Sunday, June 7, 2009

Setiap Yang Bernyawa Akan Merasai Mati

Tempat Perkuburan Malaysia di Mesir

Pengurusan Jenazah Satu Kewajipan

Firman Allah Ta'ala di dalam kitabnya yang mulia:

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari kiamat"
-Surah Ali Imran Ayat 185-

"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat,walau sesaat pun"
-Surah Al-A'raf Ayat 34-

"Dimana saja kamu berada,kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh"
-Surah An-Nisa' Ayat 78-

Ketiga-tiga ayat dalam ketiga-tiga surah ini adalah jelas bahawasanya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Bagi kita yang nadi masih berdetik dan nyawa masih di kandung badan maka islam menganjurkan kita supaya mengingati mati.Antara cara mengingati mati adalah merenung menggambarkan saat-saat kematian, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah ke kubur, menziarahi kubur dan sebagainya.

Mengingati mati adalah berbeza hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian kadangkala boleh membawa pembunuhan diri.

Adapun memohon dipendekkan umur dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud :
"Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku"

Dengan mengingati mati akan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangannya. Serta bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan harta kebajikan, dan pelajaran sama ada untuk diri atau keluarganya.

Timbul rasa kasih sayang serta muhabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat yang kelak disebut orang dengan kebaikan.Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarganya supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah.

Semoga kita di dalam golongan yang sentiasa mengingati mati agar perbuatan,percakapan, tindakan dan pergaulan kita dalam keadaan berwaspada supaya sentiasa berada dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang hamba dan sekaligus mendapat keredhoan dari Allah subhanahu wa ta'ala.

Mengenai perbincangan tajuk "Pengurusan Jenazah Satu Kewajipan" sepertimana sabdaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallah :

"Hendaklah kamu segera menyelenggarakan jenazah (mayat) jika mayat itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan,dan jika mayat itu tidak baik bererti kamu melepaskan
kejahatan daripada tengkok kamu".(Muttafaqun Alaihi)

"Wahai Ali, tiga perkara jangan engkau lambat-lambatkan.Pertama sembahyang bila telah masuk waktunya. kedua ,menyelenggarakan jenazah bila ia telah hadir (ada) danketiga ketika janda telah ada yang sekupu meminangnya"(Riwayat Ahmaddan At-Tarmidzi)

Kedua-dua Hadis diatas menunjukkan kewajipan kepada kita yang masih hidup untuk menguruskan jenazah dan menyegerakan urusan pengebumian jenazah.Walaupun pengurusan jenazah adalah fardhu kifayah namun alangkah baiknya kita semua juga mengetahui bagaimana urusannya dan khusus buat azhariyyun yang memang bila pulang kelak sebagai satu cahaya dalam masyarakat dalam mendorong masyarakat menghayati amal islami dalam kehidupan. Jadi antara perkara terpenting adalah memahami dan mampu melaksanakan urusan pengebumian jenazah.

Bagaimana pengurusan jenazah Malaysia yang meninggal dunia di Mesir?

Saya tidak berhasrat untuk membahaskan mengenai Panduan atau kaifiat menguruskan jenazah dari memandikan sehinggalah mengebumikan jenazah. Namun apa yang saya paparkan disini adalah bagaimana ingin menguruskan jenazah(malaysia) yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di Mesir mengikut ketetapan atau prosuder yang biasa dilaksanakan.

Huraian yang akan saya bentangkan adalah tindakan-tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin menguruskan jenazah(malaysia) di Bumi Mesir.Ini adalah sekadar panduan serta step yang perlu dilakukan dalam menguruskan jenazah dari saat kematiannya hingga selesai kewajipan yang keempat iaitu mengebumikan jenazah.Pengurusan ini adalah sama samada jenazah merupakan pelajar atau bukan pelajar, lelaki atau perempuan.

Langkah Pertama

Makluman tentang kematian kepada pihak berwajib Seperti :
1) Keluarga si mati di Malaysia
2) Kedutaan Malaysia Besar Kaherah
3) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
4) Badan Kebajikan Anak Negeri( mengikut kelahiran si mati)

Langkah Kedua

Berbincang dengan pihak keluarga di Malaysia tentang pengkebumian si mati adakah hendak dikebumikan di Mesir atau di Malaysia?Terdapat perbezaan pengurusan mengenai pengkebumian di Mesir dan di Malaysia.

Langkah Ketiga

Jika jenazah ingin dikebumikan di Malaysia

Harus memaklumkan kepada Kedutaan, sekarang adalah dibawah tanggungjawab En Syarbini dan En Zainuddin untuk urusan kematian.

Biasanya kedutaan akan mengambil sebuah syarikat arab yang akan menguruskan segala hal sehingga jenazah sampai di KLIA.

Berikut adalah step yang dilakukan:
1) Syarikat Arab ini akan datang ditempat kematian.Biasa kematian di hospital. Maka Syarikat ini akan meminta agar kita dapatkan pengesahan kematian dari hospital atau doktor yang terakhir yang mengesahkan kematian jenazah.

2) Kemudian surat pengesahan kematian ini akan dibawa bersama passport si mati ke Maktab Sihhah yang berdekatan untuk mendapatkan keizinan untuk pengebumian dan pengesahan kematian(surat mati).

3) Maktab sihhah akan meminta surat daripada safarah yang menyatakan jenazah ini hendak dikebumikan di Malaysia.Jadi syarikat arab ini akan mengambil surat safarah dalam melakukan urusan di maktab sihhah untuk mendapatkan surat mati(syahadah wafat) serta kebenaran membawa pulang jenazah ke Malaysia.

4) Syarikat akan memindahkan jenazah ke hospital yang biasa disimpan mayat (hospital itali abbasiah) sebelum mengetahui penerbangan terdekat untuk menghantar jenazah.

5) Setelah mendapat waktu dan masa penerbangan maka proses memandikan, mengafankan dan menyembahyangkan jenazah akan dilakukan.(untuk proses ini terpulang kepada kita untuk meminta syarikat arab yang menguruskan atau kita sendiri yang ingin menguruskan)

6) Setelah selesai memandikan,mengafankan dan menyembahyangkan jenazah akan terus disimpan di (peti simpan mayat ) di Lapangan Terbang.

7) Mengikut masa dan waktu jenazah akan dihantar terus ke KLIA, biasa akan mengambilperkhidmatan Egypt Air.Syarikat hanya menguruskan hingga disini sahaja.

8) Pengurusan di KLIA hingga ke kampung halaman atau tempat yang ingin dikebumikan jenazah adalah atas urusan keluarga si mati. terpulang kepada keluarga si mati bagaimana untuk membawa pulang jenazah ke kampung samada melalui kapal terbang domestik ataupun van jenazah.

Jika Jenazah ingin hantar pulang ke Malaysia ini sahaja langkah-langkahnya. Pengurusan agak mudah disebabkan kita menggunakan perkhidmatan syarikat arab untuk menguruskan proses penghantaran jenazah ke Malaysia. Cuma perlu memaklumkan kepada keluarga akan kos yang perlu ditanggung oleh keluarga utk urusan ini. Kos yang dikenakan hampir USD2400. Tidak termasuk jika ada pengiring untuk menghantar jenazah pulang.

Langkah Keempat

Jika Jenazah ingin dikebumikan di Mesir

Beberapa pihak perlu dihubungi segera:

1) Kedutaan ( En Syarbini,Prof Madya Dr. Jamil dan Ustaz Zainuddin)
2) PMRAM (Presiden PMRAM)
3) Mas'ul Tanah Perkuburan Malaysia ( Ustaz Aisam, Perlis)
4) YDP-YDP BKAN Sekitar Dataran hayyu Asyir.

Langkah Kelima

Mengikut keempat-empat pihak diatas:

Pihak Kedutaan
- Berbincang bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan surat mati (syahadah wafat)dan kebenaran pengebumian (Tasrih dafn)di Mesir dari Maktab Sihhah(Kementerian Kesihatan Mesir). Jika ingin menggunakan perkhidmatan Syarikat adalah lebih baik walaupun terdapat kos(L.E 1520.00), namun memudahkan urusan. Jika ingin melakukan sendiri adalah langkah yang perlu dilakukan seperti langkah ketiga di atas.

- Selepas dapat surat mati dari Maktab Sihhah surat ini perlu diterjemah ke dalam bahasa inggeris di kedutaan. Jadi surat mati ini perlu ada bersama waris untuk laporan mati di Malaysia.

Pihak PMRAM
- Memaklumkan bahawa jenazah hendak dikebumikan di Mesir, mohon pihak PMRAM sediakan pekhidmatan dari ustaz-ustaz yang berpengalaman untuk memandikan dan mengafankan jenazah. Jika jenazah perempuan maka perlu kepada perkhidmatan ustazah-ustazah. (adalah lebih baik jenazah dimandikan dan dikafankan oleh orang Malaysia sendiri)

- Memohon pihak PMRAM sebarkan berita kematian ini dan memberitahu jezanah akan disembahyangkan pada jam,waktu dan tempat sekian agar pelajar-pelajar bersedia untuk menyembahyangkan jenazah.

YDP-YDP BKAN Sekitar Dataran hayyu Asyir.
- Kebiasaan jenazah akan disembahyang di Dataran Hayyu Asyir, jadi perlu menghubungi YDP-YDP sekitar Asyir untuk memaklumkan kepada penghuni asrama sekitar dataran untuk turun menyembahyangkan jenazah.Untuk mengimamkan solat jenazah adalah lebih baik orang terdekat atau ahli keluarganya sendiri.

Mas'ul Tanah Perkuburan Malaysia
- Pemberitahuan kepada mas'ul ini adalah amat penting untuk beliau bersedia membuka kubur dan bersedia untuk urusan pengebumian jenazah.

- Surat kebenaran pengebumian perlu diserahkan kepada beliau bila jenazah tiba di kawasan perkuburan. selagi surat ini belum ditangannya jenazah belum boleh dikebumikan.Surat ini adalah simpanan pihak pengurusan perkuburan mesir.

- Beliau juga akan mengetuai urusan pengebumian, jadi ahli keluarga atau sahabat handai jenazah perlu membantunya hingga selesai urusan pengebumian.

- Biasanya ketika proses pengebumian itu, adalah baik sahabat-sahabat yang diluar pintu masuk kubur mengadakan tahlil dan doa buat si mati.

Langkah keenam

- Dengan tamatnya doa yang dibacakan itu, maka selesailah urusan pengebumian jenazah.

- Pada malamnya diadakan majlis tahlil dan solat hadiah kepada si mati.

Begitulah pengurusan yang perlu dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu diselitkan untuk melengkapkan perbahasan mengenai pengurusan jenazah. Namun sekadar ini yang saya mampu mengikut pengalaman. Dan masih banyak perkara perlu dipelajari agar segala urusan dapat diselesaikan dengan keadaan yang lebih sempurna mengikut tuntutan agama dan sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad Sallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat dan para auliya' dan alim ulama'.

Wakil Syarikat Pengurusan Jenazah untuk proses penghantaran pulang ke Malaysia

Surat Mati dari Kementerian Kesihatan Mesir

Surat Mati yang diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris oleh Kedutaan Malaysia

Surat Pengebumian Jenazah di Mesir

Bilik Simpan Mayat di Hospital Itali Abbasiah Kaherah


Tambahan

1) Pengurusan ini perlu didokumenkan untuk masa mendatang.

2) Perlu menubuhkan satu pertubuhan seolah-olah khairat kematian yang ada di Malaysia untuk memudahkan urusan pengebumian jenazah.

3) Kursus pengurusan jenazah perlu di anjurkan secara berkala setiap tahun untuk memastikan terdapat tenaga pelapis untuk menguruskan jenazah.

4) Azhariyyun mesti boleh melakukan pengurusan jenazah.


Akhukum Fillah
Abu Bakar bin Razak
2.47 petang, 6 Jun 2009
Asrama Darul Aman , Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.







No comments: