Monday, May 30, 2011

AZHARI DAN AL-QURAN





AZHARI DAN AL-QURAN

Assalamualaikum..

Sahabat dan Sahabiah sekalian,

Al-Quran merupakan masdar atau sumber pensyariatan yang utama. Beriman kepada Al-Kitab adalah sesuatu yang wajib. Jika kita beriman dengan 5 perkara sahaja tanpa kita beriman dengan Al-Quran. Maka tidak sempurna iman kita maka kita tergolong dalam golongan yang kufur. Semoga Allah jauhkan kita daripada perkara yang demikian.

Semua kita telah maklum, Allah Taala berfirman di dalam Al-Quran : "Alif Lam Mim, Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya, petunjuk bagi mereka yang bertaqwa" - Al-Baqarah 1-2. Ini pegangan kita terhadap al-Quran. Setiap ayat dan kalimat yang terungkap didalam Al-Quran adalah petunjuk dan pengkisahan yang benar agar umat manusia menuruti apa yang diperintahkan oleh Allah supaya tidak melencong ke jalan yang sesat.

Sahabat dan Sahabiah,
Ulama' mengarang pelbagai karangan mengenai Al-Quran. Dikaji dari sudut sainsnya, dari sudut pengkiraan masa, dari sudut ciptaan makhluk dan sebagainya. Terdapat pada ayat-ayat Al-Quran yang mempunyai 1001 satu makna yang jelas dan tersembunyi. Ulama' juga banyak menafsirkan ayat-ayat Allah dengan pelbagai tafsiran yang berlandaskan ilmu agar umat manusia jelas akan kalam Allah yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu "Alaihi Wa Alihi Wasallam melalui pengantaraan Malaikat Jibrail 'Alaihissalam.

Kefahaman tentang Al-Quran adalah sesuatu yang wajib diketahui. Jika kita melihat susunan ulama' mengenai adab tilawah Al-Quran atau adab berada di dalam majlis Al-Quran tersemat padanya ungkapan "Tadabbur" bererti menghayati isi kandungan Al-Quran.Saya menaqal sedikit dari penulisan Syeikh Muhammad Ahmad Ma'bad, Mudarris (Pengajar) Al-Quran dan Tajwid di Masjid An-Nabawi As-Syariff,Madinah Munawwarah mengenai adab tilawah. Antara yang disebutkan :

Sesungguhnya bagi pembaca Al-Quran terdapat adab-adab yang harus dilaksanakan ketika membaca Al-Quran. Dan haruslah menjaga adab-adab ini.

1. Mestilah dalam keadaan yang bersih dan berwuduk.
2. Pakaian yang bersih.
3. Berwangi-wangian.
4. Tenang dan khusyuk.
5. Menghadirkan perasaan membesarkan Allah Taala.
6. Bertadabbur dengan isi kandungannya.
7. Merasa terkesan dengan ayat-ayat dan hukum hakam yang dibacakan.
8. Ketika membaca ayat yang mengisahkan kenikmatan dan syurga serta berita gembira maka hendaklah berharap akan tergolong dalam golongan yang mendapat syurga dan darajat yang tinggi di sisi Allah Taala.
9. Ketika membaca ayat yang mengisahkan azab dan neraka maka hendaklah berharap dijauhkan dan tidak tergolong dalam kalangan mereka yang mendapat kecelakaan.
10. Membaca dengan penuh tertib dan santun.
11. Menjaga hak-hak Al-Quran dari sudut tajwidnya,harakatnya, dengungnya, makhrajnya, dan lain-lainnya.
12. Sentiasa mendambakan agar Allah menerima bacaan sekaligus tergolong dalam golongan yang mendapat rahmatNYa.

Sahabat dan sahabiah,
Azhari dan Al-Quran. Sebenarnya kalau lebih terbaik adalah semua azhari menghafal 30 juzuk Al-Quran. Saya melihat kekuatan orang arab samada Mesir atau yang lain, menjadi kelebihan kepada mereka apabila menghafal semua Al-Quran. Mereka mampu mengeluarkan dalil-dalil dalam setiap perbahasan berkaitan ilmu. Tambahan pula kelebihan yang telah dijanjikan bagi mereka yang menjaga Al-Quran. Al-Quran adalah mukjizat yang paling besar. Jika ianya sentiasa ada dalam diri azhari saya yakin kegemilangan azhari yang dulu boleh dikembalikan. Azhari dengan sistem dahulu cukup-cukup memberi kesan yang mendalam. Tidak kira apa jenis bangsa semuanya wajib menghafal 30 juzuk Al-Quran.Mungkin ijtihat pengurusan Al-Azhar sekarang meletakkan muqarrar ada baiknya.

Namun saya lebih cenderung mengajak sahabat dan sahabiah azhari dan azhariah kita meletakkan qarar buat diri sendiri hafal 30 juzuk sebelum tamat pengajian di Al-Azhar ini. Saranan masyaikh kita seperti Syeikh Asyraf Hamid Al-Hasanian, Bilal di Masjid Al-Azhar dan Mudarris (Pengajar) Al-Quran dan Tajwid di Masjid Syeikh Soleh Ja'fari beliau sentiasa menyarankan agar Al-Quran ini dihafal kesemuanya.

Mungkin sahabat sahabiah nampak sukar untuk menghafal. Sebenarnya tidak mustahil untuk kita juga digelar al-Hafiz. Saya melakar dua pelan hafalan secara berperingkat. Pelan pertama "1 Tahun 2 Mingggu 4 hari" dan Pelan kedua "2 Tahun 2 Minggu 4 Hari". Kedua-dua pelan ini membawa sahabat sahabiah menghafal kesemua 30 juzuk Al-Quran.


PELAN PERTAMA (1 Tahun 2 Minggu 4 Hari)

Pelan ini boleh saya katakan program 1 tahun.

Mengikut Al-Quran Resan Uthmani, Al-Quran terdapat 604 mukasurat. Jadi penghafalan ini mengikut mukasurat.

* Seminggu 6 hari hafal dan 1 hari cuti untuk mengulang.

Sehari : 2 mukasurat.
Seminggu : 2 X 6 hari = 12 mukasurat
Sebulan : 12 X 4 minggu = 48 mukasurat
Setahun : 48 X 12 bulan = 576 mukasurat

Baki :Keseluruhan Al-Quran 604 mukasurat - 576 = 28 mukasurat.
Tambah :28 mukasurat bahagi 2 = 14 Hari + 2 Hari mengulang.

Jumlah : 1 Tahun 2 Minggu 4 Hari (Tamat hafalan 30 juzuk)


PELAN KEDUA (2 Tahun 2 Minggu 4 Hari)

Pelan ini boleh saya katakan program 2 tahun.

Mengikut Al-Quran Resan Uthmani, Al-Quran terdapat 604 mukasurat. Jadi penghafalan ini mengikut mukasurat.

* Seminggu 6 hari hafal dan 1 hari cuti untuk mengulang.

Sehari : 1 mukasurat.
Seminggu : 1 X 6 hari = 6 mukasurat
Sebulan : 6 X 4 minggu = 24 mukasurat
Setahun : 24 X 12 bulan = 288 mukasurat
2 Tahun : 288 X 2 = 576 mukasurat

Baki :Keseluruhan Al-Quran 604 mukasurat - 576 = 28 mukasurat.
Tambah :28 mukasurat bahagi 2 = 14 Hari + 4 Hari mengulang.

Jumlah : 2 Tahun 2 Minggu 4 Hari (Tamat hafalan 30 juzuk)

Sahabat sahabiah..
Melihat pelan-pelan diatas tidak dapat tidak, tidak boleh menghafal seorang diri. Sebaiknya ada musyrif dan pentasmi' agar kita istiqamah dalam hafalan dan tasmi'. Sebaiknya perbetulkan dahulu bacaan dengan masyaikh. Kemudian hafal mengikut tajwid dan sebutan yang tepat.

Semoga cadangan ini boleh sahabat dan sahabiah pertimbangkan sebelum terjun ke medan. Bila telah sampai di bumi Malaysia sebagai azhari dan azhariah dikhuatiri tidak ada masa untuk kita menghafal Al-Quran. Jadi kesempatan di bumi Mesir ini, gunakan masa kita sebaiknya. Salah silap harap diperbetulkan.

Wednesday, May 18, 2011

حاشية ابن الأمير Diajarkan di Masjid Al-Azhar

Syeikhuna Dr. Jamal Farouq bersama
Fadhilatul Syeikh Muhaddis As-Syeikh Muhammad Ibrahim Abdul Ba'ith Al-Kattani
(Ulama' dari iskandariah)


Syeikhuna Dr. Jamal Farouq di Majlis Zikra (memperingati)
Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim di Masjid Al-'Asyairah Al-Muhammadiah

Syeikhuna Dr. Jamal Farouq bersama
Fadhilatul Syeikh Ahmad Hajain (Mudarris) di Masjid al-Azhar As-Syariff


Kitab Hasiyyah Ibni Amir (Ilmu Tauhid)

Dapatkan di Maktabah Bayan Al-Arabi (belakang Al-Azhar) dengan Harga L.E 23.00

Assalamualaikum..

Aqidah suatu ilmu yang wajib dipelajari. Ayuh sahabat dan sahabiah kita lapangkan masa untuk mendalami ilmu ini. Tanpa ilmu ini bagaimana kita mampu berdiri di hadapan masyarakat sebagai daie dalam membawa masyarakat ke jalan yang sebenar. Aqidah adalah masalah pokok atau masalah usul yang wajib kepada umat islam mempelajarinya dan menjadi pegangan supaya tergolong dalam golongan orang yang bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Jadi sahabat sahabiah ilmu tidak mendatangi tetapi ianya didatangi.

Hasiyyah ini karangan Syeikh Al-'Allamah 'Alim Al-'Arabiah Wa Faqih Al-Malikiyyah Muhammad bin Muhammad bin Ahmad bin Abdul Qadir bin Abdul Aziz As-Sanbawi Al-Azhari. Masyhur dengan panggilan Al-Amir. Dilahirkan di Sanbu, Mesir pada tahun 1154 Hijrah. Belajar di Al-Azhar. Hasiyyah ini syarah kepada Kitab Ithaful Murid karangan As-Syeikh Abdul Salam bin Ibrahim bin Ibrahim Al-Laqqani Al-Masri Al-Maliki Al-Faqih. Merupakan pakar fiqh maliki pada zamannya di Kaherah. Beliau juga seorang ahli kalam, sufi dan faqih. Manakala Kitab Ithaful Murid ini syarah kepada matan Jauharah Tauhid yang masyhur dalam ilmu tauhid. Pengarang matan ini adalah bapa kandung kepada As-Syeikh Abdul Salam sendiri iaitu Al-Imam Ibrahim Al-Laqqani.

Sahabat sahabiah sekalian berita gembira kitab ini baru mula diajarkan oleh Fadhilatul As- Syeikh Al-Murabbi Al-Mutakallim Syeikhuna Ad-Doktor Jamal Farouq Ad-Daqqaq Al-Husaini di Anjung Al-Atrak, Masjid Al-Azhar As-Syariff. Pengajian setiap hari Ahad pada jam 5.30 petang. Bagi yang berkelapangan ayuh sama-sama kita memenuhi majlis ilmu al-azhar as-syariff dan bermujalasah bersama ulama serta menerima ilmu dan tarbiah dari para masyaikh. Semoga kita mendapat keberkatan dari para masyaikh seterusnya moga-moga ilmu yang dipelajari Allah memberi kefahaman yang jelas serta mampu mensyarahkannya kembali untuk melancarkan kesahihan tauhid kepada Allah Jalla Wa'Ala.