Wednesday, April 23, 2008


Mahasiswa dan Masyarakat

Kehidupan di menara gading adalah suatu kelebihan kepada mahasiswa berbanding masyarakat.Setibanya di tempat pengajian selepas berjaya menamatkan zaman persekolahan di peringkat menengah terus digelar mahasiswa.Mahasiswa dalam ertikata sebenar seorang penuntut ilmu walau dalam apa jua bidang sekalipun.Jika hendak ditakrifkan mahasiswa dalam konteks dunia moden sekarang pelbagai maksud yang boleh kita letakkan dan sandarkan kepada mahasiswa.Adalah menjadi persoalan apakah kaitan mahasiswa diantara masyarakat? Apakah pentingnya mahasiswa terhadap masyarakat? Perlukah mahasiswa dikaitkan dengan masyarakat? Soalan demi soalan dilontarkan dan berhajat kepada jawapan dan rasional.Sukar untuk digambarkan jika kita melihat keadaan semasa antara mahasiswa dan masyarakat. Tetapi jika kita mengimbau sejarah silam memang akan mendapat kaitan yang jelas. Mahasiswa pada era sebelum kemerdekaan ketika itu amatlah diperlukan oleh masyarakat dan terbukti mahasiswa pada ketika itu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.Lihatlah kesan yang terdapat di negara kita Malaysia, membangun dari segi kemajuannya sikap serta budaya yang diamalkan menampakkan impak yang positif dari mahasiswa dan masyarakat.

Satu persoalan kepada mahasiswa kini, apakah yang telah mahasiswa lakukan atau apakah sumbangan mahasiswa terhadap masyarakat di zaman mutakhir ini?tentu pelbagai jawapan dari mulut para cendiakawan yang akan diiktibar kelak.Dalam mencapai matlamat sebagai mahasiswa yang cemerlang dan terbilang, perlu ada beberapa perkara yang menjadi target setiap diri mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat.Masyarakat umpama mahkota yang pelu diletakkan sesuai pada tempatnya. Mahasiswalah penentu di mana tempat yang sesuai untuk meletakkan mahkota yang bernilai dan berharga ini.Ilmu didalam diri mahasiswa perlu disumbangkan dalam bentuk yang sesuai kepada masyarakat.Mahasiswa atau golongan yang dikatakan pemuda perlu memainkan peranan yang sebaik mungkin dalam membentuk masyarakat mengikut kemampuan yang ada. Mahasiswa antara insan yagn pelu dipersalahkan jika masyarakat masih goyah akidah, rosak pegangan , tiada moral dan akhlak serta gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.Dimanakah mahasiswa yang mempunyai gelombang pemikiran cerdik pandai dalam meyelesaikan masalah di kalangan masyarakat? Adakah masih perlu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa pun usaha untuk menjernihkan keadaan?.

Wahai mahasiswa dengarlah rintihan masyarakat yang ingin melihat suasana dan perjalanan kehidupan mengikut landasan yang tepat dan betul bertepatan dengan syariat yang diturunkan.Mahasiswa antara tenaga penggerak dan pelaksana yang perlu bersungguh-sungguh serta tekun dalam melangsaikan hutang terhadap masyarakat.Jika di fikirkan dari segi logikal pun golongan pemuda atau golongan pertengahan inilah yang mendokong dan memikul perjalanan golongan bawahan(kanak-naka) dan golongan atasan(orang tua) kerana golongan pertengahan ini mempnyai daya fizikal dan mental yang utuh dan kuat.Mahasiswa kini perlu menilai dan membuat penelitian apakah keadaan dan suasana yang perlu dilalui oleh masyarakat sekarang. Mahasiswa tidak selayaknya mengikut rentak masyarakat 100% bahkan mahasiswa adalah aset pengubah masyarakat dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik.

Sebenarnya mahasiswa perlu bersatu walau dalam kelainan kerana ingin mencapai matlamat yang satu.Kebahagian dan kesempurnaan kehidupan masyarakat boleh dikatakan 80% ditangan mahasiswa.Kini, mahasiswa perlu mencorak atau membuat lakaran agar apabila terjun dalam masyarakat suatu hari kelak tidak kekok dan kelu di hadapan masyarakat yang hanya menantikan apa yang ingin dilakukan oleh insan yang bergelar graduan ini. Jadi, janganlah berdiam diri lagi walau masih dalam arena perjuangan menuntut ilmu dalam masa yang sama mahasiswa perlu mempunyai hala tuju dan corak yang bakal dipersembahkan kepada masyarakat kelak.Pastikan corak yang dilakar itu adalah sebaik-baik bentuk dan padanan warna yang sesuai dalam menawan hati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Mahasiswa adalah golongan matang dalam membahagikan antara yang baik dan yang buruk dalam membawa masyarakat.Jadi, perlulah gunakan kematangan ini dengan sebaik mungkin. Alangkah indahnya intelektual yang celik dalam urusan perjalanan kehidupan dunia dan kesenangan malahan juga celik dalam urusan kehidupan akhirat yang kekal abadi .Mahasiswa perlu bergabung dalam menjalankan misi dan visi yang amat bernilai dan berharga ini. Dunia ibarat tempat persinggahan para nakhoda kapal yang ditugaskan untuk mencari bekalan di tempat persinggahan ini.Maka mahasiswa ibarat mandub-mandub yang terlatih yang menjadi penunjuk jalan dan pemberi panduan kepada semua nakhoda agar mendapatkan bekalan-bekalan yang bermanfaat untuk dibawa ke tempat yang ditujui.Jika mandub-mandub ini tidak memainkan peranan mereka dalam memberi panduan dan jalan yang sewajarnya nescaya pelbagai masalah dan kepincangan yang timbul.Begitu juga peranan mahasiswa terhadap masyarakat dalam berjalan ke arah tempat yang bakal semua insan sampai. Melalui kisah yang digambarkan ini membawa seriu satu perkara yang boleh dikiaskan, Cuma diskopkan kepada mahasiswa yang memikul tanggungjawab yang besar dan perlu sedarkan diri. Jika didalami kata-kata hukamak ilmu jika tidak diamalkan seperti pohon yang tidak berbuah. Mahasiswa mempunyai mutiara ilmu didada dan wajib mempraktikkannya dan melaksanakannya.Pohon yang dikatakan tidak berbuah ini membawa maksud pokok yang meletihkan dan memberi kekecewaan kepada si petani.Keringat, susah payah , perit dalam usaha penanaman pokok ini dengan harapan membuahkan hasil tetapi malangnya ianya tidak berbuah.Inikan usaha yang memenatkan. Begitu juga penuntut ilmu yang bertahun mendalami ilmu, wang dan perbelanjaan yang banyak dihabiskan untuk membiayai pembelajaran tetapi tidak mengamalkan apa yang dipelajari adalah usaha yang sia-sia .

Aduhai mahasiswa janganlah jadikan ilmu yang diusahakan ini diabaikan atau disalahgunakan atau lebih malang lagi ianya tidak digunakan.Ayuh mahasiswa bangunlah,sedarlah bahawa masyarakat memerlukan khidmat kalian. Pelengkapkan diri dengan keilmuan dan pelbagai thaqafah didada.Jangan lagi leka, jangan lagi masih tidak tahu apa tujuan menuntut ilmu.Mahasiswa ingatlah bahawa masyarakat menanti suatu gelombang usaha agar berlaku perubahan dalam meniti kehidupan mengikut panduan dan garisan dari Rabul Jalil Jalla Wa 'ala.

Satu persoalan yang ditinggalkan agar para mahasiswa menjawab dengan seikhlas hati, adakah kalian sanggup melihat masyarakat terombang ambing tanpa tempat untuk berlindung? Sedangkan kalian mahasiswalah yang menjadi payung-payung kepada masyarakat.

No comments: