Monday, August 9, 2010

Ya Allah.. Satukan Hati Mahasiswa/wi Malaysia Mesir Bersama PMRAM

Assalamualaikum..

Lihat pada tajuk pun orang akan kata kuat PMRAM betui dia ni.. Saya menulis mengikut pemerhatian saya. Bila saya menyaksikan secara langsung sambutan Karnival Kenangan 80 tahun PMRAM ( KEKAL 10 ) bersempena Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-53 (PMHK) saya merasakan anak-anak Malaysia secara realitinya perlu menggabungkan diri dengan persekutuan ini. Bukannya lagi fantasi atau hanya ahli pada borang yang pernah diisi pada tahun 1 saat mula-mula sampai di Bumi Barakah ini, tetapi sungguh-sungguh menggembeleng tenaga untuk menggapai matlamat berwasilahkan pertubuhan yang lahir sejak 1930 ini.

Mendegar ucapan aluan Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime yang juga sahabat saya sejak tiba di Mesir menyatakan Islam adalah syumul. Agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Beliau juga menyatakan PMRAM pertubuhan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang juga berhasrat menjadi persatuan yang bersifat dengan sifat yang syumul kepada mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. Saya tertarik dengan ucapan ini, bagi saya kita harus berfikir dengan baik ini melambangkan perpaduan di kalangan kita cukup-cukup ditekankan. Bukan untuk menaikkan satu pihak dan menjatuhkan satu pihak yang lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud "Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam" ini adalah seruan perpaduan kepada semua masyarakat tidak mengira perbezaan warna kulit,bangsa, pertuturan,kaya, miskin dan lain-lain hanyasanya Agama Islamlah agama yang diiktiraf disisi Allah S.W.T. Dan Allah S.W.T mengutuskan para rasul dan anbiya' untuk menyampaikan risalah ini dan menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan penerus untuk menyambung perjuangan ini agar Islam ini dijadikan Agama yang menyatukan semua umat manusia.

Melihat kepada pertubuhan matlamat dan misi PMRAM saya yakin dan percaya dengan usia mencecah 80 tahun PMRAM dengan perjuangannya mempertahankan hak mahasiswa, suara mahasiswa, sumbangan mahasiswa, penglibatan mahasiswa dan kebersamaan mahasiswa perlu disambut oleh semua mahasiswa/wi di bumi Perlembahan Nil ini. PMRAM menganjurkan pelbagai program serta mewujudkan pelbagai komuniti dan kelab semata-mata untuk membuka ruang kepada seluruh mahasiswa/wi menyertai dan sekaligus menjadi nilai tambah terhadap kemahiran dan bidang yang disertai mengikut minat dan kecenderungan mahasiswa/wi itu sendiri. Cuba perhatikan PMRAM secara langsung atau tidak langsung mengajak kita semua bersatu. Diadakan program tafaqquh dan thaqafah,sukan, perniagaan, kursus-kursus kemahiran, seminar-seminar ,forum-forum dan lain-lain hanyasanya ingin menyatukan semua mahasiswa/wi disamping mendapat manfaat dalam program-program yang dianjurkan. Dari sudut kemahiran dan keterlibatan pula PMRAM wujudkan pelbagai komuniti dan kelab seperti Lajnah Baitul Muslim, Unit Hisbah, Prosma, Mini Pavilion, Al-Fityan, PMC , Al-Wadi selain itu mahasiswa/wi boleh menjadi ahli jawatankuasa di bawah Badan Pengurus dan HEWI PMRAM secara langsung. Ini menggambarkan PMRAM sesuatu pertubuhan yang harus didokongi oleh semua mahasiswa/wi. Saya menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sidang pembaca sekalian agar kita tekad bersatu khususnya azhari dan azhariah dalam misi menjadi agen perubah bila berada ditengah-tengah masyrakat kelak. Perselisihan itu biasa tetapi janganlah sampai matlamat yang hendak dituju yang hendak dicapai menjadi sukar atas kerana sikap dan tindakan kita sesama mahasiswa/wi yang tidak bersatu malahan bercakaran antara satu sama lain.

Persatuan ini milik semua. Kita bebas menyuarakan padangan dan pendapat. Bersuaralah wahai mahasiswa/wi dengan suara mahasiswa/wi yang sebenar. Jika kita menilik ucapan Kuasa Usaha Sementara, En Saiful Muhammad perasmi pada malam perasmian KEKAL 10 itu, beliau mengiktiraf dan menyatakan bahawa PMRAM ini satu persatuan yang penuh dengan jasa dan ianya perlu diteruskan dan bagi pihak kedutaan menjadi tanggungjawab untuk bersama pelajar dalam menjaga kebajikan dan menjayakan aktiviti yang bakal menjadi kebaikan buat semua mahasiswa/wi. Kesatuan ini sangat peting. Kebersamaan ini amatlah berharga. Saya sekali lagi menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian marilah kita sama-sama berdoa agar dicampakkan kekuatan mahabbah dan ukhuwaah di kalangan kita demi tujuan yang satu untuk memartabatkan Islam di hati dan mata masyarakat. Kesempatan kita di bumi yang dikenali dengan gedung ilmu ini, kutiplah ilmu yang sebanyak mungkin buat bekalan menemui ummah. Sibukkan diri dengan perkara yang manfaat yang meningkatkan keilmuan,jati diri, kemahiran, kesedaran dan kesungguhan agar harapan yang dipertaruhkan oleh ibu bapa,keluarga, masyarakat, bangsa dan agama tercapai dengan penuh rahmat dan berkat.

Tahniah PMRAM dan semua yang terlibat dalam menjayakan KEKAL 10. Alfu Almubarak buat kontinjen Kedah yang diketuai oleh Ustaz Fairuz Shuib walaupun orang baru di Kaherah tetapi berjaya membawa dan mengetuai kontinjen ini sehingga saat akhir. Tahniah kepada yang berjaya dan yang kurang berjaya kita cuba lagi di musim hadapan.





Abu Bakar Bin Razak
Asrama Darul Aman 2 Haiyu Asyir
9.16 p.m 9 Ogos 2010.

Wednesday, August 4, 2010

MAJLIS RAMAH MESRA MB KEDAH war-warkan...

Assalamualaikum..

Kepada semua anak Kedah di Mesir satu pengumuman penting sempena kehadiran MB dan rombongan ke Mesir, Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK), Pejabat Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah (PPHEPKTT) dan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) menganjurkan majlis ramah mesra bersama Y.A.B Dato' Seri Ustaz Haji Azizan b. Abd Razak, Menteri Besar Kedah Darul Aman. Dengan itu, saya sebagai Ketua Unit Perhubungan dan Publisiti mewakili sahabat dan sahabiah pelaksana program mengalu-alukan kehadiran anak-anak Kedah sekalian bagi menyerikan majlis ramah mesra ini. Menurut Syeikh Yusoff b Haji Ahmad, Pegawai Hal Ehwal Pelajar Kedah Timur Tengah yang lebih mesra dengan panggilan abah menyatakan Yang Amat Berhormat MB mengharapkan semua anak Kedah hadir pada hari ramah mesra tersebut kerana terdapat beberapa pesanan dan amat penting dari Yang Amat Berhormat MB khas buat anak-anak Kedah di Mesir.

Marilah sama-sama kita turun memberi komitmen kepada kepimpinan kerajaan negeri kita. Kepada kawan-kawan yang terbaca pengumuman ini atau mendapat iklan yang diedarkan tentang program ini harap dapat war-warkan kepada kawan-kawan yang lain. Kepada kawan-kawan dari cawangan sila hubungi mandub dan mandubah untuk dapatkan informasi mengenai pengangkutan yang disediakan.


Harap program ini berjalan dengan lancar dan jayanya, InsyaAllah ianya hasil usahasama kita semua yang mendokong kerajaan negeri dalam mentadbir dan membimbing masyarakat ke arah pembangunan insan dan pembangunan jati diri sebagai seorang muslim sekaligus berjaya membentuk amal islami di kalangan masyarakat secara total.

Friday, July 30, 2010

WARKAH BUAT MANTAN AJKT HEWI MKKK

Assalamualaikum..

Saat saya menulis tajuk ini saya telah bertanya pandangan dan pendapat kawan-kawan yang pernah menjadi kepimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) adakah harus saya menulis warkah terbuka ini. Natijahnya boleh dikatakan semuanya cenderung supaya warkah ini dilakarkan. MKKK sebuah badan kebajikan yang tidak asing lagi buat anak-anak Kedah yang menjaga kebajikan dan prestasi akademik agar sentiasa maju dan meningkat. Dengan mottonya "Bersatu & Berjuang" menyebabkan MKKK kukuh berdiri dari tahun ke tahun dalam memastikan hadafnya kepada anak-anak Kedah di Mesir ini sentiasa terbela. Warkah ini saya tujukan khas buat mantan dan bakal mantan MKKK apabila saya melihat keadaan semasa yang berlaku yang wajib dibaik pulih dan dibaik damaikan.

Sahabat dan Sahabiah Mantan Sekalian,

Kepimpinan bukanlah sesuatu yang diinginkan atau yang didambakan tetapi kepimpinan sesuatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan apabila ianya terpundak dibahu kita. Maka fahamlah bahawa pimpinan MKKK bukanlah orang yang hendak kepada jawatan tetapi memikul tanggungjawab apabila dilantik oleh ahlinya.

Mutakhir ini saya melihat kepimpinan MKKK agak mempunyai kekangan yang hebat. Saya melihat ini sesuatu musibah. Ahli MKKK yang kian lama cukup bijak mengkritik dan cukup bijak mengeluarkan kata-kata kesat kepada kepimpinan. Saya ingin tujukan soalan, di mana kepercayaan dan kebersamaan kita kepada kepimpinan? kita faham apa itu organisasi dalam islam. Ianya cukup murni. Hadaf dan matlamat MKKK cukup jelas. Hanya yang timbul cara dan pelaksanaan diperingkat kepimpinan yang kadang-kadang memang memerlukan pendapat dan pandangan daripada ahli khususnya yang bergelar mantan.

Saya tidak berniat ingin menggambarkan permasalahan dan konflik kita di ruang laman yang boleh dibaca oleh manusia satu dunia tetapi hanya ingin memberi sedikit sentuhan agar kita kembali bersatu dan kembali menyusun dan merangka MKKK ini secara bersama.

Sahabat dan Sahabiah Mantan Sekalian,

Saya tidak mahu bercerewet panjang, apa yang saya harapkan kita semua memberi kepercayaan yang jitu kepada kepimpinan. Saya harapkan kita bersama dari segi segala aspek. Ya, perselisihan itu berlaku tetapi perselisihan untuk mencari jalan yang terbaik. Bukan perselisihan menatijahkan perbalahan dan pepercahan.

Padangan dari mantan-mantan sekalian amat berguna buat kepimpinan. Para mantan mempunyai pengalaman yang banyak dan idea yang bernas untuk diterjemahkan oleh kepimpinan sekarang agar ianya menjadi realiti. Ini penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan MKKK ini dapat diteruskan oleh generasi mendatang. Saya menyeru berilah tunjuk ajar dan teguran secara baik bukanlah cara yang tidak dianjurkan oleh islam.

Saya juga mengharapkan kesatuan yang sekian lama terbina ini terus utuh dan teguh dengan kerjasama yang harmoni oleh mantan sekalian. Semoga kesatuan ini dilindungi oleh Allah S.W.T. Marilah sama-sama kita semarakkan semangat kebersamaan dalam membina keilmuan dan semangat untuk sama-sama berjuang di medan kelak dengan penuh ukhuwwah. Sesungguhnya kita mengetahui bahawa Allah dan RasulNYa sentiasa menyeru agar umatnya bersatu dibawah payung islam. Agama sesuatu yang murni, kitalah yang bertanggungjawab mencorak dan menterjemahkan kepada masyarakat dengan sebaik-baik tindakan.

Akhir kalam.. Semoga warkah yang pendek dan ringkas ini memberi manfaat kepada semua mantan. Walau dimana posisi kita, disitulah kita berjuang. Walau dimana bumi dipijak, disitulah islam kita dirikan.

Salah silap kita betulkan bersama.
Sekian Wassalam.

Abu Bakar Razak Haiyu Sabeik, Kaherah 31 Julai 2010, 6.41 a.m.

Wednesday, July 21, 2010

SEMAK KEPUTUSAN PEPERIKSAAN UNIVERSITI AL-AZHAR AS-SYARIFF

Semak keputusan peperiksaan Universiti Al-Azhar bagi sesi akademik 2009/2010 untuk zon berikut;

1- Kaherah – Siswa

2- Kaherah – Siswi

3- Iskandariah – Siswi

Untuk semak, pilih fakulti dan tahun, kemudian tuliskan angka giliran (roqom julus). Jika keputusan tidak dipaparkan, kemungkinan belum dimasukkan oleh pihak pentadbir laman.

Keputusan belum menyeluruh. Hanya sebahagian fakulti sahaja baru dikeluarkan. Selebihnya akan dimasukkan dari masa ke semasa. Insya Allah

Layari www.waag-azhar.com untuk maklumat lanjut


P/s: akan dikemaskini dari masa ke semasa (Admin Web)




Monday, June 28, 2010

Habis Exam… Jom Balik Malaysia Ka Jom Pulun Ngaji?

OR


Bahang suasana habih imtihan semakin dirasai bahkan dah ada dikalangan sahabat dan sahabiah yang telah habis imtihan. Pertarungan dengan kertas soalan di Al-Azhar ini memang menggemparkan. Soalan yang kadang-kadang tidak disangka, adakalanya begitu mudah dan ada kalanya begitu susah hinggakan jawapan itu tiada di dalam kitab. ‘Ala kulli hal usaha, doa dan tawakkal semoga kita semua tergolong dalam insan yang bergelar an-najihin wal faizin.

Post kali ini saya cuba utarakan soalan yang tiap-tiap mahasiswa perlu fikir bersama. Tujuannya bukanlah untuk memeningkan kepala tetapi hanyasanya ingin mencari natijah terbaik antara dua situasi ini yang mana perlu kita jadikan salah satunya ‘kos lepas’. Masih ingat apa itu kos lepas? Tetapi saya takwilkan kos lepas dari sudut situasi, ‘kos lepas’ merupakan satu situasi yang perlu kita lepaskan walaupun terdapat padanya kebaikan kerana situasi yang satu lagi lebih baik dari situasi yang kita lepaskan. Antara balik bercuti di Malaysia dan start pulun ngaji di tempat pengajian yang terlalu banyak disusun untuk santapan ilmu buat para penuntut di Bumi Al-Azhar ini. Suka saya nyatakan para masyaikh kita telah bersusah payah mengatur dan menyusun pengajian agar kita dapat ikuti dan hadiri sekaligus memberi impak positif dalam perjalanan untuk mendalami ilmu ini. Ada pro ada kontra. Jika difikir, balik pun kena juga. Balik berbakti kepada masyarakat sementara waktu cuti. Ada dikalangan sahabat kita memang ditaja pulang untuk menjadi imam khas di bulan ramadhan dan menjadi penceramah undangan serta pengisi pengajian-pengajian di masjid dan di surau-surau.

Sekarang cuba kita dalami jika kita memilih untuk pulang ke Malaysia. Soalan yang kita perlu jawab adalah kenapa kita kena pulang? Apakah faedah kepulangan kita? Adakah kepulangan yang sementara ini membawa lebih banyak manfaat daripada kita tetap berada di Mesir?. Tepuk dada tanya diri.. biasanya orang yang dimintak balik oleh keluarga ini sesuatu yang perlu ditunaikan. Kerinduan keluarga terhadap kita sesuatu yang tidak boleh kita tolak. Keringat ibu dan ayah tergambar bila mereka bersusah payah memasukan duit tambang pulang ke dalam akaun bank agar kita gunakannya beli tiket pulang ke Malaysia. Amat zalimlah kita terhadap ibu bapa jika kita berkeras tidak mahu juga pulang. Selalunya situasi ini berlaku setelah lama kita di Mesir. Contohnya 3,4 tahun di Mesir tetapi tidak pernah sekali pun pulang bercuti. Jadi keadaan ini saya sifatkan terkecuali dalam perbahasan kita. Soalan yang kedua mengenai faedah kepuangan kita. Maksudnya apa yang kita dapat dan apa yang masyarakat dapat dengan kepulangan kita. Ya, saya tak nafikan memang ada dikalangan kita yang memang pulang ada tempat dan memang orang kampung menantikan. Pulang saja kita adalah kerja dan tanggungjawab yang kita kena laksanakan. Dan tidak saya nafikan juga ada sahabat sahabiah kita pulang hanya terperap di dalam rumah sahaja selain keluar menziarah keluarga dan sahabat handai setika di sekolah rendah dan menengah dahulu. Ini dua situasi yang memang berlaku. So, jika pulang ada kerja dan tanggungjawab tiada masalah tetapi persoalannya jika pulang hanya menghabiskan masa bagaimana? Nanti kita rungkaikan sama-sama tandanya ini. Persoalan yang ketiga tentang yang mana lebih manfaat antara kita pulang atau kita tetap di Mesir. Jawapannya telah pasti dan memudahkan kita membuat kesimpulan melalui dua persoalan dan huraian ringkas di atas. Jika kepulangan kita memberi manfaat kepada masyarakat, curahan ilmu yang ada pada kita amat dinantikan dan tiada kesempitan kewangan maka tiada masalah untuk kita sama-sama sahut jom balik Malaysia. Tetapi jika disebaliknya saya mengajak diri saya dan sahabat sahabiah ‘iadah an-nazhor, marrah thaniah untuk berfikir apakah natijah terbaik yang perlu kita buat.

Situasi yang kedua tidak lain tidak bukan kita 100% menyahut jom pulun ngaji. Kerana apa? Tiga perkara yang kita perlu timbangkan. Ilmu,masa dan biah. Saya tidak kisah kalau sahabat sahabiah untuk menambah yang keempat atau yang kelima. Suka saya huraikan dari sudut ilmu. Pertimbangan ini cukup-cukup ulama dan para masyaikh kita tekankan. Bagaimana kita mampu untuk memilih pulang bercuti sedangkan 1001 majlis ilmu menanti kita setelah tamat imtihan ini. Sahabat dan sahabiah kita perlu cukup bersedia untuk terjun di medan masyarakat. Bagaimana ingin kita ke medan perang jika senjata kita belum cukup lengkap. Ilmu inilah senjata yang kita perlu gunakan untuk membenarkan kebenaran dan membatilkan kebatilan yang berlaku di tengah-tengah masyarakat. Tambahan yang terkini di Masjid Al-Azhar akan mula daurah kitab-kitab asas dalam ulum syariah seperti nahu, fiqh syafie, mustholah hadis, tafsir, ilmu tauhid dan tasawwuf yang mesti dikuasai oleh semua penuntut. Dan tenaga pengajar adalah masyaikh yang begitu tinggi ilmunya dan cukup daqiq perbahasannya dalam sesuatu bab. Mufti Mesir juga dijangka akan turun mengajar tafsir pada setiap minggu di Masjid Al-Azhar. Selain di Masjid Al-Azhar terdapat lagi pengajian seperti di Mudhayafah Syeikh Ismail Sodiq Al-‘Adawi, pengajian anjuran Pejabat Rektor Al-Azhar dijangka akan di buat di Rumah Negeri, Sambungan pengajian Kutub Sittah, Pengajian Al-Quran di Al-‘Asyirah Muhammadiah, Pengajian Al-Quran di Masjid Soleh Ja’fari, Pengajian Al-Quran dan Hadis di Masjid Husain R.A, Pengajian Sirah, Hadis dan Tasawwuf di Masjid Al-Asyraf, Muqatthom dan banyak lagi tempat pengajian. Jika disusun jadual untuk pengajian tidak terkejar untuk kita hadir kesemuanya. Namun apa yang penting kita diberi peluang untuk memilih pengajian mana yang perlu kita hadiri mengikut tahap keilmuan yang perlu diisi dan didalami.

Cuba kita perhatikan dari sudut masa, masa yang kita ada cukup singkat. Kadang-kadang masyarakat cukup menekan kita untuk pulang segera sedangkan ilmu dan masa yang kita ada belum mengcukupi. Jadi secara motivasinya masa itu emas, masa ini jika kita alpa ia akan terus meninggalkan kita. Saya syorkan jika kepulangan kita tidak mampu untuk mengisi apa yang dihendaki oleh masyarakat maka tetapkan dahulu di Mesir kutip cukup-cukup mutiara yang berkilauan di hadapan mata yang hanya menantikan tangan kita untuk mencapainya. Kita di Mesir, bukan di Negara lain yang mempunyai sistem tersendiri untuk membentuk para pelajarnya. Di Mesir ini kita sendiri yang mencorak sistem pengajian dan masa kita samada baik atau terbalik. Saya secara peribadi tidak setuju bila orang mengatakan Al-Azhar tidak ada sistem. Saya cukup membangkang. Sepatutnya kita perlu lihat diri kita, apakah layak kita mengatakan Al-Azhar tiada sistem sedangkan kita asyik dengan hanset mahal kita, laptop yang dimuatkan pelbagai pengisian selain pengajian, masa tidur dan istirehat kita berbandang masa kita menghadiri pengajian. Sebenarnya kita yang tidak bersistem. Cuba kita lihat Bagaimana Al-Azhar boleh melahirkan para ulama dan cendiakawan islam yang mampu mengutarakan idea yang bernas terhadap sesuatu masalah dan mampu merungkaikan kesulitan yang dihadapi dunia. Adakah semudah mulut kita menutur Al-Azhar tidak bersistem. Peringatan saya buat diri saya dan sahabat sahabiah sekalian, Al-Azhar ada tarinya ada caranya dan ada matlamatnya. Masa yang ada perlu kita gunakan sebaiknya.

Seterusnya biah atau suasana di Mesir ini takkan kita dapat di negera-negara lain. Maksud saya suasana pengajian. Ya, memang ucapan saya akan dibidas,kerana banyak Negara lain juga yang melahirkan cendiakawan dan intelektual serta ulama yang menjadi rujukan dunia. Namun ingin saya nyatakan adalah buat kesdaran diri saya dan sahabat serta sahabiah yang secara realiti telah berada di bumi barakah ini. Jika kita hadis di majlis pengajian cuba kita lihat manhaj yang dibawa oleh para masyaikh cukup menepati citarasa kita sebagai pelajar. Pengajian dari kulit ke kulit dari kitab ke kitab dari bab ke bab dari fasal ke fasal dari sekecil-kecil perkara sehingga ke sebesar-besar perkara dibahaskan dan diperbincangakan. Saya cukup ingat peringatan Syeikh Sayyid dalam pengajian fiqh kepada para pelajar yang cukup menekankan manhaj Al-Azhar yang perlu pelajar salami. Dalam apa jua masalah haruslah pelajar melihat takrif, ta’lil, taswir, tadlil kemudian barulah mampu kita menyatakan apa natijahnya. Selain itu Syeikh turut menekankan fikrah dalam siri pengajiannya. Fikrah Azhariah yang perlu para penuntut capai. Kefahaman adalah sesuatu yang sangat penting dan ditekankan. Pernah Syeikh Sayyid mengatakan pengajian kitab feqah untuk menghabiskan bab ibadah sahaja memakan masa 10 tahun. Apa yang cuba Syeikh maksudkan adalah penekanan manhaj dan cara untuk memahami kitab adalah lebih utama daripada asyik sibuk membaca kita untuk dikhatamkan tetapi tidak memahami secara detail isi kandungannya. Malakah pembacaan kitab itu menjadi mesej utama kepada para penuntut. Jika telah mampu kita memahami dan mengetahui cara sebenar pembacaan kita nescaya hadirkanlah kitab apa pun kita mampu menghurainya deangan gaya yang terbaik. Ini adalah biah yang cukup emas kepada para penuntut untuk selami dan letakkan sungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu yang berharga ini untuk kita persembahkan kepada masyarakat agar dapat melihat Islam dengan acuan yang sebenar.

Kesimpulannya di tangan sahabat sahabiah sekalian. Jawablah persoalan ini dan pertimbangkanlah sebaiknya. Kita bertuah mendapat seorang Menteri Besar (untuk orang Kedah) yang cukup memahami suasana di Mesir hingga memberi amanat agar jangan jadikan pulang bercuti sebagai adat. Bahkan jadikanlah masa bercuti ini untuk menghabiskan masa menuntut ilmu menambah apa yang kurang mamperbaiki apa yang telah sedia ada. Sehingga ini sahaja. InsyaAllah kita berjumpa di lain posting. Doakan agar kita semua sama-sama berjaya dunia dan akhirat. Sekian Wassalam.

Abu Bakar Razak

Rumah Transit, Haiyu Sabiek.

25 Jun 2010, 6.31 petang.

Friday, June 25, 2010

Daurah Di Anjung Al-Atrak, Masjid Al-Azhar bermula 26 Jun 2010




Salam.. Sahabat dan sahabiah saya lampirkan jadual daurah di Masjid Al-Azhar. Semoga sama-sama hadir.

Ratapilah wajah sebahagian masyaikh yang perlu kita dekati. Bilakah mereka akan mengaku kita adalah pelajar mereka?







Monday, June 14, 2010

SELAMAT HADAPI IMTIHAN WAHAI SAHABAT-SAHABATKU

Bulan Mei, Jun dan Julai adalah bulan yang gementar bagi pelajar-pelajar Universiti Al-Azhar As-Syarif dan juga pelajar perubatan. Bulan yang menyaksikan pelajar-pelajar akan menumpukan sepenuhnya fokus terhadap peperiksaan di universiti.Segala program dan aktiviti ditawaqqufkan hatta sesetengah pengajian di Al-Azhar As-Syariff juga dikurangkan demi memberi laluan kepada para pelajar untuk menilik dan membelek kitab kuliah dari kulit ke kulit demi menghadapi peperiksaan.

Peperiksaan di Al-Azhar begitu unik. Kadang-kadang membuatkan para pelajar ketawa sendirian, kadang-kadang datang perasaan sedih. Mungkin terdapat peristiwa-peristiwa yang tidak dapat dilupakan. Bagi sesiapa yang merasai dialah yang mengetahui. Ada satu cerita yang melucukan. Imtihan syafawi, adalah ujian lisan yang mana pelajar perlu menghafal silibus yang ditetapkan oleh Penyarah di dewan kuliah. Ujian lisan ini memang membuatkan para pelajar gementar. Diceritakan seorang pelajar ini masuk ke dewan ujian maka doktor yang bertugas mengarahkan duduk 'iglis ya syiekh.. duduklah wahai syeikh(pelajar). Maka pelajar itupun duduk. Ditanya lagi "ismak ieh"..siapa nama kamu, lantas pelajar yang kelihatan gegar tubuhnya itu menjawab ismi..nama saya (dirahsiakan). Bermulalah sesi soal jawab. Doktor membaca sepotong ayat quran dan pelajar diarahkan untuk menyambung ayat quran itu. Tamat soalan untuk madah..subjek Al-Quran. Kemudian diajukan soalan mengenai subjek yang lain. Disinilah syahidnya..tempat yang lucu itu.. dalam keadaan gementar, doktor mengeluarkan masalah, lalu mengatakan kepada pelajar dihadapannya itu ishrah.. syarahkan, situasi gementar kadang menjadikan deria pendengaran seseorang kurang jelas. Pelajar tersebut pohon diulang"marrah thaniah ya doktor.. ulang sekali lagi wahai doktor.. maka doktor kata ana biullak ieh.. saya katakan pada kamu.. 'ishrah'syarahkan.. pelajar itu masih kurang jelas, melihat gelagat pelajar itu doktor meninggikan suara "ishrah ya wala.. syarahkan.. dengan tak semena-mena pelajar itu tanpa melihat muka doktor lalu meminum air syai..teh yang berada dihadapannya. Doktor hairan dan tidak menanyakan apa-apa lagi melainkan "khalas itla barrah'.. sudah boleh keluar.. pelajar itupun keluar dari dewan itu dengan hilang dahaga dek meminum air tea doktor sebentar tadi. Ternyata pelajar itu silap dengan doktor cakap ishrah..syarahkan mungkin di terdengar ishrab..minumlah. Maka menyebabkan pelajar itu meminum air tea doktor yang bertugas itu. Cerita ini bersanad. tetapi saya tidak boleh menyatakan sanadnya dikhuatiri para pembaca mengenali pelajar ini.

Apa yang saya maksudkan adalah macam-macam keadaan yang berlaku di musim peperiksaan ini. Namun begitu pelajar tadi cemerlang. Mungkin syafaat Al-Quran dan jawapan dari peperisaan bertulisnya mantap. Semuanya tidak diduga. Apa-apa pun kehidupan di Azhar ini memang menarik dan lebih-lebih gembira apabila berada bersama para ulama disini. Mereka tidak jemu mengajar dan memberi ilmu kepada para pelajar. Sikap dan tawaddu' mereka menyebabkan kita tidak rasa takut atau segan untuk menanyakan soalan sekalipun soalan kita itu remeh namun tetap dilayan.

Bumi ini cukup-cukup berharga. Saya menyeru diri saya dan sahabat-sahabat sekalian untuk sama-sama kita belajar dan bersungguh-sungguh selagi masa mengizinkan. Tekun adalah senjata paling penting dan harus digunakan oleh para pelajar untuk mendalami ilmu disini. Selesai sahaja musim imtihan pengajian-pengajian dan kelas-kelas adakan dijalankan semula. Maka bersiap sedialah kita untuk hadir dalam halaqah-halaqah ilmu ini. Kutiplah sekuatnya mungkin. Mutiara ini akan terlepas dek masa yang kita abaikan. Empat Lima tahun terlalu singkat untuk kita, jadi gunalah masa ini sebaiknya.

Setakat ini dulu coretan saya, asalnya hanya ingin saya ucapankan salam imtihan buat semua dan sama-sama kita berdoakan agar mendapat kejayaan yang cemerlang dan ilmu yang diberkati sekaligus akan menjadi manfaat buat masayarakat yang sekian lama menanti di bumi Malaysia tercinta.


Abu Bakar Razak
CC dekat rumah transit, Haiyu Sabiek