddis Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani

Syeikh Dr. Sa'ad Jawish

Al-Allamah Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid al Hasani

Al-Allamah Syeikh Jamal Farouq

Syeikh Usamah Mahmud al-Azhari

Syeikh Ahmad Hajain



Akhukum,
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir, Kaherah
26/10/2009 , 7.07 pagi.

Monday, September 14, 2009

MUHADHARAH RAMADHAN BERSAMA PROF. DR. RIF'AT FAUZI


Prof Dr. Rif'at ketika di Konvo PMRAM

Marilah sama-sama kita hadir dalam Program Ifthor Jamaie & Munajat Perdana PMRAM 1430 H dan mengambil istifadah daripada muhadharah yang akan disampaikan oleh Syeikh Rif'at Fauzi antara ulama yang banyak mentahqiq Kutub Syafieyyah dan sering menjadi musyrif kepada mahasiswa master dan PhD di Universiti Kaherah.


Sempat saya menziarahi Dr. Rif'at di Kediaman beliau di Haiyu Sabiek bersama Mantan Presiden PMRAM 2008, Ust Khairul Anuar serta beberapa teman yang lain. Al-Fadhil Dr seorang yang mudah didampingi. Semoga kita juga mengikuti jejak langkahnya dalam memperkasa keilmuan islam dalam diri.



Saya dan rakan-rakan yang menziarahi beliau ketika di Maktabah milik beliau yang penuh dengan kitab-kitab yang pernah ditahqiqnya.Semoga kita juga berpeluang untuk muqarabah dan mulajasah bersama Prof Dr. Rif'at Fauzi.

Iklan Program :

Tarikh : 28 Ramadhan 1430 H bersamaan 18 September 2009
Hari : Jumaat
Tempat : Dataran Haiyu Asyir

"sibukkanlah dirimu dengan ilmu wahai penuntut ilmu"