Saturday, November 17, 2007



Niat Menuntut Ilmu

Kadang kala kita tertanya-tanya diri sendiri, sejauh mana keikhlasan aku dalam segala apa yang aku lakukan seharian. Benarkah setiap gerak geri dan lintasan fikiran kita hanya untuk Allah seperti mana yang disebutkan saban waktu dalam solat? Jujurkah aku apabila mengatakan hidup matiku hanya untuk Allah Tuhan Sekalian Alam? Terasa diri ini begitu hipokrit dan tidak jujur dengan sendiri apabila mengkoreksi diri. Terasa kata-kata yang diucapkan itu hanya bermain di lidah tetapi tidak benar-benar menusuk ke hati sanubari, lantas diterjemahkan dengan perbuatan dan amalan.Antara amalan yang paling penting bagi seorang yang bergelar penuntut ilmu, adalah menuntut ilmu itu sendiri.
Oleh itu, perkara yang paling penting untuk dititikberatkan oleh seorang penuntut adalah keikhlasannya dalam menuntut ilmu. Ikhlas satu kalimah yang mudah ditutur, tetapi kadang kala amat payah dipraktikkan. Tuntutan nafsu, penghormatan, kekuasaan, dunia dan sebagainya seringkali mengaburi dan memesongkan niat kita. Apa yang paling kita risaukan apabila keikhlasan tiada dalam menuntut ilmu adalah, kita termasuk dalam golongan yang paling rugi, yang sesat jalannya di dunia, namun menyangka dirinya melakukan amalan yang terbaik (Al-Kahf: 103-104). Na'Udzu billAhi min zAlik.Hujjatul Islam, Al-Imam Al-Ghazali (rahimahullah), ada menyebutkan bahawa seorang penuntut ilmu itu dibahagikan kepada tiga golongan (dalam persoalan niat).
Golongan-golongan tersebut adalah:
1) Seseorang yang menuntut ilmu sebagai bekalannya di hari akhirat. Tiadalah tujuannya melainkan kerana Allah dan hari akhirat semata-mata. Maka dia termasuk dalam golongan yang berjaya.
2) Seseorang yang menutut ilmu untuk membantunya dalam kehidupan dunia yang sementara. Dia mengharapkan kemuliaan, pangkat dan harta, tetapi dalam masa yang sama mengetahui dan menyedari jauh di sudut hatinya keadan dirinya yang tidak elok, dan betapa buruk niatnya. Maka dia termasuk dalam golongan yang bahaya. Jika ajalnya dicepatkan sebelum sempat dia bertaubat, dikhuatiri ke atasnya penyudahan yang buruk (sU'ul khAtimah). Tetapi jika dilambatkan ajalnya, sehingga sempat dia bertaubat, dan beramal dengan ilmunya, serta membetulkan semula semua kekurangannya yang lalu, maka dia termasuklah dalam golongan yang berjaya. Sesungguhnya yang bertaubat dari dosa, seperti seorang yang tidak berdosa (Ibn Majah:4250).
3) Seseorang yang diperdaya oleh syaitan, maka dijadikan ilmunya sebagai jalan untuk memperbanyakkan hartanya, bermegah-megah dengan pangkat, berasa mulia dengan ramainya pengikut.
Ilmunya menjadi pintu bagi menunaikan segala harapan dunianya. Dalam masa yang sama, dia rasakan jauh di pelusuk hatinya bahawa dia mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah, kerana sifatnya sebagai ulamak dan sifatnya yang menyerupai mereka (ulamak) dalam berpakaian dan tutur kata, sedangkan dia dimainkan oleh dunia secara zahir dan batin. Maka dia termasuk dalam golongan yang binasa dan golongan yang bodoh yang diperdaya.
Ini kerana harapan untuknya bertaubat adalah terputus, memandangkan sangkaan dirinya bahawa dia termasuk dalam golongan yang berbuat kebaikan sedangkan dia terlalai dari firman Allah Ta'ala: YA ayyuhallazina AmanU lima taqUlUna mA lA taf'alUn (Assof:2) (Wahai orang yang beriman, mengapa engkau katakan apa yang engkau tidak lakukan). Dia juga termasuk dalam golongan yang disebutkan oleh Rasulullah SallallAhu 'alaihi wasallam yang bermaksud: Selain dari dajjal ada satu golongan yang lebih aku takuti ke atas kamu semua dari dajjal sendiri. Maka ditanya: Siapa dia ya Rasulallah? Maka baginda bersabda: Ulamak yang jahat (su') (atau dalam satu riwayat: para imam yang menyesatkan) (Riwayat Ahmad).Walaupun golongan ini dengan kata-katanya seolah-olah menyeru manusia supaya meninggalkan tipu daya dunia, namun dia sebenarnya menyeru mereka ke arahnya dengan perbuatan dan hal keadaannya sendiri. Tentu sekali lisAnul hAl afsah min lisAnil maqAl (gerak perbuatan lebih difahami dan diikuti dari tutur bicara). Malangnya golongan ini menyangka mereka lebih baik dari ramai manusia lain.Seterusnya Al-Imam Al-Ghazali menyeru kita supaya termasuk dalam golongan yang pertama, dan tidak termasuk dalam golongan yang kedua. Ini kerana golongan kedua mempunyai sifat yang suka bertangguh, sedangkan berapa ramai kita lihat, mereka yang suka bertangguh dicepatkan ajalnya seelum sempat bertaubat, maka merugilah dia. Dan tentu sekali diulang-ulang supaya jangan sekali-kali termasuk dalam golongan yang ketiga, kerana kita akan binasa. Kebinasaan yang tiada harapan untuk beroleh kejayaan dan tiada peluang untuk kebaikan.Semoga kita yang bergelar penuntut ilmu ini dapat benar-benar mempraktikkan nasihat-nasihat berharga serta mutiara-mutiara bernilai dari Al-Imam Al-Ghazali lantas mengkoreksi semula niat kita dalam menuntut ilmu. Semoga Allah memberi kita anugerah-Nya untuk termasuk dalam kategori yang pertama. Amiin.

No comments: