Sunday, March 15, 2009

Mahar Yang Wajib Dibayar






















Mahar Yang Wajib Dibayar

Mahar yang wajib dibayar masih tergiang dicuping telingaku, ucapan daripada Syeikh Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki pada waktu pengjian kelmarin. Pengajian bersama Fadhilatus Syeikh memang memberi kekuatan dalam menuntut ilmu. Ilmu bukan sesuatu yang mudah untuk dicari dan begitu juga bukan sesuatu yang mudah untuk diamalkan. Fadhilatus Syeikh sering menyatakan dalam setiap sesi pengajian bersamanya bahawa ilmu itu adalah sesuatu yang wajib diamalkan.Dengan amalan ilmu inilah yang bakal membentuk generasi yang taat akan perintah Allah dan Rasulnya.

Berbalik mengenai mahar yang wajib dibayar. Jika sahabat dan sahabiah sering mengikuti pengajian bersama Fadhilatus Syeikh Nuruddin mesti mengetahui apakah mahar yang wajib dibayar ini. Pengajian yang dijalankan tidak perlu bayar yuran pendaftaran, pengajian yang dijalankan juga tidak menuntut untuk sesiapa bayar elektik ataupun sewa tempat dan bahkan pengajian yang dibuat dijemput,diajak dan diseru untuk seluruh mahasiswa/wi hadir untuk mendapatkan ilmu yang disampaikan oleh Fadhilatus Syeikh Nuruddin. Jadi, bertolak balik dari asbab inilah Syeikh Nuruddin menyatakan setiap yang mengikuti pengajian tafaqquh ini wajib membayar mahar.

Mahar mengikut istilah fuqaha' dalam perkahwinan adalah sesuatu pemberian daripada si suami kepada si isteri.Hukum mahar adalah ikhtilaf diantara mazhab, seperti disisi Mazhab Imam Hanafi hukumnya harus manakala Mazhab Imam Malik menyatakan mahar adalah rukun, jika tidak menunaikan rukun maka akad perkahwinan ini sesuatu yang batil. Maka kita melihat apa yang dikatakan oleh Jumhur Fuqaha' bahawa mahar ini wajib mengikut apa yang disebut sahaja. Tidak boleh kurang dari apa yang disebutkan manakala untuk dilebihkan tidak ditegah.

Masih menjadi persoalan apakah mahar yang wajib dibayar oleh penuntut-penuntut dalam pengajian bersama Syeikh Nuruddin. Fadhilatus Syeikh memang menitik beratkan soal ibadat dan taqarrub kita kepada Rabbul Jalil Jalla Wa 'ala. Tambahan pula kepada penuntut ilmu yang merupakan waris kepada para Anbiya' 'alaihumus solatu wassalam. Pewaris dari segala sudut, dari sudut ibadah, dakwah, muamalah dan dari segenap penghidupan para Anbiya' 'alaihumus solatu wassalam. Dari aspek ibadah tak lain dan tak bukan apa yang dikatakan "tiang agama" itulah solat. sesuatu yang dituntut didalam solat yang mana tidak pernah ditinggalkan oleh Baginda Rasulallah S.A.W itulah solat berjemaah. Inilah mahar yang wajib dibayar oleh para penuntut ilmu khususi kepada sesiapa yang mengikuti pengajian tafaqquh bersama Fadhilatus Syeikh Nuruddin dan umumi kepada penuntut ilmu di sekian tempat. Dengan istiqamah solat berjemaah ini membawa 1001 kebaikan dan keberkatan bahkan membawa effect yang mendalam dalam kehidupan sepertimana yang dianjurkan dan menjadi qudwah hasanah kepada sekian makhluk terhadap apa yang disampaikan oleh Baginda Rasulallah S.A.W. melalui perkataan,perbuatan dan pengakuannya.

Solat Tiang Agama

RASULULLAH SAW bersabda: Solat itu adalah tiang agama, sesiapa yang mendirikan solat, sesungguhnya ia sudah menegakkan agama dan sesiapa yang meninggalkan solat, sesungguhnya ia meruntuhkan agama.

Ini menggambarkan sesuatu yang penting dan wajib dilaksanakan bagi sesorang yang bergelar muslim dan muslimah.Hakikatnya solat adalah satu suruhan yang mesti dilaksanakan atau disempurnakan oleh setiap umat Islam walau dalam keadaan apa sekalipun.Kita mahasiswa/wi mungkin tidak sekali-kali meninggalkan solat kerana memahami kewajipannya dan padah meninggalkan. Apa yang diperlu dititik beratkan adalah apa yang disebut solat berjemaah.

Solat Berjemaah Jangan Diringan-ringankan


Sesungguhnya solat berjamaah itu adalah sunnat muakkad yang sangat diberatkan dan hukum mendirikannya adalah fardhu kifayah. Jadi sekiranya sesebuah kampung itu tidak mendirikan jamaah, maka seluruh penduduk kampung itu menanggung dosanya kerana solat berjamaah itu termasuk syiar dan lambang keagungan Islam.Menurut syariat Islam, pihak berkuasa seperti Qadhi, Hakim Syariah dan sebagainya boleh mengambil tindakan memerangi atau menghukum orang yang tidak mendirikan jamaah. Terdapat banyak hadith yang menerangkan tentang ancaman atau balasan yang akan diterima oleh mereka yang meringan-ringankan solat berjamaah.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :
Sesiapa meringan-ringankan solat berjamaah maka Allah akan membalasnya dengan 12 kecelakaan. Tiga ketika di dunia, tiga ketika hendak mati, tiga ketika dalam kubur dan tiga ketika pada hari qiamat.

Adapun 3 ketika di dunia ialah :
• Allah menghilangkan berkat dari usaha dan rezekinya;
• Allah mencabut cahaya orang-orang yang soleh daripadanya;
• Dia dibenci oleh orang mu’min.

Tiga ketika hendak mati ( sakaratul maut ) :
• Ruhnya dicabut sedangkan dia dalam keadaan sangat dahaga walaupun telah minum air seluruh sungai;
• Merasakan sangat sakit ketika hendak dicabut ruhnya;
• Dia dikhuatirkan hilang imannya; kita berlindung kepada Allah.

Tiga ketika dalam kubur :
• Soalan Malaikat Mungkar dan Nakir sangat menyulitkan ;
• Kuburnya menjadi sangat gelap;
• Kuburnya menghimpit sehingga bercantum tulang-tulang rusuknya.

Tiga ketika pada hari qiamat :
• Hisabnya sangat menyusahkan;
• Allah swt murka kepadanya;
• Diseksa oleh Allah swt dengan api neraka. Kita berlindung kepada Allah.

Sabda Rasulullah saw bermaksud :
“Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat berjamaah itu adalah terkutuk di dalam Taurat, Injil, Zabur dan Furqan ( al-Quran ). Orang yang meninggalkan solat berjamaah itu berjalan di muka bumi, sedangkan bumi mengutuknya. Orang yang meninggalkan solat berjamaah itu dimurkai Allah, para malaikat dan oleh segala makhluk Allah yang bernyawa serta dimurkai pula oleh malaikat yang berada di antara langit dan bumi dan semua ikan yang berada di laut”.

Solat Berjamaah Dari Konteks Sains

"Daripada Abdullah Ibn Umar ra katanya : Sesungguhnya Nabi saw bersabda : Solat berjamaah lebih utama dari solat bersendirian dengan kadar 27 darjat" ( H.R Al-Bukhari )

HURAIAN

Kenapa perlunya jamaah dalam solat, meluruskan saf, membiarkan imam seorang di hadapan, menghadap kiblat, bergerak serentak setelah imam, kenapa perlu khusyuk dalam mengerjakannya? Semua persoalan di atas sebenarnya mempunyai pengaruh yang sangat kuat dalam membantu kita menyatupadukan hati semua umat Islam di dunia ini.

Jasmani manusia terdiri daripada banyak unsur alam. Salah satunya ialah cas-cas yang bergerak dalam badan kita. Tanpa cas ini, seseorang tidak dapat berfikir, tidak akan dapat merasa, bisu, pekak dan sebagainya. Pendek kata akal tidak berfungsi kerana semua maklumat tidak dapat dialirkan.Cas ini bertindak sebagai pengalir maklumat untuk membantu tindakan-tindakan anggota badan yang lain. Walaubagaimanapun, kekuatan cas-cas ini amat berkait rapat dengan pergerakan harian seseorang. Semakin banyak pergerakan yang dibuat, maka semakin banyak cas-cas yang akan digunakan.

Kajian saintis Barat menyatakan bahawa cas-cas tersebut dapat dikembalikan melalui rehat yang cukup ketika tidur. Jesteru itu, banyak tilam yang direka khas untuk mengembalikan kualiti cas tersebut ketika seseorang itu tidur di atasnya. Persoalannya, mengapa Rasulullah saw menggalakkan umatnya supaya tidak banyak tidur ?Saintis Barat yang hairan dengan tindakan umat Islam berkumpul di satu tempat kemudian bergerak serentak dengan dipimpin seorang imam telah menjalankan satu kajian terhadap kes ini.

Beliau mendapati bahawa tubuh badan manusia terdiri dari dua cas elektrik iaitu cas positif dan negatif. Semasa melakukan solat berjamaah, umat Islam disyariatkan supaya melurus dan merapatkan saf, bahu bertemu bahu dan tumit bertemu tumit.Dalam bergeseran tubuh seseorang jamaah dengan tubuh jamaah lain yang berada di kiri dan kanan, tubuh badan ahli jamaah akan mengeluarkan cas-cas yang berlebihan dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas yang berlawanan dari tubuh badan rakan dalam solat.Masing masing akan mengeluarkan cas-cas dari tubuh badan mereka dan cas-cas ini akan ditarik oleh cas-cas yang berlawanan dari tubuh badan yang lain.

Pada masa yang sama, umat Islam yang menghadap ke kiblat yang merupakan pusat magnet akan mempengaruhi kedudukan cas tersebut. Dengan ini berlakulah keseimbangan cas-cas positif dan negatif. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang dan semakin segar tubuh badan kita. Justeru perhatikanlah keajaiban suruhan Allah Taala yang sangat unik ini.Dengan itu, secara tidak langsung cas yang mengalir dari rakan-rakan sejamaah akan melahirkan suatu perasaan yang menyatukan hati semua umat Islam. Itulah dia perasaan mahabbah ataupun persaudaraan yang umat Islam tidak sedari selama ini.Seorang paderi berkata, bahawa selagi kuantiti jamaah solat Subuh tidak sama dengan jumlah jamaah solat jumaat, maka selagi itulah umat Islam tidak akan dapat mencapai kesepakatan dalam menerajui dunia akhir zaman ini.


Jangan Tinggalkan Solat Berjemaah

Atas dasar apa yang dinyatakan marilah sama-masa kita mengembalikan keagungan syariat islam yang dianjurkan oleh Allah S.W.T melalui perbuatan Baginda Rasullah S.A.W. Tambahan kita penuntut ilmu yang mana diamanahkan untuk mengamalkan ilmu dan menyampaikan ilmu sejauh mana yang kita mampu.

Marilah kita membayar mahar(solat berjemaah) yang ditetapkan oleh Fadhilaus Syeikh ini untuk kita istiqamah dalam tuntutan syariat islam itu sendiri. Semoga ketekunan kita dalam melaksanakan perintah Allah dan Rasul ini membawa keberkatan dalam kehidupan sekaligus mendapat keredhoan dan keampuanan dari Allah Ta'ala yang bakal menatijahkan Jannah di alam yang kekal abadi itulah Akhirat.

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
15 Mac 2009
2.40 petang, Asrama Darul Aman Hayyu Asyir
Madinah Nasr Kaherah , Mesir.



1 comment:

Anonymous said...

slm.pengisian nta bagus.smg terus menulis.ramai yg mahu mmbc.