Monday, May 4, 2009

KEJAYAAN KITA, KEJAYAAN ISLAM


Assalamualaikum..

Pertama dan selamanya marilah kita panjatkan kesyukuran yang setinggi-tingginya ke hadrat Allah subhanahu wa ta’ala dengan limpah kurnianya serta nikmat iman dan islam kita masih diberi kesempatan untuk terus menimba ilmu yang sebanyak-banyak di Bumi Anbiya’ ini.

Ucapan ini ditulis khas buat anak-anak Kedah di Mesir daripada kami pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) sempena musim peperiksaan penggal kedua bagi sesi 2008/2009. Dalam menempuh waktu yang begitu singkat tetapi hasilnya mempengaruhi tahun, tempoh yang menentukan samada kita berjaya ataupun tidak. Tempoh yang menentukan berapa lama lagi kaki kita berpijak di Perlembahan Nil ini sebagai seorang mahasiswa. Ini adalah sesuatu perkara yang perlu kita fikirkan bersama.

Saya menyeru diri saya dan semua anak-anak Kedah di Mesir ini agar tekun dan bersungguh dalam mencapai kejayaan. Kejayaan bukan hanya bersifat lulus tetapi kejayaan yang cemerlang dan mendapat pangkat yang terbaik dalam keputusan peperiksaan. Target adalah perkara yang penting dalam kita mencapai sesuatu. Jadi, dalam usaha mendapat kejayaan perlu kita meletakkan target yang paling tinggi sebagai contoh meletakkan jayyid jiddan atau mumtaz dalam target kita. Dengan target yang diletakkan secara automatik usaha dan tindakan kita juga harus ke arah itu.

Melihat kepada silibus peperiksaan Universiti Al-Azhar kini kepada mahasiswa/wi bukan arab adalah semakin ringan. Sebagai contoh subjek Al-Quran telah dikurangkan. Maka kita perlu lebih menyakinkan pihak Al-Azhar bahawa kita boleh. Jadi, untuk subjek yang terpenting ini adalah sesuatu yang wajib kita cemerlang.

Mahasiswa/wi, anak-anak Kedah, ahli-ahli MKKK sekalian,
Kejayaan kita, adalah kejayaan Islam. Kita kini di bumi yang melahirkan para cendiakawan, cerdikpandai, alim ulama’ yang mashur dalam dunia keilmuan terutamanya ilmu agama,ilmu islam. Jika kita melihat suasana Malaysia juga khirrij Al-Azhar adalah antara golongan yang mentadbir dari aspek keagamaan. Seharusnya matarantai ini berterusan.

Masyarakat amat memandang tinggi keluaran dari Mesir. Masyarakat menantikan kepulangan kita. Kepulangan yang membawa kejayaan dan membawa risalah islamiah yang salimah. Jadi, Kejayaan kita amat dinanti-nantikan. Kita adalah aset, modal insan yang tinggi dalam menaburkan bakti, mencurahkan jasa, menegakkan yang hak, menegah yang batil dalam masyarakat. Sekaligus membentuk masyarakat amal islami yang bersifat total.

Merenung Kerajaan Negeri Kedah, Kerajaan kini begitu mengambil perhatian terhadap golongan agamawan supaya balik bantu kerajaan dalam membangunkan syariat islam.Sekarang ini telah dibuka peluang seluas-luasnya hinggakan menawarkan jawatan didalam Pegawai Tadbir Negeri Kedah(KCS) untuk anak-anak Kedah di Mesir. Bahawa pentingnya golongan akademik islam dalam pentadbiran negeri dalam mencorak masyarakat amal islami. Kejayaan kita bukan lagi tinggal kejayaan, tetapi kejayaan kita, adalah kejayaan islam.

Mahasiswa/wi, anak-anak Kedah, ahli-ahli MKKK sekalian,
Alam mahasiswa adalah satu tempoh masa yang amat berharga. Masa untuk kita mencari ilmu sebanyak-banyaknya, masa untuk kita membina tahap pemikiran yang tinggi, masa untuk kita belajar mencari arah tuju dan matlamat, masa untuk kita bina kecemerlangan dan masa untuk kita membuat persediaan untuk terjun di lapangan.

Saya dan kepimpinan MKKK berharap kita satu hati, satu tenaga di bumi Mesir ini dalam membina serta ke arah mencapai segala hasrat yang membawa kebajikan dan kebaikan. Segala kepincangan dan masalah adalah asam garam yang perlu kita tempuhi bersama.
Akhirnya, Saya dan semua kepimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah mengucapkan selamat menghadapi peperiksaan.

Harapan kami pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah agar kita beroleh kejayaan yang terbaik dalam peperiksaan ini. Doakan kejayaan milik kita bersama.
Salam imtihan, Salam kejayaan.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar bin Razak,
Yang Dipertua,
Majlis Kebajikan Keluarga Kedah Sesi 2008/2009.

sumber : www.mymkkk.org

Walaupun ucapan ini bersifat khusus buat Anak Kedah Mesir tetapi isi kandungannya umum dan boleh kita manfaati bersama.

No comments: