Sunday, March 29, 2009

Dimana Salah PMRAM Untuk Dihukum Sebegitu Rupa?



Dimana Salah PMRAM Untuk Dihukum Sebegitu Rupa?

Persoalan ini timbul dan perlu kepada suatu jawapan yang kukuh yang penuh dengan bukti dan penjelasan. Apabila terdengar akan berita yang ada pihak ingin mengharamkan persatuan yang sah kewujudannya disisi undang-undang sejak 1930 ini, perlu kita kembali melihat kenapa sejarah dan usaha untuk menafikan keberadaan PMRAM ini berterusan dan berulang-ulang.

Adakah PMRAM menghancurkan kesatuan mahasiswa malaysia di Mesir?
Adakah PMRAM menganjurkan program yang berbentuk maksiat?
Adakah PMRAM satu organisasi politik Malaysia di Mesir?
Adakah PMRAM menyusahkan dan menyekat kebebasan mahasiswa untuk terus berjuang dalam medan menuntut ilmu?
banyak lagi persoalan yang negatif boleh dilontarkan.Tetapi tidak ada jawapan yang mengiayakan dari persoalan-persoalan tadi. Jika ingin merungkai kembali sejarah yang termaktub sejak penubuhan PMRAM hingga kini, saya dapat rasakan sidang pembaca telah tahu apa tujuan dan matlamat persekutuan ini. apa kepentingan adanya pesekutuan ini. apa jasa persekutuan ini.Tapi kenapakah masih terdapat golongan yang ingin menghapuskan PMRAM. Sesuatu yang tidak wajar dibincangkan.

Beri Sokongan Terhadap PMRAM

Apa yang lebih utama adalah membantu dan memberi sokongan yang padu dan jitu terhadap PMRAM. Persatuan induk untuk mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Mesir ini memerlukan idea,pandangan dan buah fikiran dari ahli-ahlinya atau dari mana-mana pihak untuk meneruskan agenda kesatuan mahasiswa di atas satu lembayung. Lebih wajar kita berbicara mengenai kekuatan dan kesatuan untuk mengembalikan kegemilangan keluaran mahasiswa/wi dari bumi Mesir. Kembali menggegarkan masyarakat Malaysia dengan membawa pulang ilmu dan manhaj dakwah dari ulama' mesir supaya dilaksanakan di Malaysia.Ini yang lebih penting untuk dibincangkan. Kita tidak punyai banyak waktu untuk menetap lama di Mesir, masyarakat sedang menantikan kepulangan mahasiswa/wi untuk membenteras pelbagai kegiatan yang dilarang oleh syariat dan kembali mengajak masyarakat untuk berada dilandasan yang dianjurkan oleh Al-Quran dan As-sunnah.

Bertepatan dengan dasar PMRAM itu sendiri yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah. Sedarlah wahai sahabat-sahabat sekalian kita perlu lebih laju. Janganlah timbul lagi permasalahan ini. Kita perlu satu di bawah PMRAM. Jika kita asyik mengkritik dan hingga timbul untuk hapuskan PMRAM ini adalah sesuatu yang tidak sihat. Saya menyeru diri saya dan para pembaca sekalian, khusus bagi mahasiswa/wi Malaysia Mesir supaya kita memberi sokongan dan dokongan atas persekutuan ini agar terus hidup dan bernafas dengan penuh sinar bagi menjulang kekuatan mahasiswa islam dalam membawa mesej dakwah dan keilmuan yang dinantikan oleh masyarakat dan negara.

Perkukuh PMRAM Dari Pelbagai Aspek

Kita selaku orang yang bertanggungjawab dalam memastikan perjalanan PMRAM. PMRAM bukan hak kepimpinan tapi PMRAM hak semua ahli. Kepimpinan yang terlantik adalah peneraju tetapi lontaran idea, pandangan dan pendapat untuk majukan PMRAM untuk perjalanan PMRAM adalah tanggungjawab semua ahlinya.Didalam PMRAM ada pelbagai Jawatan dan Lajnah yang perlu diperkukuhkan. Kitalah tenaga untuk memastikan semua tugas dan kerja ini dapat dilaksanakan. Janganlah kita hanya pandai mengatakan itu salah ini salah tetapi tiada sebarang lontaran idea dan pandangan. Sikap ini ahli perlu buang jauh-jauh. Kita berhak mengkritik tapi ingat tanggungjawab kita juga untuk perkukuhkan PMRAM.

Tidak nafikan setiap pertubuhan,organisasi,syarikat mahupun pentadbiran kenegerian dan kenegaraan ada kelemahan dan kekurangan bahkan kadang-kadang ada kesalahan tapi bagi proses pembaikan adakah wajar untuk terus dihapuskan? sesuatu yang tidak logik utuk kita bincangkan.Kecuali pembawakan dan matlamat penubuhan telah menyimpang dari landasan syariat. Jika terdapat lompang-lompang dan cacat cela sama-sama kita baikinya. Jadi jika terdapat kekurangan dan kelemahan nyatakan pada pimpinan supaya boleh diatasi dan ditangani. Ini adalah haraki pentadbiran yang betul dan perkara yang patut berlaku diantara kepimpinan dan ahli.

Saya yakin dan percaya bahawa pimpinan PMRAM bersikap terbuka dalam membincangkan segala permasalahan dan membincangkan segala kebaikan dan kebajikan yang perlu dilakukan.Jadi, Janganlah kita sekalian ahli membebankan hal ini terhadap PMRAM. Kita harus lebih profesional dalam menilai sesuatu. Kita juga perlu lebih melihat maslahat yang lebih besar jika keberadaan dinafikan. Siapa yang akan jalankan program untuk satukan hati mahasiswa/wi? siapa yang akan anjurkan program kesatuan dalam keadaan kita dari pelbagai negeri dan cawangan? Siapa yang akan mendidik kita untuk menjadi mahasiswa/wi yang mendokong Islam dari segi praktikalnya?Suara dan kesatuan mahasiswa/wi adalah harga yang paling bernilai dalam misi terjun di lapangan kelak untuk berbakti kepada masyarakat.

PMRAM Bukan Pertubuhan Politik

Adalah dasar PMRAM tidak mendokong mana-mana parti politik. PMRAM hanya di Mesir. Persekutuan ini hanya bergerak dan berjalan di Mesir sebagai wadah perjuangan mahasiswa/wi islam Malaysia di Mesir. Tidak lebih dari itu. PMRAM amat diperlukan oleh masayarat mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. Bagi pihak-pihak tertentu harapan agar tidak lagi membuat kenyataan yang tanpa asas. Perjalanan PMRAM masih jauh. Banyak lagi perkara yang perlu disusun dan ditekankan. Masalannya aspek kesatuan, kebajikan, pendidikan, penguasaan bahasa arab, kemahiran dan banyak lagi yang menjadi tanggungjawab PMRAM untuk laksanakan. Jadi, tak perlulah menyatakan tuduhan yang tidak berasas ini lagi. Jika ada perkara yang tidak jelas, minta penjelasan pada pimpinan PMRAM bukan tuduhan yang melulu seperti yang dilakukan dari zaman berzaman.

Sekali lagi ingin ditegaskan bahawasanya PMRAM ini sesuatu yang unik. Satu pertubuhan besar yang ternyata kepentingan keberadaannya. Jangan lagi mengulangi isu yang sama. PMRAM bukan pertubuhan politik.

Harapan Kepada Semua Ahli PMRAM

Kuatkan ukhuwwah sesama kita sebagai ahli.Laungan "Kita PMRAM" bukanlah sesuatu yang dikatakan taasub tetapi membawa pelbagai erti yang lebih mendalam. Ianya saling berkait dengan rasa tanggungjawab kita terhadap PMRAM.JIka kita dapat rasakan kita PMRAM, kita takkan sesekali membiarkan airmata PMRAM mengalir dek tingkah laku orang yang tak bertanggungjawab. Kita benteng kepada PMRAM. Semoga semua ahli perlu menyedari patutnya kita pertahankan PMRAM. Patutnya kita dibawah satu lembayung saling kuat menguati antara satu sama lain.Saling memberi semangat agar persekutuan ini terus bernafas dalam melaksankan kewajipannya sebagai wadah pergerakkan mahasiswa/wi Islam Malaysia di Mesir.

Semoga ukiran kecil ini mampu membuka mata kita dan kembali bermuhasabah diri mengenai tangungjawab kita terhadap PMRAM.

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
3.15 pagi.

Saturday, March 21, 2009

Adab Menuntut Ilmu Suatu Hantaran Yang Wajib Ditunaikan.


Semoga Diteruskan Pengajian Di Bumi Anbiya'

Dari 6 Mac hingga 20 Mac 2009 sesuatu kenangan yang indah. Dapat selalu bertemu. Dapat selalu berbincang dan bermunaqashah dengan lebih dekat. Dapat mendengar nasihat dan pandangan untuk meneruskan kehidupan sebagai tholabatil 'ilim. Kehadiran Fadhilatus Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki ke Bumi Anbiya' pada kali ini membawa 1001 kemanisan dari sebelumnya.

Pengajian Kali ini yang dianjur sepenuhnya oleh Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) dan Pejabat Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir berjalan dengan baik dan lancar. Syukran wa jazakumullahu khairul jaza' kepada jawatan kuasa yang bertungkus lumus dalam melaksanakan tanggungjwab untuk melancarkan perjalanan sepanjang Majlis Tafaqquh Fiddin bersama Fadhilatus Syeikh. Jawatankuasa yang dipengarahkan oleh Al-Fadhil Ustaz Mohd Fadhil Ab Rahman yang juga merupakan Penasihat MKKK 08/09 ini moga jasa kalian dibalas dengan sebaik-baik kebaikan daripada Allah S.W.T. Semoga pengajian ini dapat diteruskan di hari mendatang.

Menyingkap sejarah pengajian bersama Fadhilatus Syeikh yang bermula sekitar 80-an lagi. Pengajian yang berjaya melahirkan ulama' dan umara' serta umala' terhadap islam ini begitu diharapkan agar terus berlangsung.Fadhilatus Syeikh yang sering menekankan adab dalam pengajian membawa natijah yang baik terhadap penuntut yang mengikuti pengjian. Adab dalam yang Fadhilatus Syeikh sering peringatkan agar keberkatan dan kehormatan terhadap ilmu Allah ini meresap ke dalam jiwa-jiwa dan hati-hati penuntut imu ini.

Dengan kepentingan adab menuntut ilmu ini Fadhilatus Syeikh menyatakan ini adalah mahar dan hantaran yang wajib ditunaikan oleh anak-anak tafaqquh fiddin khusus yang bersama Fadhilatus Syeikh dan umumnya penuntut ilmu seluruh alam.Antara adab yang ditekankan oleh Fadhilatus Syeikh Nuruddin adalah keadaan duduk yang baik, tidak membuka handset, tidak makan, tidak berborak dalam pengajian, tidak mengantuk dan tidur dan menumpukan sepenuhnya terhadap apa yang disampaikan serta beramal dengan ilmu yang diperolehi.

ADAB-ADAB MENUNTUT ILMU

1. IKHLAS NIAT
Kewajipan ke atas setiap muslim di dalam memastikan niat ketika menuntut ilmu ikhlas kerana Allah dan bukannya untuk mencari habuan dunia yang sementara kerana Rasulullah S.A.W pernah memberi amaran yang mana Allah akan menyediakan tempat di dalam neraka bagi mereka yang menuntut ilmu untuk kesenangan dunia semata-mata tanpa memikirkan maslahat Islam dan ummatnya. Memang agak susah untuk ikhlas di dalam belajar tetapi kita mesti terus berusaha ke arahnya. Kita yang berada dalam sistem sekular yang mementingkan material menyebabkan kita terlupa bahawa ilmu yang dipelajari bukan untuk mendapatkan tempat dan kedudukan serta kerja tetapi adalah untuk menjauhkan kita daripada kejahilan yang mana dengan ini mampu menjadi perisai diri di dalam melawan arus kesesatan dan seterusnya membawa perubahan kepada keislaman. Jadikanlah diri kita sebagaimana padi yang mana semakin semakin berisi semakin tunduk ke bumi kerana rendah diri. Jangan jadi sebagaimana lalang yang tinggi semakin mendongak ke langit kerana sombong. Ingatlah bahawa orang yang benar ikhlas dalam menuntut ilmu sahaja yang mampu memiliki sifat terpuji termasuk merendah diri. Maksud firman Allah dalam ayat 235 surah al-Baqarah :.........Dan ketahuilah bahawa Allah mengetahui apa yang tersemat dalam hatimu maka takutlah kepadaNya dan ketahuilah bahawa Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah bahawa setiap orang akan binasa melainkan orang yang berilmu, setiap orang yang berilmu akan binasa melainkan orang yang beramal dan setiap orang yang beramal akan binasa melainkan orang yang benar-benar ikhlas.

2. TEKUN BERUSAHA DAN TAWAKKAL
Sentiasa bersungguh-sungguh dalam pembelajaran tanpa menurut keadaan dan masa dengan menghindari perasaan malas dan mudah jemu dengan buku pengajian. Ini dapat diatasi dengan membaca nota atau buku-buku yang kecil dan ringan atau mendengar kaset ceramah agama yang berbahasa Melayu dan sebaiknya berbahasa Arab.Perkara ini mampu melembut hati kita kerana sesiapa yang menjauhi nasihat ataupun tazkirah diri ditakuti Allah akan mengeraskan hatinya sebagaimana firman Allah dalam ayat 5 surah as-Sof yang bermaksud : Dan ingatlah ketika mana nabi Musa berkata kepada kaumnya :"Wahai kaumku! Mengapa kamu menyakitiku sedangkan kamu mengetahui bahawa aku ini adalah utusan Allah kepadamu?". Maka tatkala mereka buat endah tak endah sahaja lalu Allah memalingkan hati mereka dan Allah tidak memberi petunjuk kerpada kaum yang fasik. Ayat ini walaupun menceritakan umat nabi Musa tetapi peringatannya terus kekal hingga sekarang untuk kita sama-sama ambil iktibar dan pengajaran daripadanya. Kita juga hendaklah mewujudkan suasana sekeliling terutama di rumah dengan budaya ilmu bukannya budaya yang dipenuhi dengan cara mewah dan kesenangan serta hiburan yang boleh menghilangkan perasaan semangat untuk menambah ilmu dan pengetahuan.Kita hendaklah mencontohi ulama'-ulama' silam yang mana mereka belajar dalam keadaan susah tetapi tekun yang mana mereka sentiasa berada dalam suasana belajar bukannya mewah dan penuh kesenangan yang menyebabkan hilangnya perasaan bersungguh untuk belajar.Disamping itu kita mestilah bertawakkal kepada Allah agar kejayaan diimpikan akan menjadi milik kita.Tawakkal yang dilakukan mestilah mencukupi syaratnya iaitu berusaha, tekun, yakin, tidak mudah putus asa dan menyerah natijah ataupun keputusan kepada Allah sepenuh hati.

3. MENJAUHI MAKSIAT
Kita mestilah menghidupkan budaya amar ma’ruf dan nahi munkar dalam diri dan suasana sekeliling mengikut kemampuan yang ada. Sesungguhnya ilmu itu adalah nur yang suci yang mana ia tidak dapat kita perolehi jika diri kita sentiasa disaluti dengan najis-najis dosa. Cubalah sedaya yang mungkin di dalam menghindari kehendak nafsu kita dengan menutup segala jalan menuju ke arahnya.Jangan sekali-kali kita membuka jalan kepada maksiat untuk bertapak di hati kita. Jangan terlalu mengambil mudah dan endah tak endah sahaja terhadap perkara maksiat ini yang mana ia boleh menjerumuskan kita kepada maksiat yang lebih besar lagi. Di zaman sekarang ramai orang memandang maksiat yang kecil seperti maksiat mata, mulut, telinga, tangan(internet ataupun tulisan) serta pergaulan antara lelaki dan perempuan yang halal berkahwin hanya suatu perkara yang biasa dan dirasakan ia bukannnya maksiat dan mereka hanya menganggap hanya dosa besar seperti berzina, mencuri, memukul orang dan lain-lain lagi sahaja sebagai maksiat. Dosa yang kecil jika dibuat berterusan akan menjadi dosa besar.

4. MEMILIH TEMAN YANG SOLEH
Pilihlah teman yang mampu membawa kita ke arah kebaikan dan cubalah hidupkan budaya nasihat menasihati antara satu sama lain di dalam rumah kita sendiri samada berbentuk rasmi seperti diskusi kitab atau melalui perbincangan yang tidak rasmi setiap hari.Loqman Al-Hakim pernah berpesan kepada anaknya supaya sentiasa bersama orang alim dan soleh serta menghadiri majlis ilmu kerana apabila Allah menurunkan keberkatan kita turut sama memperolehinya. Disamping itu apabila kita sentiasa bersama orang soleh akan menasihati kita ke arah kebaikan serta menegur kita apabila berlakunya kesilapan dan kesalahan. Ini kan mematangkan lagi diri kita disamping menambahkan lagi semangat kita dalam belajar. Ini bukan bermakna kita diminta menjauhi mereka yang tidak soleh sebaliknya kita diminta berdakwah kepada mereka setakat kemampuan yang ada dan jangan pula kita yang terpengaruh dengan cara hidup mereka. Ingatlah firman Allah dalam surah Al-Zukhruf ayat 67 yang bermaksud :Teman-teman yang rapat pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh kepada sebahagian yang lain kecuali mereka yang bertaqwa. Rasulullah S.A.W pernah berpesan kepada kita melalui hadis yang diriwayatkan oleh imam Tarmizi dan Abu Daud : Seseorang itu mengikut agama sahabat temannya. Maka hendaklah seseorang itu memerhati siapakah yang dijadikan teman.

5. BANYAKKAN ZIKRULLAH
Pastikan kita sentiasa solat lima waktu secara berjemaah dan mengamalkan wirid serta doa selepas solat walaupun ringkas kerana ulama’ sufi begitu menitik beratkan perkara wirid ini kerana ia boleh menghidupkan hati yang mati dan ia juga boleh mendatangkan perasaan ingin memusabahkan diri dengan amalan seharian. Tanpa wirid yang ma’thur selepas solat boleh menyebabkan perasaan zikrullah agak berkurangan dan ia boleh mendatangkan perasaan memudahkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Rabbul ‘Izzati. Jangan ajar diri kita melengah-lengahkan solat lima waktu kerana ia akhirnya mampu membawa diri kita ke arah mengabaikan solat. Bacalah Al-Quran sekurang-kurangnya sehelai setiap hari kerana ia merupakan ibu segala ubat. Hidupkan amalan-amalan sunat dalam setiap gerak kerja kita seharian kerana hidup yang sentiasa dihiasi dengannya akan sentiasa diberkati dan diredhai oleh Allah dan makhluk-Nya.

6. MENJAGA KEHORMATAN
Kita wajib menjaga kehormatan diri sendiri dan juga orang lain. Tutup segala ke'aiban diri dan orang lain kerana ia membawa kepada keredhaan Allah dan manusia lain kepada diri kita.Hanya orang yang mana kehidupannya dicucuri dengan keredhaan dan rahmat Allah sahaja yang mampu merasakan kebahagian di dalam kehidupan seharian. Manakala mereka yang jauh daripada rahmat Allah, hidup mereka dipenuhi dengan perkara yang kurang baik dan derita. Jangan sekali-kali menyakiti hati orang lain kerana doa orang yang dizalimi adalah lebih bahaya daripada panah malam.Firman Allah dalam ayat 12 surah Al-Hujurat yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan perasaan prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain. Adakah salah seorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?. Maka sudah tentu kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.

7. DOA DAN KEREDHAAN IBUBAPA
Kita hendaklah sentiasa menjaga perasaan kedua ibubapa kita dan menghormati mereka dalam perkara yang tidak menyalahi syariat Islam. Sentiasa berhubung dengan mereka dan mengambil berat tentang keadaan keduanya serta mendoakan kebahagian mereka di dunia dan akhirat. Kita juga hendaklah sentiasa meminta agar mereka meredhai kita dan mendoakan kejayaan kita. Ingatlah bahawa keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibubapa terhadap kita. Firman Allah dalam ayat 23 hingga 24 surah al-Isra' yang bermaksud : Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu tidak menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang daripada keduanya ataupun kedua-duanya telah lanjut usia mereka dalam jagaan kamu, maka jangan sekali-kali kamu mengherdik kepada keduanya dengan perkataan "uf" dan janganlah kamu menghertak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap mereka berdua dengan penuh kasih sayang dan ucaplah : " Wahai Tuhanku! kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka berdua telah mendidikku semasa kecil".

8. MENGHORMATI GURU
Kita juga wajib menghormati guru dan mematuhi segala arahannya selagi mana tidak menyalahi kehendak Islam. Kita mesti patuh kepadanya walaupun fikrah atau pendapat kita berbeza. Kita pernah mendengar bagaimana imam As-Syafi'e walaupun berijtihad bahawa qunut di dalam solat Subuh sunat ab'adh(kena sujud sahwi jika tidak melakukannya) tetapi dia tidak melakukannya apabila mendirikan solat itu berhampiran maqam gurunya imam Malik kerana menghormati gurunya. Bagaimana dengan kita? Sesungguhnya ulama' silam begitu menitik beratkan masalah keberkatan ilmu, sedangkan kita hari ini tidak lagi mengendahkan perkara ini. Ini menyebabkan timbulnya pelbagai masalah terutama keruntuhan akhlak di kalangan remaja.Guru janganlah dianggap sebagai guru di sekolah, universiti atau di tempat pengajian sahaja tetapi kita mestilah menganggap bahawa dia pengajar dan secara langsung sebagai pendidik yang mesti dihormati walaupun di mana berada.Cubalah kita fikir dan renungi bersama tentang dua keadaan berbeza antara pelajar dulu dan sekarang mengenai pandangan dan penghormatan mereka terhadap guru. Tanpa adakeserasian dan kasih sayang yang wujud antara guru dan pelajar tidak memungkinkan berlakunya ketenteraman dalam kehidupan seharian.Oleh itu marilah kita sama-sama membina kembali keutuhan dan mahabbah antara guru dan pelajar agar ia mampu menyinarkan kembali suasana harmoni serta menghindari perkara negatif dalam kehidupan.

9. BERAMAL DENGAN SEGALA ILMU YANG DIPEROLEHI
Kita mengamalkan segala ilmu yang dipelajari setakat mana yang termampu oleh kita. Ulama' silam sentiasa mengingatkan kita bahawa orang yang berilmu dan tidak beramal dengan ilmunya akan dihumban ke dalam api neraka lebih dahulu daripada penyembah berhala. Jadikanlah ilmu yang dipelajari sebagai benteng daripada terjerumus ke kancah maksiat dan jadikanlah juga ia sebagai senjata di dalam mematahkan serangan musuh Islam serta jadikankanlah ia sebagai ubat yang mujarab di dalam menyembuhkan penyakit jahil dan batil di dalam masyarakat. Jangan jadikan ia sebagai barangan jualan untuk mengejar kekayaan dunia yang sementara. Berapa ramaikah yang telah dihinakan oleh Allah kerana melacurkan ilmu semata-mata untuk mengaut kemewahan dunia.Inilah merupakan antara sebab atau punca yang menyebabkan umat Islam terus mundur.Berapa ramaikah mereka yang belajar tentang al-Quran dan Hadis tetapi mereka dilaknat oleh keduanya kerana tidak merealisasikan segala apa yang dipelajari.Oleh itu kita mestilah beringat dan berhati-hati mengenai perkara ini demi kebahagian kita di dunia yang sementara dan akhirat yang kekal selamanya. Begitu mudah untuk memberi nasihat dan tazkirah tetapi begitu sukar untuk mengota dan merealisasikannya dalam kehidupan. Tanpa usaha yang bersungguh- sungguh, kita tidak mampu melaksanakannya.Samalah kita sama-sama menghayati firman Allah dalam ayat 2 hingga 3 surah as-Sof yang bermaksud :Wahai orang-orang yang beriman! mengapa kamu mengatakan apa yang kamu tidak kotakan? Amat besar kebencian Allah di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kotakan.

sumber : http://halaqah.net

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar Razak
22 Mac 2009
Asrama Darul Aman Madinat Nasr Kaherah Mesir
9.15 pagi.



Sunday, March 15, 2009

Mahar Yang Wajib Dibayar






















Mahar Yang Wajib Dibayar

Mahar yang wajib dibayar masih tergiang dicuping telingaku, ucapan daripada Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki pada waktu pengjian kelmarin. Pengajian bersama Fadhilatus Syeikh memang memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Ilmu bukan sesuatu yang mudah untuk dicari dan begitu juga bukan sesuatu yang mudah untuk diamalkan. Fadhilatus Syeikh sering menyatakan dalam setiap sesi pengajian bersamanya bahawa ilmu itu adalah sesuatu yang wajib diamalkan.Dengan amalan ilmu inilah yang bakal membentuk generasi yang taat akan perintah Allah dan Rasulnya.

Berbalik mengenai mahar yang wajib dibayar. Jika sahabat dan sahabiah sering mengikuti pengajian bersama Fadhilatus Syeikh Nuruddin mesti mengetahui apakah mahar yang wajib dibayar ini. Pengajian yang dijalankan tidak perlu bayar yuran pendaftaran, pengajian yang dijalankan juga tidak menuntut untuk sesiapa bayar elektik ataupun sewa tempat dan bahkan pengajian yang dibuat dijemput,diajak dan diseru untuk seluruh mahasiswa/wi hadir untuk mendapatkan ilmu yang disampaikan oleh Fadhilatus Syeikh Nuruddin. Jadi, bertolak balik dari asbab inilah Syeikh Nuruddin menyatakan setiap yang mengikuti pengajian tafaqquh ini wajib membayar mahar.

Mahar mengikut istilah fuqaha' dalam perkahwinan adalah sesuatu pemberian daripada si suami kepada si isteri.Hukum mahar adalah ikhtilaf diantara mazhab, seperti disisi Mazhab Imam Hanafi hukumnya harus manakala Mazhab Imam Malik menyatakan mahar adalah rukun, jika tidak menunaikan rukun maka akad perkahwinan ini sesuatu yang batil. Maka kita melihat apa yang dikatakan oleh Jumhur Fuqaha' bahawa mahar ini wajib mengikut apa yang disebut sahaja. Tidak boleh kurang dari apa yang disebutkan manakala untuk dilebihkan tidak ditegah.

Masih menjadi persoalan apakah mahar yang wajib dibayar oleh penuntut-penuntut dalam pengajian bersama Syeikh Nuruddin. Fadhilatus Syeikh memang menitik beratkan soal ibadat dan taqarrub kita kepada Rabbul Jalil Jalla Wa 'ala. Tambahan pula kepada penuntut ilmu yang merupakan waris kepada para Anbiya' 'alaihumus solatu wassalam. Pewaris dari segala sudut, dari sudut ibadah, dakwah, muamalah dan dari segenap penghidupan para Anbiya' 'alaihumus solatu wassalam. Dari aspek ibadah tak lain dan tak bukan apa yang dikatakan "tiang agama" itulah solat. sesuatu yang dituntut didalam solat yang mana tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulallah S.A.W itulah solat berjemaah. Inilah mahar yang wajib dibayar oleh para penuntut ilmu khususi kepada sesiapa yang mengikuti pengajian tafaqquh bersama Fadhilatus Syeikh Nuruddin dan umumi kepada penuntut ilmu di sekian tempat. Dengan istiqamah solat berjemaah ini membawa 1001 kebaikan dan keberkatan bahkan membawa effect yang mendalam dalam kehidupan sepertimana yang dianjurkan dan menjadi qudwah hasanah kepada sekian makhluk terhadap apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulallah S.A.W. melalui perkataan,perbuatan dan pengakuannya.

Solat Tiang Agama

RASULULLAH SAW bersabda: Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.

Ini menggambarkan sesuatu yang penting dan wajib dilaksanakan bagi sesorang yang bergelar muslim dan muslimah.Hakikatnya solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan atau disempurnakan oleh setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun.Kita mahasiswa/wi mungkin tidak sekali-kali meninggalkan solat kerana memahami kewajipannya dan padah meninggalkan. Apa yang diperlu dititik beratkan adalah apa yang disebut solat berjemaah.

Solat Berjemaah Jangan Diringan-ringankan


Sesungguhnya solat berjamaah itu adalah sunnat muakkad yang sangat diberatkan dan hukum mendirikannya adalah fardhu kifayah. Jadi sekiranya sesebuah kampung itu tidak mendirikan jamaah, maka seluruh penduduk kampung itu menanggung dosanya kerana solat berjamaah itu termasuk syiar dan lambang keagungan Islam.Menurut syariat Islam, pihak berkuasa seperti Qadhi, Hakim Syariah dan sebagainya boleh mengambil tindakan memerangi atau menghukum orang yang tidak mendirikan jamaah. Terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman atau balasan yang akan diterima oleh mereka yang meringan-ringankan solat berjamaah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
Sesiapa meringan-ringankan solat berjamaah maka Allah akan membalasnya dengan 12 kecelakaan. Tiga ketika di dunia, tiga ketika hendak mati, tiga ketika dalam kubur dan tiga ketika pada hari qiamat.

Adapun 3 ketika di dunia ialah :
• Allah menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya;
• Allah mencabut cahaya orang-orang yang soleh daripadanya;
• Dia dibenci oleh orang mu’min.

Tiga ketika hendak mati ( sakaratul maut ) :
• Ruhnya dicabut sedangkan dia dalam keadaan sangat dahaga walaupun telah minum air seluruh sungai;
• Merasakan sangat sakit ketika hendak dicabut ruhnya;
• Dia dikhuatirkan hilang imannya; kita berlindung kepada Allah.

Tiga ketika dalam kubur :
• Soalan Malaikat Mungkar dan Nakir sangat menyulitkan ;
• Kuburnya menjadi sangat gelap;
• Kuburnya menghimpit sehingga bercantum tulang-tulang rusuknya.

Tiga ketika pada hari qiamat :
• Hisabnya sangat menyusahkan;
• Allah swt murka kepadanya;
• Diseksa oleh Allah swt dengan api neraka. Kita berlindung kepada Allah.

Sabda Rasulullah saw bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat berjamaah itu adalah terkutuk di dalam Taurat, Injil, Zabur dan Furqan ( al-Quran ). Orang yang meninggalkan solat berjamaah itu berjalan di muka bumi, sedangkan bumi mengutuknya. Orang yang meninggalkan solat berjamaah itu dimurkai Allah, para malaikat dan oleh segala makhluk Allah yang bernyawa serta dimurkai pula oleh malaikat yang berada di antara langit dan bumi dan semua ikan yang berada di laut”.

Solat Berjamaah Dari Konteks Sains

"Daripada Abdullah Ibn Umar ra katanya : Sesungguhnya Nabi saw bersabda : Solat berjamaah lebih utama dari solat bersendirian dengan kadar 27 darjat" ( H.R Al-Bukhari )

HURAIAN

Kenapa perlunya jamaah dalam solat, meluruskan saf, membiarkan imam seorang di hadapan, menghadap kiblat, bergerak serentak setelah imam, kenapa perlu khusyuk dalam mengerjakannya? Semua persoalan di atas sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam membantu kita menyatupadukan hati semua umat Islam di dunia ini.

Jasmani manusia terdiri daripada banyak unsur alam. Salah satunya ialah cas-cas yang bergerak dalam badan kita. Tanpa cas ini, seseorang tidak dapat berfikir, tidak akan dapat merasa, bisu, pekak dan sebagainya. Pendek kata akal tidak berfungsi kerana semua maklumat tidak dapat dialirkan.Cas ini bertindak sebagai pengalir maklumat untuk membantu tindakan-tindakan anggota badan yang lain. Walaubagaimanapun, kekuatan cas-cas ini amat berkait rapat dengan pergerakan harian seseorang. Semakin banyak pergerakan yang dibuat, maka semakin banyak cas-cas yang akan digunakan.

Kajian saintis Barat menyatakan bahawa cas-cas tersebut dapat dikembalikan melalui rehat yang cukup ketika tidur. Jesteru itu, banyak tilam yang direka khas untuk mengembalikan kualiti cas tersebut ketika seseorang itu tidur di atasnya. Persoalannya, mengapa Rasulullah saw menggalakkan umatnya supaya tidak banyak tidur ?Saintis Barat yang hairan dengan tindakan umat Islam berkumpul di satu tempat kemudian bergerak serentak dengan dipimpin seorang imam telah menjalankan satu kajian terhadap kes ini.

Beliau mendapati bahawa tubuh badan manusia terdiri dari dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Semasa melakukan solat berjamaah, umat Islam disyariatkan supaya melurus dan merapatkan saf, bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit.Dalam bergeseran tubuh seseorang jamaah dengan tubuh jamaah lain yang berada di kiri dan kanan, tubuh badan ahli jamaah akan mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas yang berlawanan dari tubuh badan rakan dalam solat.Masing masing akan mengeluarkan cas-cas dari tubuh badan mereka dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dari tubuh badan yang lain.

Pada masa yang sama, umat Islam yang menghadap ke kiblat yang merupakan pusat magnet akan mempengaruhi kedudukan cas tersebut. Dengan ini berlakulah keseimbangan cas-cas positif dan negatif. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita. Justeru perhatikanlah keajaiban suruhan Allah Taala yang sangat unik ini.Dengan itu, secara tidak langsung cas yang mengalir dari rakan-rakan sejamaah akan melahirkan suatu perasaan yang menyatukan hati semua umat Islam. Itulah dia perasaan mahabbah ataupun persaudaraan yang umat Islam tidak sedari selama ini.Seorang paderi berkata, bahawa selagi kuantiti jamaah solat Subuh tidak sama dengan jumlah jamaah solat jumaat, maka selagi itulah umat Islam tidak akan dapat mencapai kesepakatan dalam menerajui dunia akhir zaman ini.


Jangan Tinggalkan Solat Berjemaah

Atas dasar apa yang dinyatakan marilah sama-masa kita mengembalikan keagungan syariat islam yang dianjurkan oleh Allah S.W.T melalui perbuatan Baginda Rasullah S.A.W. Tambahan kita penuntut ilmu yang mana diamanahkan untuk mengamalkan ilmu dan menyampaikan ilmu sejauh mana yang kita mampu.

Marilah kita membayar mahar(solat berjemaah) yang ditetapkan oleh Fadhilaus Syeikh ini untuk kita istiqamah dalam tuntutan syariat islam itu sendiri. Semoga ketekunan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan Rasul ini membawa keberkatan dalam kehidupan sekaligus mendapat keredhoan dan keampuanan dari Allah Ta'ala yang bakal menatijahkan Jannah di alam yang kekal abadi itulah Akhirat.

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
15 Mac 2009
2.40 petang, Asrama Darul Aman Hayyu Asyir
Madinah Nasr Kaherah , Mesir.