Friday, April 25, 2008




7 PERHENTIAN

Dalam meniti kehidupan sebagai mahasiswa Al-Azhar, aku terbayang pelbagai gambaran bagaimana masa depanku.Masa depan yang menjamin kesenangan dan kemewahan dalam setiap aspek perbicaraan. Mewah dalam ilmu pengetahuan , mewah dengan harta kesenangan, mewah dengan budaya dan budi pekerti dan yang lebih penting mewah dalam usaha keakhiratan. Kadang-kadang aku menangis keperitan merasa gundah dalam perjalanan kemahasiswaan.Tambahan bumi Mesir yang penuh dengan dugaan dan halangan.Kadang-kadang aku gembira diulik persekitaran kerohanian yang penuh biah ibadah dan bertapa ramainya alim ulama' serta ilmu keagamaan. Kadang-kadang aku sedih kepiluan tiada daya dan kekuatan dilabel dengan pelbagai tanggapan. Jiwaku kusut apabila lontaran cemuhan dan sindiran. Tapi aku mengerti itu asam garam dalam menuntut ilmu perjuangan. Mungkin semua insan bernama khadam ilmu pernah melalui tapi tidak diluahkan dan diceritakan. Diri yang lemah ini masih runsing memikirkan masa hadapan.Perasaan itu hidup dan terus terbayang dalam fikiran.

Al-Azhar satu nama yang gah di mata dunia. Gabungan ilmu turathi dan ilmu kotemporari lebih menampakkan Al-Azhar suatu universiti yang ulung lagi dipandang tinggi. Tapi aku sebagai anak didiknya mapukah aku berdiri menyatakan aku azhari?. Apa yang ada padaku ,waktuku dimana telah aku habiskan, aku sendiri keliru. Masa ibarat pedang yang mencincang tubuh manusia jika tidak memanfaatkannya. Ilmu Al-Azhar segak bergaya menjadi rujukan serata dunia. Tapi jika diajukan beberapa persoalan dan permasalahan mampukah aku sebagai azhari menjawabnya? Hari kian lama kian mendung dan akan menjadi gelap. Itulah ibarat hidupku yang kian hampir menamatkan pengajian di Al-Azhar. Meninggalkan Al-Azhar suatu kenangan yang tidak akan aku lupakan. Tetapi aku tidak mahu meninggalkan Al-Azhar dengan suasana mendung dan gelap. Aku mahu Al-Azhar terus bersinar di dalam kehidupanku. Aku akan kenantiasa merindui Al-Azhar. Aku mengetuk dahiku masa itu belum tiba. Penting pada ketika ini masih diberi kesempatan masa dan umur sebagai azhari perlu aku istimrar dan istiqamah berusaha mencari ilmu, mendalami ilmu agar mencapai matlamat yang diimpikan. Bukan hanya mimpi tetapi perlu aku realisasi.

Ilmu didada masih goyang dan tak saksama. Hadirku di pengajian talaqqi pun seperti cipsmore sekajap ada sekejap tiada. Bagaimana hendak lengkapkan ilmu asyik tertinggal pengajian sahaja.Guruku sentiasa berpesan "nak cari ilmu ni mesti berterusan" ungkapan ini kupahatkan dalam sanubariku ini. Satu lagi ucapan yang masih terngiang ditelingaku " jika ada jalan untuk mendapatkan ilmu jangan asyik mengatakan nantilah..nantilah, nescaya tidak Berjaya". Aku berfikir panjang dua kata hikmat buat diriku sebagai penuntut ilmu. Jika sekali terbayang ucapan itu, takkan terus tak berjaya? Monolog dalam diriku berbunyi. Aku cuba melarikan diri dari digelar atau tergolong dalam golongan yang apa yang guruku katakan itu. Tapi jiwaku masih tidak tenteram bagaimana pula jikalau diertikan azam?. Kita berazam untuk melakukannya. Setelah berfikir panjang dalam benak fikiranku aku cuba membuat kesimpulan. Apa yang perlu dipeningkan, yang penting teruskan pengajian dan pembelajaran.Apabila di Mesir dan Al-Azhar ini jangan jadikan pengajian sebagai mengisi masa lapang sahaja malahan perlu meletakkan pengajian adalah segala-galanya dan tujuan utama hadirnya diri ini ke bumi Anbiya'. Selain Pengajian, adalah perkara kedua, ketiga dan seterusnya.

Sejarah telah membuktikan mahasiswa keluaran Al-Azhar ketika hayatnya di Mesir tidak menggunakan masa dengan pengajian, pelbagai masalah dan perkara yang tidak selayaknya kepada azhari berlaku. Kenapa? Itulah kesempatan yang amat bernilai dan berharga. Aku cuba terus menyelami fikiranku, subjek atau bidang ilmu manakah yang masih kurang padaku. Apabila dikaji semula memang ternyata ada lagi bidang-bidang keilmuan yang belum aku kuasai. Aku akan terus mencorak perjalananku yang berbaki di muka bumi Al-Azhar ini. Ini yang terjadi, keluarga di kampung sudah tidak sabar menantikan kepulanganku tapi diri ini masih terketar-ketar takut tak mampu mencapai hasrat dan harapan keluarga dan masyarakat. Masa menjadi suntuk seolah-olah tidak mencukupi. Kalau difikirkan mengenai kewangan juga antara faktor hayatku di Mesir kian sampai penghujungnya. Aku tidak mahu fikir bab wang, jika difikirkan memang tidak akan selesai. Ada perkara yang lebih penting yang perlu aku aulakan itulah keilmuan. Kiniku tahu dimana lebih kurangku. Aku mesti teruskan berusaha mantapkan kelebihanku dan perbaiki kelemahanku. Aku bukan hendak berbangga dengan kelebihanku tetapi ianya adalah fitrah kejadian manusia yanag ada lebih dan kurangnya. Kuliah di Al-Azhar memang berbeza dengan sejarah kuliah dunia. Di Universiti setiap muhadarah hanya satu atau dua kelas tetapi apabila time imtihan satu bangunan digunakan.kan heran bin ajaib. Tapi inlah keunikan Al-Azhar. Mahasiswa Al-Azhar dah masak dalam keadaan begini jadi diorang ni taklah rasa pelik lagi. Aku bertanya dalam benakku dimanakah aku? Hadir tak aku ke kuliah? Tergolongkah aku dari golongan yang hadir ke kuliah? Atau tergolong dalam sebilangan arab yang datang hanya hari terakhir muhadarah ambil muqarar untuk imtihan. Aku menjawab sendiri tanpa menulis.

Keputusan imtihan juga faktor kejayaan tapi sesetengah azhari itu tidak diendahkan, yang penting pengajian kulit hingga kulit. Aku suka mengmbil kedua-duanya dan kedua-duanya adalah penting dan ada nilainya. Merenung jauh aku apabila berada dalam situasi begini. Aku cuba kuatkan dalam ingatan fatrah imtihan Al-Azhar tumpu 100% pada imtihan. Sesudah imtihan 100% dalam pengajian talaqqi itu keputusanku pada diriku. Perjalanan sebagai azhari jika direnung difikir memanglah memenatkan. Tetapi sesuailah dengan hasil yang bakal lahir kelak. Bak kata orang "bukan senang nak senang". Jadi susah dahulu, perit dulu untuk mencapai sesuatu yang bernilai dan tiada di tempat lain. Al-Azhar ini boleh aku ibaratkan mutiara yang hanya ada di dasar lautan. Tiada di tempat lain. Untuk mendapatkannya perlu selami dan tempuhi baru diperolehi. Aku rasa penat dah menulis, berat sudah jari jemariku yang melayang menulis,mata pensil pun kian tumpul , patutlah aku berhenti angan-angan aku ini disini tetapi kena ingat bukan hanya angan-angan illusi tapi sesuatu yang realiti.Sebelum itu inginku khabarkan mengapa aku memilih 7 perhentian sebagai tajuk kepada layangan tulisanku ini. Suatu perjalananku ke Iskandariah, untuk sampai ke Manarah dari Sidi Gabir aku telah melalui 7 perhentian. Mulai dari sinilah sempat kulukirkan monologku sebagai bahan bacaan.

Wednesday, April 23, 2008


Mahasiswa dan Masyarakat

Kehidupan di menara gading adalah suatu kelebihan kepada mahasiswa berbanding masyarakat.Setibanya di tempat pengajian selepas berjaya menamatkan zaman persekolahan di peringkat menengah terus digelar mahasiswa.Mahasiswa dalam ertikata sebenar seorang penuntut ilmu walau dalam apa jua bidang sekalipun.Jika hendak ditakrifkan mahasiswa dalam konteks dunia moden sekarang pelbagai maksud yang boleh kita letakkan dan sandarkan kepada mahasiswa.Adalah menjadi persoalan apakah kaitan mahasiswa diantara masyarakat? Apakah pentingnya mahasiswa terhadap masyarakat? Perlukah mahasiswa dikaitkan dengan masyarakat? Soalan demi soalan dilontarkan dan berhajat kepada jawapan dan rasional.Sukar untuk digambarkan jika kita melihat keadaan semasa antara mahasiswa dan masyarakat. Tetapi jika kita mengimbau sejarah silam memang akan mendapat kaitan yang jelas. Mahasiswa pada era sebelum kemerdekaan ketika itu amatlah diperlukan oleh masyarakat dan terbukti mahasiswa pada ketika itu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.Lihatlah kesan yang terdapat di negara kita Malaysia, membangun dari segi kemajuannya sikap serta budaya yang diamalkan menampakkan impak yang positif dari mahasiswa dan masyarakat.

Satu persoalan kepada mahasiswa kini, apakah yang telah mahasiswa lakukan atau apakah sumbangan mahasiswa terhadap masyarakat di zaman mutakhir ini?tentu pelbagai jawapan dari mulut para cendiakawan yang akan diiktibar kelak.Dalam mencapai matlamat sebagai mahasiswa yang cemerlang dan terbilang, perlu ada beberapa perkara yang menjadi target setiap diri mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat.Masyarakat umpama mahkota yang pelu diletakkan sesuai pada tempatnya. Mahasiswalah penentu di mana tempat yang sesuai untuk meletakkan mahkota yang bernilai dan berharga ini.Ilmu didalam diri mahasiswa perlu disumbangkan dalam bentuk yang sesuai kepada masyarakat.Mahasiswa atau golongan yang dikatakan pemuda perlu memainkan peranan yang sebaik mungkin dalam membentuk masyarakat mengikut kemampuan yang ada. Mahasiswa antara insan yagn pelu dipersalahkan jika masyarakat masih goyah akidah, rosak pegangan , tiada moral dan akhlak serta gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.Dimanakah mahasiswa yang mempunyai gelombang pemikiran cerdik pandai dalam meyelesaikan masalah di kalangan masyarakat? Adakah masih perlu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa pun usaha untuk menjernihkan keadaan?.

Wahai mahasiswa dengarlah rintihan masyarakat yang ingin melihat suasana dan perjalanan kehidupan mengikut landasan yang tepat dan betul bertepatan dengan syariat yang diturunkan.Mahasiswa antara tenaga penggerak dan pelaksana yang perlu bersungguh-sungguh serta tekun dalam melangsaikan hutang terhadap masyarakat.Jika di fikirkan dari segi logikal pun golongan pemuda atau golongan pertengahan inilah yang mendokong dan memikul perjalanan golongan bawahan(kanak-naka) dan golongan atasan(orang tua) kerana golongan pertengahan ini mempnyai daya fizikal dan mental yang utuh dan kuat.Mahasiswa kini perlu menilai dan membuat penelitian apakah keadaan dan suasana yang perlu dilalui oleh masyarakat sekarang. Mahasiswa tidak selayaknya mengikut rentak masyarakat 100% bahkan mahasiswa adalah aset pengubah masyarakat dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik.

Sebenarnya mahasiswa perlu bersatu walau dalam kelainan kerana ingin mencapai matlamat yang satu.Kebahagian dan kesempurnaan kehidupan masyarakat boleh dikatakan 80% ditangan mahasiswa.Kini, mahasiswa perlu mencorak atau membuat lakaran agar apabila terjun dalam masyarakat suatu hari kelak tidak kekok dan kelu di hadapan masyarakat yang hanya menantikan apa yang ingin dilakukan oleh insan yang bergelar graduan ini. Jadi, janganlah berdiam diri lagi walau masih dalam arena perjuangan menuntut ilmu dalam masa yang sama mahasiswa perlu mempunyai hala tuju dan corak yang bakal dipersembahkan kepada masyarakat kelak.Pastikan corak yang dilakar itu adalah sebaik-baik bentuk dan padanan warna yang sesuai dalam menawan hati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Mahasiswa adalah golongan matang dalam membahagikan antara yang baik dan yang buruk dalam membawa masyarakat.Jadi, perlulah gunakan kematangan ini dengan sebaik mungkin. Alangkah indahnya intelektual yang celik dalam urusan perjalanan kehidupan dunia dan kesenangan malahan juga celik dalam urusan kehidupan akhirat yang kekal abadi .Mahasiswa perlu bergabung dalam menjalankan misi dan visi yang amat bernilai dan berharga ini. Dunia ibarat tempat persinggahan para nakhoda kapal yang ditugaskan untuk mencari bekalan di tempat persinggahan ini.Maka mahasiswa ibarat mandub-mandub yang terlatih yang menjadi penunjuk jalan dan pemberi panduan kepada semua nakhoda agar mendapatkan bekalan-bekalan yang bermanfaat untuk dibawa ke tempat yang ditujui.Jika mandub-mandub ini tidak memainkan peranan mereka dalam memberi panduan dan jalan yang sewajarnya nescaya pelbagai masalah dan kepincangan yang timbul.Begitu juga peranan mahasiswa terhadap masyarakat dalam berjalan ke arah tempat yang bakal semua insan sampai. Melalui kisah yang digambarkan ini membawa seriu satu perkara yang boleh dikiaskan, Cuma diskopkan kepada mahasiswa yang memikul tanggungjawab yang besar dan perlu sedarkan diri. Jika didalami kata-kata hukamak ilmu jika tidak diamalkan seperti pohon yang tidak berbuah. Mahasiswa mempunyai mutiara ilmu didada dan wajib mempraktikkannya dan melaksanakannya.Pohon yang dikatakan tidak berbuah ini membawa maksud pokok yang meletihkan dan memberi kekecewaan kepada si petani.Keringat, susah payah , perit dalam usaha penanaman pokok ini dengan harapan membuahkan hasil tetapi malangnya ianya tidak berbuah.Inikan usaha yang memenatkan. Begitu juga penuntut ilmu yang bertahun mendalami ilmu, wang dan perbelanjaan yang banyak dihabiskan untuk membiayai pembelajaran tetapi tidak mengamalkan apa yang dipelajari adalah usaha yang sia-sia .

Aduhai mahasiswa janganlah jadikan ilmu yang diusahakan ini diabaikan atau disalahgunakan atau lebih malang lagi ianya tidak digunakan.Ayuh mahasiswa bangunlah,sedarlah bahawa masyarakat memerlukan khidmat kalian. Pelengkapkan diri dengan keilmuan dan pelbagai thaqafah didada.Jangan lagi leka, jangan lagi masih tidak tahu apa tujuan menuntut ilmu.Mahasiswa ingatlah bahawa masyarakat menanti suatu gelombang usaha agar berlaku perubahan dalam meniti kehidupan mengikut panduan dan garisan dari Rabul Jalil Jalla Wa 'ala.

Satu persoalan yang ditinggalkan agar para mahasiswa menjawab dengan seikhlas hati, adakah kalian sanggup melihat masyarakat terombang ambing tanpa tempat untuk berlindung? Sedangkan kalian mahasiswalah yang menjadi payung-payung kepada masyarakat.

Monday, March 31, 2008

Mahasiswa Agen Pengubah Masyarakat

Zaman kian pantas bergerak

Laju tidak menunggu sesiapa

Zaman semakin hari semakin hebat

Bergerak terus walaupun tiada panduan


Manusia dan masyarakat akan terkesan

Jika zaman ini tidak dipandukan

Pemandu kearah kebaikan

Lain tak bukan penuntut ilmu yang berkelayakan


Mahasiswa antum adalah harapan

Pengubah, penggubal kepada masyarakat

Jangan persiakan ilmu didada

Jadikan ia manfaat untuk manusia


Masyarakat dahagakan panduan

Untuk berada dalam landasan

Garis yang Tuhan tetapkan

Tapi bagaimana cara pelaksanaan?


Mahasiswa jawablah persoalan ini

Penuhkan ilmu didada

Gapaikan impian dan cita-cita

Agar tuntutan tercapai dan terlaksana


Sayang seribu kali sayang

Masyarakat akan hanyut tanpa kesedaran

Jika mahasiswa masih lena diulik buayan

Siapakah yang akan menjawab dihadapan Tuhan?


Soalan demi soalan dilontarkan

Agar mahasiswa sedar dari mimpi

Kuatkan jati diri dalam segala aspek keilmuan

Diharap pulang membawa seribu satu kebaikan


Masyarakat ternanti-nanti dimana cendiakawan

Intelek yang celik dalam segenap bidang

Tuntas segala ilmu yang diperbincang

Menjadi penyelesai masalah yang dicanang


Mahasiswa bangun,bangkitlah

Sedarlah tanggungjawab kalian

Bukan hanya pada diri dan taulan

Malah kepada masyarakat yang sedang mengharapkan


Kini pelbagai suasana yang timbul

Masalah yang perlu kepada huraian

Siapa lagi yang hendak diharapkan

Tentulah Mahasiswa yang bersifat pemandu kebaikan.

PANTUN UNTUK MAHASISWA

Keindahan Egypt bak purnama,

Berbagai simbol kemasyhurannya,

Assalamualaikum pembuka bicara,

Agar hidup senantiasa sejahtera.


Mesir dikenali Bumi Anbiyak,

Bumi yang penuh dengan berkat,

Sebagai mahasiswa yang bertapak,

Haruslah menggapai ilmu manfaat.


Perlembahan Nil gemilang sejarahnya,

Bertambah gemilang dengan ramainya ulama’,

Sebagai mahasiswa yang bersemangat waja,

Pastikan diri dampingi ulama’ dan umara’.


Misr satu nama yang masyhur,

Lebih masyhur dengan Gedung Ilmu,

Sebagai mahasiswa yang bersifat jujur,

Mestilah terus berusaha untuk maju.


Rakyat Mesir berbilion orangnya,

Kepadatan penempatan menjadi biasa,

Sebagai mahasiswa yang ingin berjaya,

Jadikan istiqamah pemangkin jiwa.


Misra disebut dalam Al-Quran,

Diantara tempat yang selamat,

Sebagai mahasiswa yang berperanan,

Jadikan Quran Sunnah pemikat ummat.


Semenanjung Sinai banyak perihalnya,

Menjadi tumpuan dari serata dunia,

Sebagai mahasiswa yang berhati mulia,

Putus asa tiada dalam diarinya.


Matruh Siwa lautnya kebiruan,

Cantik dilihat ketika mentari terbenam,

Sebagai mahasiswa yang berkemampuan,

Tunjukkan bakat yang lama terpendam.


Musa dan Firaun ceritanya hebat,

Kisah Nabi mendakwah kerajaan yang angkuh,

Sebagai mahasiswa yang ingin capai matlamat,

Banyak halangan dan cabaran yang perlu ditempuh.


Berjalan-jalan di sekitar Kaherah,

Berjalan melihat pelbagai sejarah,

Sekian wassalam sebagai penyudah,

Semoga Allah memberi hidayah dan rahmah.

Thursday, January 24, 2008

PERBEZAAN ILMU DAN PENGETAHUAN

MENURUT Dr. Syed Mohammad Naquib Al-Attas ILMU ialah “ma’na yang sampai ke dalam qalbu seseorang”. [Syed Mohammad Al-Naquib Al-Attas, Islam And Secularisme, ABIM, Kuala Lumpur, 1978.] Mengambil definisi ILMU oleh Naquib itu tadi penulis menambah bahawa ILMU ialah roh ma’na (the spiritual meaning) yang diredhai oleh Allah SWT. yang sampai ke dalam qalbu seseorang.

Adanya perkataan "sampai" di dalam definisi tersebut itu menunjukkan bahawa ILMU itu ada sumbernya (asalnya daripada mana) dan ada tempat akhirnya ia sampai; dan ia bergerak pindah dari sumbernya ke tempat di mana ia sampai; dan ia boleh juga bergerak pindah meninggalkan tempat yang ia telah sampai itu lalu kembali kepada tempat asalnya.

Tempat ILMU bagi seseorang ialah di dalam qalbu (atau hati) seseorang itu; bukannya di dalam otaknya; kerana otak hanya merupakan alat atau saluran saja yang dilalui oleh ILMU itu (dari sumbernya) untuk sampai ke tempatnya, iaitu di dalam qalbu seseorang. Walaupun banyak ahli sains neorologi dan psikologi mengatakan otak manusia adalah berperanan sebagai tempat tersimpannya ilmu, namun penulis berpendapat bahawa ILMU tempatnya sebagaimana pendapat Naquib, adalah di dalam qalbu seseorang; ini adalah kerana dalam Islam qalbu (hati) adalah istilah yang penting dan ada dihuraikan peranannya kepada manusia.

Oleh kerana ILMU itu bergerak (dari sumbernya menuju masuk ke dalam qalbu seseorang), maka sudah pastilah ada pihak yang membawanya untuk ia boleh sampai ke dalam qalbu seseorang itu. Oleh kerana ILMU itu adalah merupakah roh ma’na (the spiritual meaning), bersifat ghaib; maka pembawa yang membawanya dari sumbernya itu, haruslah membawa ia menuju untuk sampai ke dalam qalbu seseorang itu ialah mahkhluk ghaib juga, iaitu Malaikat.

Untuk ILMU itu dapat, iaitu boleh sampai atau tidak dapat sampainya ia ke dalam qalbu seseorang, ia bergantung kepada banyak faktor yang membenarkan ILMU itu boleh atau tidak bolehnya ia sampai ke dalam qalbu seseorang itu. Antara faktor pentingnya ialah pertamanya diri seseorang itu, iaitu ia mestilah seorang yang beriman; tiada di dalam keadaan melakukan kemungkaran dan maksiat walau sekecil mana sekalipun; dan faktor keduanya ialah persekitarannya mestilah terhindar dari sebarang adanya elemen-elemen kemungkaran dan maksiat walau sekecil mana sekalipun.

Musuh utama ILMU ialah syaitan; dan sedaya upayanya syaitan akan menghalang ILMU dari dapat sampai ke dalam qalbu seseorang. Sekiranya seseorang itu dalam keadaan tidak beriman atau dalam keadaan kemungkaran dan maksiat, atau berada di dalam suasana dan persekitaran yang terdapat elemen-elemen kemungkaran dan maksiat, maka syaitan akan merampas ILMU itu daripada Malaikat dan menukarkan ILMU itu menjadi PENGETAHUAN. Maka PENGETAHUAN-lah yang dibawa oleh syaitan hingga sampai ke dalam qalbu seseoarang. Maka akibatnya, walaupun asalnya ia adalah ILMU, tetapi oleh kerana pengaruh faktor-faktor tertentu tadi, Syaitan berjaya dapat menukarkan ILMU itu menjadi PENGETAHUAN untuk disampaikannya ke dalam qalbu seseorang itu, kerana manusia yang sepatutnya menerima ILMU itu tadi melakukan kemungkaran atau maksiat.

Iman As-Syafi’e berkata: [i][b]“Aku pernah mengadu kepada Shaikh Waki’ tentang keburukan hafalanku, maka beliau memberi petunjuk kepadaku supaya meninggalkan kemaksiatan. Beliau memberi nasihat kepadaku bahawa ilmu itu adalah Nur (Cahaya dari Allah) dan Cahaya dari Allah itu tiada akan ditujukan kepada orang yang berbuat kemaksiatan.” [/b][/i][Zabidi Hj. Nawawi, “Himpunan Nasihat Tokok-Tokoh Islam Sedunia”, Pustaka Muda, Ipoh, Perak, 1995, ms. 29.]

Apakah PENGETAHUAN? PENGETAHUAN ialah ketibaan roh ma’na yang tidak diredhai oleh Allah SWT. yang sampai ke dalam qalbu seseorang. Maka pembawa PENGETAHUAN dari sumbernya sehingga sampai ke dalam qalbu seseorang itu adalah syaitan. Syaitanlah yang menyampaikan PENGETAHUAN itu masuk dan tiba ke dalam qalbu (hati) seseorang.
Hampir semua mata pelajaran yang diajar oleh guru di sekolah atau di Universiti yang tidak bercanggah dengan ajaran Islam; asalnya adalah ILMU. Ilmu Sains, Mathematik, Geografi, Agama Islam dll. adalah ILMU. Tetapi anda boleh buat analisis, hasil proses pengajaran-pembelajaran yang dilaksanakan itu; input yang diterima oleh para pelajar, adakah ia meruapakan ILMU atau hanya menjadi PENGETAHUAN?

Contoh: Bagi seorang wanita Islam, sewaktu ia di sekolah rendah dahulu ada dia belajar dalam ILMU Agama Islam bahawa wanita Islam mestilah menutup aurat. Apa yang dia pelajari itu adalah ILMU. Tetapi apabila ia sudah dewasa, menjadi isteri orang kenamaan misalnya, di kalayak ia mendedahkan auratnya dengan kepala dan rambutnya dapat dilihat oleh khalayak. Ini membuktikan bagi wanita ini, yang ada di dalam qalbunya, bukanlah ILMU mengenai penutupan aurat itu. Ia tahu bahawa mendedahkan aurat adalah berdosa, dan menutup aurat adalah wajib baginya; tetapi kefahamannya kini mengenai kewajiban menutup aurat yang berada di dalam qalbunya adalah hanya sebagai PENGETAHUAN saja, bukannya lagi merupakan sebagai ILMU.

Pelajaran Matematik misalnya, apabila diajar oleh guru dan sampai boleh diterima oleh para pelajar, adakah ia merupakan ILMU Mathematik atau PENGETAHUAN Matematik? Pelajaran Agama Islam yang diajar oleh ustaz dan ustazah, adakah apabila sampai ke dalam qalbu para pelajar, maka yang sampai itu merupakan ILMU Agama Islam atau PENGETAHUAN Agama Islam?

Kita boleh mengerti jawapan kepada soalan-soalan itu tadi dengan melihat tingkah laku seseorang. Seseorang yang dahulunya belajar berjaya dengan cemerlang dalam pelajaran ILMU Matematik dan lulus dengan cemerlang di Unversiti dalam bidang ILMU Perakaunan misalnya, tetapi setelah menjawat jawatan Akauntan dalam sebuah Syarikat, ia memanipulasi akaun Syarikat itu bagi membolehkan ia mengaut keuntungan peribadi secara haram. Ini bererti, ILMU Matematik dan ILMU Perakaunannya telah hilang; kerana telah ditukarkan oleh Syaitan menjadi PENGETAHUAN Matematik dan PENGETAHUAN Perakaunan.

Semua orang lelaki Islam belajar ILMU Agama Islam faham bahawa mendirikan SHOLAT Jumaat itu adalah wajib. Ini adalah ILMU yang ia belajar. Tetapi banyak kali tanpa uzur syariei, ia tidak pun ke masjid untuk bersama jemaah mendirikan SHOLAT Jumaat. Ini membuktikan yang ada di dalam qalbunya itu bahawa mendirikan SHOLAT Jumaat itu adalah wajib bukannya lagi sebagai ILMU baginya, tetapi telah bertukar menjadi PENGETAHUAN-nya saja.

Seorang ahli POLITIK beragama Islam misalnya, ia berkelulusan Universti dalam bidangan Pengajian ILMU Islam. Sudah pastilah ia ada mendengar atau mempelajari Al-Hadis, misalnya 2 Hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “TIDAK BERIMAN SEORANG MU’MIN ITU SEHINGGA IA MENCINTAI SAUDARANYA SEBAGAIMANA IA MENCINTAI DIRINYA SENDIRI” dan “ANTARA MU’MIN DENGAN MU’MIN ITU ADALAH BERSAUDARA BAGAIKAN SATU TUBUH….” [Hadis-Hadis Sahih Bukhari & Muslim]. Adakah mereka yang menggunakan wadah dan wahana POLITIK menerima-pakai maksud kedua-dua Al-Hadis ini? Sudah tentu tidak! Terhadap ahli-ahli parti POLITIK yang seagama difitnah; malahan dalam parti POLITIK yang sama pun sesama ahli mahu dijatuhkan atau bersetuju dipenjarakan untuk menjatuhkannya melalui konspirasi. Ini membuktikan bahawa ILMU mengenai hadis-hadis itu tadi, baginya telah bertukar menjadi hanya sebagai PENGETAHUAN-nya saja di dalam qalbunya.

Majoriti umat Islam tentunya menyedari adanya al-hadis yang bermaksud: “Apabila kanak-kanak berusia 7 tahun hendaklah ia diperintah mendirikan sholat dan apabila sampai usianya 10 tahun hendaklah ia dipukul jika ia tidak mendirikan sholat.” [HR al-Bukhari-Muslim]. Setiap al-hadis sahih adalah ILMU. Adakah ia merupakan ILMU bagi anda, atau hanya tinggal *****a sebagai PENGETAHUAN saja? Jika anda tidaka mematuhi maksud al-Hadis itu apabila anda ada anak-anak dalam lingkungan usia tersebut bererti al-hadis tersebut hanyalah merupakan PENGETAHUAN saja di dalam qalbu anda!

Sistem Pendidikan Kebangsaan di Malaysia adalah jelas sebagai sistem yang menyampaikan PENGETAHUAN kepada para pelajar, rata-rata bukannya menyampaikan ILMU. Kita boleh lihat di sekolah-sekolah dan di universiti, proses pengajaran dan pemelajaran adalah tidak merupakan proses untuk menyampaikan ILMU tetapi majoritinya adalah proses menyampaikan PENGETAHUAN. Ini adalah kerana untuk menyampaikan ILMU, persekitaran dan suasananya mestilah merupakan MAJLIS ILMU.

Sesuatu kelas atau bilik kuliah itu tidak boleh dikatakan sebagai MAJLIS ILMU apabila terdapatnya elemen-elemen kemungkaran seperti guru atau pensyarah wanitanya beragama Islam tidak menutup aurat, para pelajar wanitanya yang beragama islam tidak menutup aurat dan bercampur-gaul pula dengan pelajar lelaki yang bukan mahram; duduk berdekat-dekatan. Keadaan dan situasi ini hanya layak diklasifikasikan hanya sebagai MAJLIS PENGETAHUAN, dan ia bukannya MAJLIS ILMU.

Fungsi ILMU dan PENGETAHUAN adalah sama, iaitu ia membentuk KEFAHAMAN kepada seseorang setelah ia sampai ke dalam qalbu. Dari KEFAHAMAN, ia bertukar menjadi KEYAKINAN, dari KEYAKINAN ia bertukar menjadi NILAI, dan NILAI ini pula membentuk SIKAP, dan SIKAP itulah pula yang mencorakkan TINGKAH LAKU: iatu bagi ILMU tingkah laku yang memiliki ILMU adalah diistilahkan sebagai IBADAT, tetapi bagi PENGETAHUAN, tingkah laku yang memiliki PENGETAHUAN adalah diistilahkan sebagai PERANGAI.

Kenapakah dalam bahasa Melayu diistilahkan sebagai PERANGAI? Sebabnya ialah ia berasal dari perkataan PERANG, iaitu yang kita umat Islam mesti "perangi" dengan cara melalui pelaksanaan kaedah yang terdapat dalam ajaran Islam, iaitu [i][b]“amarmakrufnahimungkar”.[/b][/i]

[Dipetik dari koleksi Pemikiran RAMPA]

Thursday, January 10, 2008

Kenali Tokoh Ilmuan


Kehidupan manusia jika dikaji sebenarnya kita sentiasa terpengaruh dengan alam sekitar dalam setiap sudut kehidupan. Masalan dalam perkara yang kita fokuskan dalam bidang ilmuan. Seorang mahasiswa yang berketerampilan dalam pengajian adalah tercatit dalam diari kehidupannya mempunyai beberapa orang tokoh ilmuan yang dikaguminya dan dijadikan sumber inspirasi serta role model untuk berjaya. Antara Tokoh Muktabar 'Alim 'Allamah yang boleh kita jadikan beliau role model supaya kita mengikuti langkah perjalanan pengajian beliau sehingga beliau dinobatkan seperti gelaran Syeikhul Fatih.Beliau yang dimaksudkan Al Syeikh Yusuf Al Qardhawi.


Latar Belakang Kehidupan Dan Perjalanan Pengajian


Yusuf Abdullah al-Qaradhawi seorang tokoh ulamak yang terkenal dalam abad ini. Beliau merupakan seorang pemikir, sarjana dan intelek komtemporori yang tidak asing lagi di dunia Islam. Beliau lebih dikenali sebagai Yusuf al-Qaradhawi. Yusuf al-Qaradhawi dilahirkan di desa Shafat al-Turab, Mahallah al-Kubra Negeri Gharbiah, Mesir pada 9 September 1926 bersamaan 1344H. Nama penuhnya ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Al-Qaradhawi merupakan nama kelurganya. Nama ini diambil dari sebuah daerah yang bernama al-qardhah. Dan dinisbahkan kepada keturunannya. Di kampungnya ini terletaknya makam sahabat nabi yang meninggal di Mesir iaitu Abdullah bin Harith bin Juz al-Zubaidi.


Di kampung inilah beliau tinggal sehingga wafat pada tahun 86H. Sehingga kini makamnya sangat dimuliakan dan para penduduk kampung amat berbangga dengannya.Perkara ini telah dinyatakan oleh pengkaji sejarah seperti Ibn Hajar ketika menceritakan kisah sahabat ini. Al-Qaradhawi menyebutkan bahawa beliau berasal dari keluarga yang kuat beragama dan bapanya bekerja sebagai petani dan keluarga sebelah ibunya bekerja sebagai peniaga. Beliau menjadi yatim ketika berusia 2 tahun setelah ayahnya meninggal dunia. Kemudian beliau dipelihara oleh bapa saudaranya bernama Ahmad. Bapa saudaranyalah yang menjadi bapa dan sepupu-seppunya sebagai saudara-saudara beliau.


Beliau telah dibesarkan dengan penuh kasih sayang dan mendapat keistimewaan daripada keluarga. Malah kata Yusuf sendiri: “ itulah gantian daripada takdir yang menjadikan saya yatim ketika berusia masih terlalu awal.” Ketika berusia 5 tahun, Yusuf telah dihantar ke kuttab di kampungnya untuk menghafaz al-Quran. Apabila usianya menjangkau 7 tahun, beliau memasuki sekolah rendah (madrasah Ilzamiyyah) yang diuruskan oleh Kementerian Pendidikan. Di sekolah ini, beliau belajar matematik, sejarah, kesihatan dan lain-lin.


Yusuf sejak kecil lagi mendapat pendidikan secara formal melalui sekolah kerajaan di sebelah pagi dan pendidikan agama (al-Kuttab) di sebelah petang.Yusuf menyebutkan : “ sebelum usia saya mencapai 10 tahun, saya telah dikurniakan oleh Allah dengan dapat menamatkan hafalan al-Quran sepenuhnya bersama pelajaran hukum-hukum tawjid.Saya masih tidak lupa ketika mereka mengadakan perayaan khatam al-Quran untuk saya seperti kebiasaan yang dilakukan oleh al-Kuttab. Mereka memberi minum dan kuih muih. Saya membca akhir surah-surah al-Quran dari surah al-Dhuha sehingga surah al-Nass. Ketika saya membaca akhir setip surah mereka menyambutnya dengn ucapan takbir dan tahmid. Pelajar bertakbir bersama saya.


Begitulah kebiasaan perayaan yang dilakukan pada setiap pelajar di kuttab.”. Di kampungnya tersebut mempunyai 4 buah Kuttab di mana wujud persaingan yang sihat bagi penghafal al-Quran di kalngan penuntutnya.Sejak kecil lagi, al-Qaradhawi bercita-cita untuk belajar di al-Azhar dan menjadi salah seorang daripada ulamaknya,Pada pandangan beliau, al-Azhar merupakan menara ilmu . Beliau juga terpengaruh dengan ulamak-al-Azhar di kampungnya seperti Syeikh Ahmad Muhammad Saqar, Syeikh Ahmad Abdullah, Syeikh Ahmad Battah dan Syeikh Abdul Mutalib Battah. Sejak kecil lagi beliau telah menunjukkan ciri-ciri ulamak.


Bakatnya terserlah apabila sering dipanggil untuk menjadi imam dan syarahan agama di Masjid kampungnya. Beliau menyebutkan bahawa semenjak hari itu ( hari khatam al-Quran) penduduk kampung terutama Syeikh Yusuf telah meminta kepada saya untuk menjadi imam apabila bersolat terutam solat jahriah kerana kurniaan Tuhan kepada saya yang dapat membaca al-Quran dengan baik.Ini merupakan penghormata yang terlalu awal, menyebabkan saya tidak mempunyai peluang bermain sebagaimana yang dinikmati oleh rakan sebaya.


Kehidupan seorang yang agung bermula sejak kecil lagi. Sausana rumah, keluarga dan masyarakat memberi saham yang besar dalm membentuk jiwa seseorang.Yusuf telah didewasakan dalam suasana keislaman yang kuat dan mantap. Bukan sahaja keluarga bapa saudaranya tetapi penduduk kampungnya yang telah mengambil berat dan memberi penghargaan kepada kanak-kanak yang menghafal al-Quran.Agama merupakan faktor utama yng sangat mempengaruhi kehidupan penduduk shafat al-Turab.


Agama adalah penunjuk arah bagi pemikiran serta sumber utama dalam membentuk budaya mereka dan memberi pengaruh utama dalam kegiatan harian mereka. Perkara ini dapat diketahui melalui kegiatan penduduk di situ yang sentiasa mengimarahkan masjid-masjid terutama dalam bulan Ramadhan, sambutan hari kebesaram Islam seperti perayaan sambuatan Maulid nabi dan Israk mikraj. Di samping itu, penduduk kampung amat peka terhadap pengajian al-Quran kepada kanak-kanak. Terdapat empat kuttab dalam kampung tersebut iaitu kuttab Syeikh Dasuqi, Kuttab Syeikh Nuruddin, Kuttab Syeikh Hamid Abu Zuwail dan Kuttab Syeikh Yamani Murad. Al-Qaradhawi belajar di kuttab Syeikh Hamid Abu Zuwail.


Al-Qaradhawi juga telah menghafal kitab al- Tuhfat yang berisi hukum-hukum tajwid. Sejak itu juga, beliau menjadi imam solat dan penduduk kampung amat menyukai bacaanya ketika bersembahyang. Mereka selalu menyuruh beliau menjadi imam terutama solat Subuh dan sejak itu mereka mengelarkannya sebagai ‘syeikh Yusuf’ . Pada masa itu, umurnya berusia 10 tahun. Apabila tamat madrasah Ilzamiyyah, beliau melanjutkan pelajaran ke Maahad Rendah Tanta (madrasah ibtida’ittah) selama 4 tahun dan di Maahad Menengah (madrasah thanawiyya) selama lima tahun.Maahad ini terletak dibawah penguasaan al-Azhar.


Menurut al-Qaradhawi, pada mulanya bapa saudaranya enggan menghantar beliau ke sekolah maahad al-Azhar kerana ia memakan masa yang lama apatah lagi banyak graduannya menganggur ketika itu. Bapa saudaranya inginkan beliau menamatkan pelajaran dan cepat mendapat pekerjaan atau menjadi peniaga yang berjaya. Tetapi takdir allah yang menentukan apabila ada seorang syeikh yang datang melawat kampung shafat al-Turab dan menyarankan kepada bapa saudara bahawa wajib beliau menghantar saya ke al-Azhar. Saat itulah yang merubah kehidupan al-Qaradhawi dan menjadi salah seorang pelajar di Maahad Agama Tanta dengan memakai pakaian rasmi al-al-Azhar iaitu jubah dan serban merah.


Semasa di Maahad Tanta, al-Qaradhawi mulai banyak membaca buku. Ia tidak hanya membatasi diri untuk membaca buku-buku silibus sahaja, tetapi buku-buku yang lain untuk meluaskan ufuk pemikiran dan menghilangkan kehausan terhadap ilmu pengetahuan. Untuk itu, al-Qaradhawi mendapatkan buku-buku tersebut melalui perpustakaan Dar al-Kutub Tanta atau menyewanya dari perpustakaan Fak al-azmah. Pada masa ini, bacaan al-Qaradhawi lebih tertumpu kepada dunia kesusasteran Arab dengan membaca buku-buku karya al-Manfaluti, Mustafa al-Sadiq al-Rafa’i Taha Husain, Abbas Aqqad dan Ahmad Amin.


Di Maahad Agama Tanta, al-Qaradhawi belajar dengan al-Bahi al-Khuli, Syeikh Mahmud al-Diftar dan Syeikh Mutawalli Sya’rawi.Semasa beliau belajar di Maahad Agama Tanta peringat rendah, ibunya telah meninggal dunia. Ketika itu beliau berusia 15 tahun. Setelah tamat Maahad Tanta, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar.Pada tahun 1952/1953, beliau berjaya menyelesaikan kuliah di Fakulti Usuluddin. Beliau tamat dengan menjadi pelajar terbaik dari 180 orang mahasiswa. Yusuf kemudiannya mengambil pengkhususan di fakulti Bahasa Arab selama dua tahun. Beliau memperolehi ijazah sarjana dan diploma pendidikan dengan pangkat pertama daripada 500 orang mahasiswa.


Pada tahun 1957, beliau menyambung pelajaran ke Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi yang dikelolakan oleh Liga Arab sehingga memperolehi diploma Bahasa Arab dan Sastera. Dalam waktu yang sama, Yusuf mendaftar calon ijazah tinggi di Fakulti Usuluddin dalam bidang tafsir dan hadith sehingga menamatkan pengajian pada tahun 1960. Kemudian, beliau menyiapkan diri untuk mendapatkan untuk mendapatkan Ph.D dalam fiqh al-Zakat yang diwajibkan untuk diselesaikan dalam masa dua tahun. Oleh kerana keadaan politik Mesir cukup gawat ketika itu, beliau terpaksa menanguhkan pengajiannya selama 13 tahun. Akhirnya pada tahun 1973, beliau berhasil memperolehi ijazah Ph.d. Tesis tersebut mendapat pujian dan menjadi kebanggaan kebanyakan ulamak termasuk Mawdudi dan Muhammad Mubarak.


Kini Beliau merupakan tokoh yang tidak asing lagi dalam dunia ilmuan. Menjadi Tempat rujukan dan tempat menyelesaikan banyak masalah yang berkaitan dengan kotemporari kini.

Thursday, November 29, 2007

Adab Menuntut Apa Jua Ilmu Dan Pengetahuan


Ilmu adalah sesuatu yang lebih bernilai dan lebih berharga berbanding emas dan permata.Ilmu tidak diperolehi jika tiada usaha,kesungguhan,ketabahan dan kecekalan untuk mencapainya.Ilmu yang dimaksudkan bukan hanyalah ilmu agama malah merangkumi semua bidang termasuklah perubatan ,arkitek,mekanik dan pelbagai lagi.Ini sesuai dengan dinamakan ilmu yang bermaksud pengetahuan. Segala jenis pengetahuan samada duniawi atau ukhrawi adalah ilmu.


Untuk mendapat ilmu yang berkat dan bermanfaat ulama' menggariskan beberapa adab yang perlu diikuti oleh para penuntut ilmu.Adab adalah sesuatu perkara yang mesti atau wajib dalam melakukan apa jua kerja.Dengan adablah kita dihormati dan disegani serta yang penting kita tidak dibenci orang malah disukai oleh orang.Ini adalah kelaziman dalam kita melakukan sesuatu perkara contohnya ada ada makan,adab tidur,adab masuk dan keluarm masjid dan lain-lain.Ini menunjukan bahawa islam menitik beratkan amalan beradab.Tambahan pula dalam menuntut ilmu seharusnyalah kita mempunyai adab agar apa yang dituntut diberkati dan dirahmati.


Antara ada-adab yang perlu ada dalam diri penuntut ilmu adalah seperti berikut:


  1. Iklaskan niat kerana Allah.

  2. Sentiasa menyucikan zahir dan batin daripada perkara maksiat.

  3. Merendahkan diri dengan guru.

  4. Memandang guru dengan penuh penghormatan serta membesarkannya.

  5. Membersihkan hati daripada dosa.

  6. Sanggup menghadapi sesusahan dan kepayahan.

  7. Mengelakkan diri daripada bermain dan melakukan perkara yang sia-sia serta kurang beradab ketika dalam majlis ilmu.

  8. Mengelakkan dari perkara yang menyibukkan kita daripada belajar.

  9. Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

  10. Memilih syeikh atau guru.

  11. Memilih sahabat yang baik dan soleh supaya dapat membimbing kita dalam hal urusan yang kita kurang mahir.

Inilah antara adab-adab dalam menuntut ilmu pengetahuanyang mesti menjadi darah daging kepada penuntut ilmu yang mengiginkan ilmu yang bermanfaat serta diberkati.Ilmu tak berguna jika tidak dipraktikan dalam kehidupan seharian.Semoga kita semua tergolong dalam golongan orang yang mendapat rahmat dari Allah S.W.T kerana mengamalkan apa yang dipelajari dan semoga kita berada dalam naungan Allah S.W.T disaat kita mencari ilmu pengetahuan untuk dimanfaatkan terhadap diri,masyarakat dan agama.