Monday, August 9, 2010

Ya Allah.. Satukan Hati Mahasiswa/wi Malaysia Mesir Bersama PMRAM

Assalamualaikum..

Lihat pada tajuk pun orang akan kata kuat PMRAM betui dia ni.. Saya menulis mengikut pemerhatian saya. Bila saya menyaksikan secara langsung sambutan Karnival Kenangan 80 tahun PMRAM ( KEKAL 10 ) bersempena Perayaan Menyambut Hari Kemerdekaan kali ke-53 (PMHK) saya merasakan anak-anak Malaysia secara realitinya perlu menggabungkan diri dengan persekutuan ini. Bukannya lagi fantasi atau hanya ahli pada borang yang pernah diisi pada tahun 1 saat mula-mula sampai di Bumi Barakah ini, tetapi sungguh-sungguh menggembeleng tenaga untuk menggapai matlamat berwasilahkan pertubuhan yang lahir sejak 1930 ini.

Mendegar ucapan aluan Presiden PMRAM, Saudara Shahrizan Mohd Hazime yang juga sahabat saya sejak tiba di Mesir menyatakan Islam adalah syumul. Agama yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Beliau juga menyatakan PMRAM pertubuhan yang berlandaskan Al-Quran dan As-Sunnah yang juga berhasrat menjadi persatuan yang bersifat dengan sifat yang syumul kepada mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. Saya tertarik dengan ucapan ini, bagi saya kita harus berfikir dengan baik ini melambangkan perpaduan di kalangan kita cukup-cukup ditekankan. Bukan untuk menaikkan satu pihak dan menjatuhkan satu pihak yang lain. Firman Allah S.W.T yang bermaksud "Sesungguhnya agama disisi Allah adalah Islam" ini adalah seruan perpaduan kepada semua masyarakat tidak mengira perbezaan warna kulit,bangsa, pertuturan,kaya, miskin dan lain-lain hanyasanya Agama Islamlah agama yang diiktiraf disisi Allah S.W.T. Dan Allah S.W.T mengutuskan para rasul dan anbiya' untuk menyampaikan risalah ini dan menjadi tanggungjawab kita sebagai seorang muslim dan penerus untuk menyambung perjuangan ini agar Islam ini dijadikan Agama yang menyatukan semua umat manusia.

Melihat kepada pertubuhan matlamat dan misi PMRAM saya yakin dan percaya dengan usia mencecah 80 tahun PMRAM dengan perjuangannya mempertahankan hak mahasiswa, suara mahasiswa, sumbangan mahasiswa, penglibatan mahasiswa dan kebersamaan mahasiswa perlu disambut oleh semua mahasiswa/wi di bumi Perlembahan Nil ini. PMRAM menganjurkan pelbagai program serta mewujudkan pelbagai komuniti dan kelab semata-mata untuk membuka ruang kepada seluruh mahasiswa/wi menyertai dan sekaligus menjadi nilai tambah terhadap kemahiran dan bidang yang disertai mengikut minat dan kecenderungan mahasiswa/wi itu sendiri. Cuba perhatikan PMRAM secara langsung atau tidak langsung mengajak kita semua bersatu. Diadakan program tafaqquh dan thaqafah,sukan, perniagaan, kursus-kursus kemahiran, seminar-seminar ,forum-forum dan lain-lain hanyasanya ingin menyatukan semua mahasiswa/wi disamping mendapat manfaat dalam program-program yang dianjurkan. Dari sudut kemahiran dan keterlibatan pula PMRAM wujudkan pelbagai komuniti dan kelab seperti Lajnah Baitul Muslim, Unit Hisbah, Prosma, Mini Pavilion, Al-Fityan, PMC , Al-Wadi selain itu mahasiswa/wi boleh menjadi ahli jawatankuasa di bawah Badan Pengurus dan HEWI PMRAM secara langsung. Ini menggambarkan PMRAM sesuatu pertubuhan yang harus didokongi oleh semua mahasiswa/wi. Saya menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sidang pembaca sekalian agar kita tekad bersatu khususnya azhari dan azhariah dalam misi menjadi agen perubah bila berada ditengah-tengah masyrakat kelak. Perselisihan itu biasa tetapi janganlah sampai matlamat yang hendak dituju yang hendak dicapai menjadi sukar atas kerana sikap dan tindakan kita sesama mahasiswa/wi yang tidak bersatu malahan bercakaran antara satu sama lain.

Persatuan ini milik semua. Kita bebas menyuarakan padangan dan pendapat. Bersuaralah wahai mahasiswa/wi dengan suara mahasiswa/wi yang sebenar. Jika kita menilik ucapan Kuasa Usaha Sementara, En Saiful Muhammad perasmi pada malam perasmian KEKAL 10 itu, beliau mengiktiraf dan menyatakan bahawa PMRAM ini satu persatuan yang penuh dengan jasa dan ianya perlu diteruskan dan bagi pihak kedutaan menjadi tanggungjawab untuk bersama pelajar dalam menjaga kebajikan dan menjayakan aktiviti yang bakal menjadi kebaikan buat semua mahasiswa/wi. Kesatuan ini sangat peting. Kebersamaan ini amatlah berharga. Saya sekali lagi menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian marilah kita sama-sama berdoa agar dicampakkan kekuatan mahabbah dan ukhuwaah di kalangan kita demi tujuan yang satu untuk memartabatkan Islam di hati dan mata masyarakat. Kesempatan kita di bumi yang dikenali dengan gedung ilmu ini, kutiplah ilmu yang sebanyak mungkin buat bekalan menemui ummah. Sibukkan diri dengan perkara yang manfaat yang meningkatkan keilmuan,jati diri, kemahiran, kesedaran dan kesungguhan agar harapan yang dipertaruhkan oleh ibu bapa,keluarga, masyarakat, bangsa dan agama tercapai dengan penuh rahmat dan berkat.

Tahniah PMRAM dan semua yang terlibat dalam menjayakan KEKAL 10. Alfu Almubarak buat kontinjen Kedah yang diketuai oleh Ustaz Fairuz Shuib walaupun orang baru di Kaherah tetapi berjaya membawa dan mengetuai kontinjen ini sehingga saat akhir. Tahniah kepada yang berjaya dan yang kurang berjaya kita cuba lagi di musim hadapan.





Abu Bakar Bin Razak
Asrama Darul Aman 2 Haiyu Asyir
9.16 p.m 9 Ogos 2010.

No comments: