Friday, July 30, 2010

WARKAH BUAT MANTAN AJKT HEWI MKKK

Assalamualaikum..

Saat saya menulis tajuk ini saya telah bertanya pandangan dan pendapat kawan-kawan yang pernah menjadi kepimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah(MKKK) adakah harus saya menulis warkah terbuka ini. Natijahnya boleh dikatakan semuanya cenderung supaya warkah ini dilakarkan. MKKK sebuah badan kebajikan yang tidak asing lagi buat anak-anak Kedah yang menjaga kebajikan dan prestasi akademik agar sentiasa maju dan meningkat. Dengan mottonya "Bersatu & Berjuang" menyebabkan MKKK kukuh berdiri dari tahun ke tahun dalam memastikan hadafnya kepada anak-anak Kedah di Mesir ini sentiasa terbela. Warkah ini saya tujukan khas buat mantan dan bakal mantan MKKK apabila saya melihat keadaan semasa yang berlaku yang wajib dibaik pulih dan dibaik damaikan.

Sahabat dan Sahabiah Mantan Sekalian,

Kepimpinan bukanlah sesuatu yang diinginkan atau yang didambakan tetapi kepimpinan sesuatu tanggungjawab yang wajib dilaksanakan apabila ianya terpundak dibahu kita. Maka fahamlah bahawa pimpinan MKKK bukanlah orang yang hendak kepada jawatan tetapi memikul tanggungjawab apabila dilantik oleh ahlinya.

Mutakhir ini saya melihat kepimpinan MKKK agak mempunyai kekangan yang hebat. Saya melihat ini sesuatu musibah. Ahli MKKK yang kian lama cukup bijak mengkritik dan cukup bijak mengeluarkan kata-kata kesat kepada kepimpinan. Saya ingin tujukan soalan, di mana kepercayaan dan kebersamaan kita kepada kepimpinan? kita faham apa itu organisasi dalam islam. Ianya cukup murni. Hadaf dan matlamat MKKK cukup jelas. Hanya yang timbul cara dan pelaksanaan diperingkat kepimpinan yang kadang-kadang memang memerlukan pendapat dan pandangan daripada ahli khususnya yang bergelar mantan.

Saya tidak berniat ingin menggambarkan permasalahan dan konflik kita di ruang laman yang boleh dibaca oleh manusia satu dunia tetapi hanya ingin memberi sedikit sentuhan agar kita kembali bersatu dan kembali menyusun dan merangka MKKK ini secara bersama.

Sahabat dan Sahabiah Mantan Sekalian,

Saya tidak mahu bercerewet panjang, apa yang saya harapkan kita semua memberi kepercayaan yang jitu kepada kepimpinan. Saya harapkan kita bersama dari segi segala aspek. Ya, perselisihan itu berlaku tetapi perselisihan untuk mencari jalan yang terbaik. Bukan perselisihan menatijahkan perbalahan dan pepercahan.

Padangan dari mantan-mantan sekalian amat berguna buat kepimpinan. Para mantan mempunyai pengalaman yang banyak dan idea yang bernas untuk diterjemahkan oleh kepimpinan sekarang agar ianya menjadi realiti. Ini penting dalam memastikan kesinambungan kepimpinan MKKK ini dapat diteruskan oleh generasi mendatang. Saya menyeru berilah tunjuk ajar dan teguran secara baik bukanlah cara yang tidak dianjurkan oleh islam.

Saya juga mengharapkan kesatuan yang sekian lama terbina ini terus utuh dan teguh dengan kerjasama yang harmoni oleh mantan sekalian. Semoga kesatuan ini dilindungi oleh Allah S.W.T. Marilah sama-sama kita semarakkan semangat kebersamaan dalam membina keilmuan dan semangat untuk sama-sama berjuang di medan kelak dengan penuh ukhuwwah. Sesungguhnya kita mengetahui bahawa Allah dan RasulNYa sentiasa menyeru agar umatnya bersatu dibawah payung islam. Agama sesuatu yang murni, kitalah yang bertanggungjawab mencorak dan menterjemahkan kepada masyarakat dengan sebaik-baik tindakan.

Akhir kalam.. Semoga warkah yang pendek dan ringkas ini memberi manfaat kepada semua mantan. Walau dimana posisi kita, disitulah kita berjuang. Walau dimana bumi dipijak, disitulah islam kita dirikan.

Salah silap kita betulkan bersama.
Sekian Wassalam.

Abu Bakar Razak Haiyu Sabeik, Kaherah 31 Julai 2010, 6.41 a.m.

No comments: