Friday, August 28, 2009

Majlis Pembacaan Kutub Sittah Anjuran PMRAM


PMRAM Teruskan Baktimu

Satu organisasi yang tak pernah lekang dibibir-bibir mahasiswa mahasiswi yang menuntut di Bumi Mesir. Satu persekutuan yang telah lama menabur bakti sejak tahun 1930 lagi. Tidak dinafikan walaupun pelbagai halangan dan rintangan yang dihadapi oleh PMRAM namun ianya tetap dan terus kukuh.Saya yakin dan percaya sesiapa pun yang pernah mengenali PMRAM tahu akan kepentingan keberadaan PMRAM di Bumi Mesir bagi meneruskan misi dan visinya terhadap mahasiswa/wi seluruhnya.

Sekian lama PMRAM bertapak pelbagai jasa yang telah diberikan oleh PMRAM kepada masiswa/wi samada secara sedar dan tidak sedar. Lihatlah segala sudut sehingga saya boleh katakan tiada satu persatuan yang mampu berjalan dan bergerak sehebat PMRAM di Bumi Mesir ini.Tahniah PMRAM dengan keikhlasan perjuangan barisan pimpinan berjaya menobatkan PMRAM sebagai persatuan yang disegani.

Walaupun terdapat pihak-pihak yang tidak sehaluan dengan PMRAM namun saya percaya mereka juga tidak sanggup mempertikaian jasa dan bakti PMRAM serta kemampuan PMRAM berdiri diatas kaki sendiri. Program yang besar dapat diatur dengan baik walaupun tiada peruntukan dari mana-mana pihak untuk PMRAM. Satu contoh dan tauladan buat semua. PMRAM tidak kira ahli atau tidak ahli isi borang atau tidak isi borang, PMRAM ini berjalan dan bergerak untuk semua mahasiswa/wi di Mesir. Ini hakikat yang saya kira tidak ada individu atau kumpulan untuk menyatakan tidak benar atas kenyataan ini.

Jika ingin dihurai,panjang kisah PMRAM ini dari 1930 hingga 2009. Namun ingin saya skopkan adalah peranan PMRAM dalam menjulang ilmu dan thaqafah yang menjadi matlamat utama mahasiswa/wi. Persekutuan ini mempunyai gelombang yang besar dalam membentuk suasana ilmiah terhadap sekian mahasiswa/wi Malaysia di Mesir. PMRAM mampu mengubah suasana yang lesu yang mendatar dengan menganjurkan program mega yang dapat dirasai oleh semua orang.Ini kekuatan yang ada pada PMRAM.Jadi kekuatan ini diguna sebaiknya oleh PMRAM dalam menghidupkan suasana menyedarkan mereka yang leka dari menuntut dan mendalami ilmu.

Suka saya menyentuh mengenai program terdekat yang dianjurkan oleh PMRAM iaitu Majlis Pembacaan Sunan Sittah yang akan bermula dengan Sohih Bukhari pada Oktober ini.Majlis yang sekian lama dinantikan. Mengundang para masyaikh Al-Azhar As-Syarif. Mungkin boleh saya katakan ini bidayah yang baik yang bakal mencatat 1001 kebaikan pada masa mendatang. Dari permulaan ini pelbagai perkara akan tercetus demi menjulang ilmu dan thaqafah serta ketekunan mahasiswa/wi dalam menuntut ilmu.

Anjuran majlis tafaqquh seperti ini perlu diperhebatkan tanpa mengabaikan program-program yang lainnya. Bukanlah 100% bila mengikuti program kita akan faqih dan terus jadi ulama' namun terdapat isi tersirat terhadap penganjuran majlis ini. Saya cuba mencipta apakah isi tersirat itu.Pertamanya timbul kesedaran dan usaha dalam mencari dan mendalami ilmu. Keduanya menjalin hubungan erat antara PMRAM dan Al-Azhar itu sendiri. Dan yang ketiga membentuk biah ilmiah yang menjadi matlamat asal mahasiswa/wi ke Mesir.Mungkin ada lagi isi tersiratnya namun saya serahkan kepada pembaca untuk menafsirkannya sendiri. Apa yang saya hendak katakan adalah manfaat dan faedah serta kesan majlis yang bakal menjelang ini harapnya dapat dirasai bersama.Sama-sama kita doakan majlis ini berjalan dengan lancar.




PMRAM teruskan baktimu itu yang cuba saya ungkapkan buat sidang pembaca. Mahasiswa/wi kini seolah-olah memerlukanmu tetapi tidak mampu mengungkapnya dengan kata-kata.Rancanglah, susunlah dan aturlah setiap yang bermanfaat untuk disajikan buat mahasiswa/wi di Mesir ini. Ahli-ahli sedia menghulurkan tangan untuk menyambutnya.Dulu mungkin PMRAM dinafikan tetapi kini PMRAM diperlukan.

PMRAM teruskan baktimu sekali lagi saya katakan demi masa depan mahasiswa/wi yang bakal mencorak masyarakat, mengubah cara hidup yang tersimpang jauh dari landasan syariat dan membina tapak agar Islam yang syumul ini dijadikan cara hidup buat seluruh masyarakat khususnya di tanahair Malaysia yang kita cintai.

Salam Ramadhan.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar bin Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir , Madinah Nasr, Kaherah Mesir.
28 Ogos 2009M bersamaan 6 Ramadhan 1430H
3.23 petang.

Tuesday, August 25, 2009

Tokoh Tasawwuf Yang Agung


As-Sayyid As-Syeikh Abu Al Hasan As-Syazuli r.a (593H-656H/1197-1258M)

Nama dan Nasab
Nama beliau ialah Ali ibn Abdullah ibn Abdul Jabbar ibn Tamim ibn Hurmuz ibn Hatim ibn Qusoyy ibn Yusuf ibn Yusya’ ibn Warad ibn Battol ibn Muhammad ibn Ahmad ibn Isa ibn Muhammad ibn Al-Hasan ibn Ali ibn Abi Talib r.a..

Gelaran
Taqiyyudin Abu Al-Hasan As-syazuli (dalam satu riwayat As-Syazili)

Tarikh dan Tempat Lahir
Beliau dilahirkan pada tahun 593 Hijrah bersamaan 1197 Masihi di sebuah kampung bernama Ghumarah, berdekatan dengan bandar Sabtah, Moroko.

Riwayat Ringkas Tentang Kehidupan

Semasa tinggal di Ghumarah, Abu Al-Hasan belajar menghafaz Al-Qur’an, ilmu-ilmu asas agama, ilmu sunnah nabawiyah dan sebagainya di bawah tarbiah dan ta’lim ulama’-ulama’ besar di zaman beliau.

Setelah itu beliau bermusafir ke kampung Fas untuk bertemu dengan seorang Sheikh sufi iaitu, As-Sheikh Abdullah bin Abil Hasan ibn Harazim (murid As-Sheikh Abu Madyan r.a.) dan memakai khirqah sufi daripada beliau.

Kemudian, beliau menuju ke Zawilah dan kemudiannya ke bandar Tunisia. Di sana, beliau mempelajari ilmu-ilmu agama secara mendalam daripada ulama’-ulama’ besar di sana. Beliau bermazhab Maliki dalam fiqh Islami.

Di sana juga, beliau sempat berkumpul dengan para sufi yang merupakan anak-anak murid kepada Abul Madyan r.a., dan seterusnya terkesan dan tertarik dengan metodologi tarbiah sufiyah mereka.

Setelah itu, beliau bermusafir ke Iraq dan bertemu dengan As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a., yang merupakan khalifah bagi Sidi Ahmad Ar-Rifa’i r.a.. Beliau mengambil bai’ah daripada As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan sering mengikuti perhimpunan mereka. Imam Abu Al-Hasan r.a. sering berbincang dengan As-Sheikh Abu Al-Fath r.a. dan kadangkala beliau (Abu Al-Hasan r.a.) bertanyakan tentang wali qutub di zaman tersebut.

As-Sheikh Abu Al-Fath Al-Wasiti r.a. berkata kepada beliau:” Kamu merantau dari Moroko menuju ke mari (Iraq) sedangkan wali qutub berada di tempatmu (Moroko).”

Seterusnya beliau pulang ke Moroko semula untuk mencari wali qutub yang dimaksudkan tersebut. Akhirnya beliau bertemu dengan wali qutub yang dimaksudkan iaitu As-Sheikh Al-Kabir Al-Wali Al-Qutub Abu Muhammad Abdul Salam ibn Masyish r.a..

Pertemuan pertama beliau dengan wali qutub Ibn Masyish r.a. ialah di atas sebuah bukit, takkala Ibn Masyish r.a. sedang bersendirian beribadah secara khusyuk di hadapan ALLAH s.w.t..

Setelah tamat perguruan dengan Ibn Masyish r.a. beliau disuruh untuk berdakwah di Afrika. Akhirnya, beliau bermusafir ke Afrika, dan tinggal di wilayah Syazulah yang mana kepada nama wilayah tersebutlah, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. dinisbahkan. Setelah itu, beliau tinggal di atas bukit bernama Za’wan.

Setelah itu pula, beliau bermusafir ke Tunisia dan nama beliau mahsyur di sana. Namun, ada individu yang dengki dengan beliau lantas menyebarkan fitnah terhadap Imam As-Syazuli r.a..

Imam As-Syazuli r.a. seterusnya memulakan perjalanan untuk mengerjakan haji di Makkah, dan setelkah itu menetap di Mesir selama 35 tahun.

Diriwayatkan juga bahawa, Imam Abu Al-Hasan As-Syazuli r.a. turut serta dalam peperangan di Mansurah, Mesir, takkala berlangsung perperangan antara tentera islam dengan tentera erancis di bawah pimpinan Raja Luis ke-9 (raja Perancis).

Kewafatannya

Pada tahun 656 Hijarah (bersamaan 1258 Masihi), beliau sekali lagi ingin bermusafir untuk mengerjakan haji. Namun, dalam perjalanan, dengan ditemani oleh khalifah beliau Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a., beliau akhirnya menghembuskan nafasnya yang terakhir di tengah padang pasir ‘aizab di Humaisara, Mesir. Beliau meninggal dunia pada usia 63 tahun.

Setelah itu, khalifah beliau, Al-Imam Abu Al-Abbas Al-Mursi r.a. (yang juga merupakan menantu kepada Imam As-Syazuli r.a.) mengambil alih tugas memimpin anak-anak murid al-Imam as-Syazuli r.a., dan seterusnya menyebarkan manhaj tarbiah tarikat As-Syazuliah yang diberkati.

Semoga ALLAH s.w.t mencurahkan keberkatan ke atas penghulu tarikat As-Syazuliah r.a., dan memanfaatkan kita dengan keberkatan dan hembusan rohani beliau, amin...

Disusun oleh Al-Fadhil Ustaz Mukhlis @ Al-Faqir101
sumber : http://aidaqelantani.multiply.com/journal

IKLAN :
Program Ziarah & Daurah Bersama Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki.
Tempat : Humaisara,Bahrul Ahmar (Maqam As-Sayyid As-Syeikh Abu Hasan Asy-Syazuli)
Tarikh: 31 Ogos hingga 3 Sepetember 2009.
Yuran penyertaan L.E 235.00 termasuk pengangkutan, penginapan & makanan.sila daftar segera..
Sila rujuk saudara shahir 0116945639 (ikhwah sahaja).

Rebutlah Peluang Keemasan ini.!!

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman, Haiyu Asyir , Cairo
26 Ogos 2009
5.36 pagi

Tuesday, August 18, 2009

Perbaharui Niat Serta Semangat


Sahabat-sahabiah azhari dan azhariah baca dan teliti berita ini. Alangkah gembiranya kalau rajin ke kuliah itulah ganjarannya. Tapi apakan daya azhar banyak bezanya.

Saya menyeru diri saya dan sahabat sahabiah sekalian walaupun tidak ada ganjaran serupa itu yang azhar berikan tapi ingatlah ganjaran jika kita rajin ke kuliah lebih dari apa yang diberitakan ini.

Suatu ganjaran yang tidak nampak di mata namun ianya mempunyai nilai berlipat kali ganda. Cuba sahabat dan sahabiah berfikir adakah sengaja azhar tidak mewajibkan pelajarnya ke kuliah? pelbagai jawapan dan tafsiran yang kita boleh rangkakan.

Saya tidak mempunyai jawapan untuk para pembaca sekalian. Namun saya yakin dan percaya sahabat dan sahabiah sefikrah dengan saya bahawa keberadaan kita setiap hari di kuliah adalah sesuatu yang amat bermanfaat.

Jadi sebagai peringatan untuk memasuki sesi yang baru di tengah-tengah bulan Ramadhan ini, maka sama-samalah kita mentajdid niat dalam pembelajaran dan pengajian di bumi ardil kinanah ini.Cuba kita letakkan azam yang kita tidak sesekali tinggal muhadharah bersama pensyarah-pensyarah di universiti.

Akademik sesuatu yang penting yang perlu kita pertahankan. Para azhari dan azhariah, dewasa ini sangat memerlukan intelektual yang boleh mengubah haluan masyarakat. Dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik mengikut lunas dan landasan syariat Allah.

Teringat pesanan abang-abang yang telah berjaya, " kuliah memang tidak mencukupi untuk kita bergelar al-faqih, tak dapat tidak kena usaha talaqqi dengan para masyaikh di luar kuliah yang pembelajarannya lebih daqiq(mendalam) dan menyeluruh, namun title,pangkat serta gelaran juga penting sebagai wasilah untuk mendepani masyarakat" katanya lagi " cuba kita perhatikan Imam Gazali dikenali dengan Hujjatul Islam, Imam Zakaria Al-Ansori digelar Syeikhul Islam, Imam Syafie digelar Nasirul Sunnah dan boleh dikatakan semua para ulama' ada gelaran dan pangkat. Tak kurang juga ada ulama' yang mempunyai gelaran lebih dari satu".

Ini menunjukkan gelaran dan pangkat juga penting dalam mendepani masyarakat walaupun kita faqih. Masalan kita digelar doktor, profesor, profesor madya dan lain-lain lagi. Gelaran dan pangkat ini tidak mungkin kita dapat melainkan keputusan peperiksaan yang membanggakan serta prestasi akademik kita yang baik.

Azhar telah menunjukkan manhaj yang terbaik. Jika kita perhatikan di universiti kita belajar mengikut sukatan dan silibus tetapi terdapat pengajian di luar universiti kadang-kadang pensyarah yang sama mengajar di masjid-masjid serta di tempat-tempat pengajian yang khusus dengan kitab turath dan kotemporari yang dibaca dari kulit ke kulit. Ini suatu manhaj yang perlu azhari dan azhariah sedar. Yakinlah bumi Mesir adalah gedung ilmu yang tidak pernah menyekat untuk sesiapa belajar dan mendalami ilmu di buminya.

Dengan azam dan semangat yang kuat serta istiqamah dalam menuntut ilmu dengan izin Allah kita akan menjadi insan yang digelar ulama' yang mewarisi para anbiya'.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar Razak
Asrama Darul Aman 2 Hayyu Asyir
2.59 pagi
19 Ogos 2009