Monday, June 15, 2009

Pemergian Ulama Adalah Satu Musibah Bagi Umat Islam

Satu berita yang amat menyayukan hati seluruh umat islam di dunia. Kebelakangan ini dapat kita lihat seorang demi seorang ulama diangkat oleh Allah Subhanahu Wa Taala untuk menemunyiNya. Pemergian mereka adalah kehilangan yang amat dirasakan oleh umat islam seluruhnya. 13 Jun 2009 berita kewafatan Ust Dr. Fathi Yakan tersebar seluruh dunia. Hati-hati para pendakwah islam gemuruh ada setengahnya mempersoalkan kebenaran dan kesahihan berita ini. Akhirnya setelah disahkan bahawa Ust Dr. Fathi Yakan telah menghembuskan nafas terakhir, jiwa-jiwa umat yang mengenali Al-Marhum samada pernah menemuinya ataupun mengenali ketajaman mata penanya menagis tersebak-sebak. Hati sayu dan berderu sejuk dan panas apabila mengenang jasa Al-Marhum yang begitu besar dalam menegakkan Islam, menyebarkan Islam, menyampaikan Islam ke seluruh dunia. Kini Beliau telah meninggalkan kita. Pemergiannya disifatkan satu musibah kepada umat islam. Antara sebab kehilangan ilmu adalah pemergian para alim ulama. Imam Hasan Basri Menyebut :

مَوْتُ العَالِمِ ثَلْمَةٌ فِي الإِسلامِ لاَ يَسُدُّهاَ مَا اخْتَلَفَ اللَّيْلُ وَالنَّهَارُ

"Matinya seorang alim adalah suatu lubang dalam Islam. Tidak akan dapat di tutup selama-lamnya." (Hr Darimi 329 dan Baihaqi dlm Syu'abul Iman 1719)

14 Jun 2009 Jenazah Syeikh Dr Fathi Yakan pengasas Jamaah Islam (cawangan ikhwanul Muslimin) di lubnan telah selamat dikebumikan di bandar Tarablas selatan Lubnan selepas solat asar kelmarin. Jenazah beliau telah diiringi secara rasmi dan manusia dalam keadaan kesedihan memenuhi masjid Tinal (tempat jenazah disembahyangkan).

Diantara yang yang mengiringi jenazah beliau adalah wakil Presiden syria, ketua dewan rakyat Nabih Barri, pimpinan HAMAS Sami Khatir yang mewakili ketua Biro Politik HAMAS Khalid Masy'al, pimpinan pergerakan Jihad Islami Abu Imad ar-Rifaie, timbalan setiausaha agung Jemaah Islam Ibrahim Misti dan wakil dari Hizbullah.

Syeikh Malik as-Syiar yang mengimamkan jenazah beliau telah berkata:

إن طرابلس مدينة العلم والعلماء، ومعها العالم الإسلامي بأسره تودع رجلاً من كبارها وعلمًا من أعلامها رائد الحركة الإسلامية ومؤسسها، من أفنى عمره وحياته في سبيل الدعوة إلى الله عز وجل

"Sesungguhnya Tarablas adalah bandar ilmu dan ulama. Seluruh dunia Islam telah mengucapkan selamat tinggal kepada seorang tokoh dan panji Umat Islam. Beliau juga adalah pelopor dan pengasas bagi Gerakan Islam yang telah menghabiskan kehidupannya untuk berdakwah kepada Allah."

Latar Belakang Syeikh Dr. Fathi Yakan

Dr. Fathi Yakan telah dilahirkan pada 9 Februari / Syabat (kiraan bulanan kuno di negara Lubnan) 1933 di Tarablus Lubnan. Telah berjaya memperolehi Phd di dalam bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. Telapun berkahwin dengan Puan Dr. Mona Haddad Yakan dan telah dikurniakan 5 orang cahaya mata ( 4 perempuan dan 1 lelaki).

Beliau merupakan diantarakan tokoh gerakan Islam di Lubnan dan di dunia Islam bahkan beliau merupakan diantara pelopor yang mengasaskan gerakan Islam di Lubnan bersama-sama dengan lebih kurang 50 orang saudaranya yang lain sejurus selepas mereka menziarahi Dr. Mustafa As-Siba'ie Rahimahullahu di Syria.

Beliau telah menyumbang tenaga di dalam mempelopori fikrah gerakan Islam di dalam dunia Arab dan beliau juga telah menyebarkan risalah-risalah dan tulisan-tulisan yang berbentuk ideologi ke dunia Arab dan Islam sebagai panduan generasi-generasi kebangkitan Islam dan kebanyakan daripada tulisan-tulisan beliau telah diterjemahkan di dalam banyak bahasa. Di antara tulisannya yang terkenal adalah ماذا يعنى إنتمائى للإسلام (Apa ertinya saya menganut agama Islam), مشكلة الدعوة والداعية (Masalah yang berkaitan dengan Dakwah dan Pendakwah) dan banyak lagi.

Beliau juga pernah memenangi kerusi pada pilihanraya Lubnan pada tahun 1992. Beliau juga pernah menyertai Perhimpunan Islam Antarabangsa (International Islamic Conference).

Syeikh Dr. Fathi Yakan Pernah Menjejakan Kakinya Di Malaysia

Syeikh Dr. Fathi Yakan pernah memberikan satu peringatan yang amat-amat penting ketika hadirnya di bumi Malaysia.

Disediakan oleh : Akhukum fiLlah, Ahmad Akhyari bin Ismail @ Abu Amjad Az-Zahawiee UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta

Seorang Mujahid Dakwah, Ustaz Fathi Yakan, yang pernah berkunjung ke Negara kita, dalam rangka menghadiri Muktamar Agung PAS tahun 1997, telah memperingatkan kita semua tentang bahaya AIDS Haraki, iaitu istilah yang menggambarkan fenomena yang telah dan sedang terjadi di sebahagian harakah Islamiah di seluruh dunia.

Ini adalah peringatan penting beliau kepada para aktivis dakwah, sejak enam belas tahun yang lalu di dalam buku beliau : Ihzaruu AIDS Al-Haraki (Berjaga-jagalah, AIDS Haraki). Wa Zakkir !! Fa inna az-Zikra tanfa`ul mu’minin.

Penyakit AIDS adalah merujuk keadaan seseorang yang mengalami kehilangan daya tahan penyakit di dalam tubuh, sehingga menjadi mudah dijangkiti penyakit dengan keadaan yang parah. Sehingga kini, penyakit yang disebabkan oleh virus HIV ini, masih belum ditemui ubat yang dapat menyembuhkan penyakit merbahaya ini. Para penghidap HIV/AIDS ini akan berhadapan dengan risiko kematian.

Dalam buku “Ihdzaruu Al-Aids Al-Harakiy (1989)”, Al-Ustaz Fathi Yakan secara khusus mengingatkan kes kehancuran harakah dan tanzim dakwah di Lubnan. Hal yang sama juga berlaku di beberapa Negara Muslim yang terdapat harakah Islamiah di situ. Beliau berpendapat, kes-kes kehancuran tanzim dakwah bermula dari kelemahan daya tahan dalaman jama`ah, yang seringkali terjadi di saat mereka berada di atas paksi Mihwar Siyasi (Orbit Politik).

Hal ini sering terjadi ketika harakah Islamiah memasuki wilayah amal siyasi (kerja politik) untuk menyempurnakan wilayah `amal dakwah dan meningkatkan sasaran dakwah yang lainnya.

Mengapa terjadi seperti ini? Apakah penglibatan harakah Islamiah dalam wilayah politik adalah suatu kekeliruan dan kesilapan? Tentu saja tidak !! Bahkan ini adalah suatu kewajipan kita semua.

Konsep Syumuliatul Islam yang diperkenalkan Imam As-Syahid Hasan al-Banna di dalam usul pertama dari Usul `Isyrin, telah memberikan gambaran pentingnya kita bergerak di paksi politik demi tertegaknya Ad-Din wa Ad-Daulah. Sesungguhnya saat ini, Syumuliayatud Dakwah menuntut kita memasuki dan menguasai wilayah politik.

Sumber :http://dppwp.wordpress.com

Ingatan demi Ingatan dari Syeikh Dr. Fathi Yakan tidak akan kami dilupakan. Irsyadat dan taujihat daripadanya samada dari percakapannya, perbuatannya dan penulisannya akan kami abadikan dalam kamus kehidupan sebagai role model di dalam dunia menyebarkan fikrah islamiah yang tulen.

Semoga Pemergian ini adalah kesedaran buat umat islam. Tanggungjawab untuk meneruskan perjuangan dalam menengakkan syiar islam terpikul di bahu-bahu kita. Semoga Allah merahmati Syeikh Dr. Fathi Yakan dan berbahagia disamping Tuhan Rabbul ''Izzati.

Akhukum Fillah, Abu Bakar Razak, Hayyu Asir Kaherah (6.50 pagi 16/06/09).



Thursday, June 11, 2009

Ihtifal Bi Zikra Lil Imam Ar-Raid As- Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim Rahimahullah


Tanggal 17 Jamadil Akhir 1430 H bersamaan 10 Jun 2009 Al-'Asyirah Al-Muhammadiah menganjurkan Hari Memperingati Al-Imam As-Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim kali yang ke-11. Majlis diadakan di Masjid Al-Masyaikh Al-'Asyirah Al-Muhammadiah di Jalan Qitbai, Darrasah.

Para hadirin dan hadirat mula memenuhi masjid sejak sebelum magrib. Sebelum magrib dialunkan burdah dan selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam. Majlis dimulakan selesai solat magrib.

Syeikh 'Isomuddin Muhammad Zaki yang kini menggantikan ayahandanya dalam menerajui Al-Asyirah Al-Muhammadiah dan Tariqat Al-Muhammadiah As-Syaziliah mengambil tempat dan memberikan ucapan aluan dan penghargaan kepada tetamu serta masyaikh yang hadir. Syeikh 'Isom menyebut satu persatu hadirin dan ulama' al-ajilla' yang datang untuk meraikan majlis ini.

Antara 'alim ulama' yang hadir :

1- Syeikh Saad Jawish
2- Syeikh Dr. Jamal Faruq
3- Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid Jabir Al-Hasani
4- Dr. 'Atiah Abdul Maujud
5- Syeikh Dr. Fuad Syakir
6- Dr. Muhammad Mahanna
7- Dr. Fathi Hijazi
8- Syeikh Sidi Hasan Syannawi
9- Syeikh 'Azim
10- Syeikh Dr. Mustafa Syakar
11- Syeikh Dr. Thoha Al-Bish
12- Dr. Muhsin Fahmi
13- Dr. Said Masy'ad
14- Dr. Rashid
15- Sayyidi Muhammad Hafiz At-Tijani
16- Syeikh Dr. 'Atiah Ibni Syeikh Sidi Soleh Ja'fari
17- Ustaz Dr. Muhammad Abu Lailah
18- Syeikh Dr. Ibrahim Ahmad bin Ali Ba'lawi

Dan ramai lagi, hampir lebih 40 orang ulama' yang hadir kebanyakan adalah masyaikh Al-Azhar As-Syarif.

Hampir sebahagian ulama' yang menyinari keilmuan di bumi Mesir ini hadir dalam majlis ini. Ini kerana kehebatan dan sumbangan ilmu dari Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim ketika hayatnya dimanfaati ramai. Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim yang terkenal dengan gelaran Abul barakat juga menyumbangkan keilmuannya melalui mata pena. Hampir Ribuan karangan artikel dan ratusan buku yang ditulisnya. Hingga kini kita dapat meyelami ilmu yang terus menerus hasil dari karangan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim. Jika diperhatikan 'alim ulama' yang masyhur kini adalah hasil didikan dan pernah belajar serta menjadi murid kepada Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim.

Majlis kemudiannya mendengar ucapan dan penyampaian dakwah 'ammah yang disampaikan oleh beberapa masyaikh yang hadir:

Syeikh Dr. Fuad Syakir

Dr. Mahanna

Syeikh Dr. Saad Jawish

Syeikh Muhammad ( Membaca Ayat Suci Al-Quran)

Syeikh Dr. Thoha Al-Bish

Syeikh Dr. Abdul Hadi Qhuthofi

Syeikh Dr. Yusri Rushdi Sayyid Jabir Al-Hasani

Ustaz Dr. Muhammad Abu Lailah

Menyingkap kata-kata dan ucapan yang disampaikan oleh para masyaikh cukup-cukup bermakna. Penuh penghayatan dalam menterjemahkan diri sebagai seorang hamba. Pujian yang tinggi buat Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim sebagai seorang tokoh ilmuan dan tokoh yang mengasaskan Tariqat Muhammadiah As-Syaziliah. Kini Al-'Asyirah Al-Muhammadiah tersebar di seluruh pelusuk Mesir dan juga telah mempunyai cawangan di luar negara.

Mereka mencintai perjalanan kesufian, mereka menghayati kepentingan keilmuan, mereka memberikan sepenuh tenaga dalam mencurahkan bakti kepada masyarakat agar mengerti ajaran dinul haq supaya segenap amalan mengikut amal islami. Sungguh kuat ikatan diri dengan Allah Rabbul 'Izzati.

Syeikh 'Isom mengakhiri majlis dengan membaca doa serta mengharapkan pertemuan ini adalah pertemuan yang diberkati dan dirahmati dengan keberkatan para masyaikh yang hadir serta ucapan-ucapan yang membawa seribu satu erti kebaikan.

Semoga Allah menggolongkan kita di dalam golongan yang sentiasa mendekatkan diri dengan Allah dan sentiasa beramal dengan amalan yang soleh serta menjauhkan kita dari melakukan kemungkaran.

Antara Kitab Karangan Syeikh Muhammad Zaki Ibrahim :


















Sunday, June 7, 2009

Setiap Yang Bernyawa Akan Merasai Mati

Tempat Perkuburan Malaysia di Mesir

Pengurusan Jenazah Satu Kewajipan

Firman Allah Ta'ala di dalam kitabnya yang mulia:

"Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan sesungguhnya pahala kamu akan dibalas pada hari kiamat"
-Surah Ali Imran Ayat 185-

"Apabila sampai ajal maut seseorang itu ia tidak dapat ditunda atau dipercepat,walau sesaat pun"
-Surah Al-A'raf Ayat 34-

"Dimana saja kamu berada,kematian itu akan mendapatkan kamu sekalipun kamu berada dalam kubu yang kukuh"
-Surah An-Nisa' Ayat 78-

Ketiga-tiga ayat dalam ketiga-tiga surah ini adalah jelas bahawasanya kematian itu adalah sesuatu yang pasti. Bagi kita yang nadi masih berdetik dan nyawa masih di kandung badan maka islam menganjurkan kita supaya mengingati mati.Antara cara mengingati mati adalah merenung menggambarkan saat-saat kematian, menziarahi orang sakit, menghantar jenazah ke kubur, menziarahi kubur dan sebagainya.

Mengingati mati adalah berbeza hukumnya dengan bercita-cita hendak mati, kerana bercita-cita hendak mati yang nekad dengan putus asa, tidak sabar atas penderitaan adalah bukan sifat seorang Islam mukmin dan ditegah oleh syarak ( haram ) kerana nekad sedemikian kadangkala boleh membawa pembunuhan diri.

Adapun memohon dipendekkan umur dengan sebab kezaliman yang berlaku dan tidak ada jalan bagi menghindarinya adalah diharus dengan secara bersandar, seperti kata doanya, bermaksud :
"Ya Allah hidupkanlah aku sekiranya kehidupan itu memberi kebaikan kepadaku dan matikanlah aku sekiranya kematian itu menjadi kebaikan kepadaku"

Dengan mengingati mati akan menimbul rasa taqwa yang mendalam untuk menjunjung perintah Allah s.w.t. dan meninggalkan segala larangannya. Serta bersungguh-sungguh berusaha memperbanyakkan harta kebajikan, dan pelajaran sama ada untuk diri atau keluarganya.

Timbul rasa kasih sayang serta muhabbah sesama manusia, khususnya keluarga, jiran dan masyarakat setempat yang kelak disebut orang dengan kebaikan.Lahir perasaan tanggungjawab hendak membimbing diri dan keluarganya supaya bersungguh-sungguh beramal dan berbuat kebajikan dalam menuntut keredhaan Allah.

Semoga kita di dalam golongan yang sentiasa mengingati mati agar perbuatan,percakapan, tindakan dan pergaulan kita dalam keadaan berwaspada supaya sentiasa berada dalam melaksanakan kewajipan sebagai seorang hamba dan sekaligus mendapat keredhoan dari Allah subhanahu wa ta'ala.

Mengenai perbincangan tajuk "Pengurusan Jenazah Satu Kewajipan" sepertimana sabdaan Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallah :

"Hendaklah kamu segera menyelenggarakan jenazah (mayat) jika mayat itu baik kamu mendekatkan dia kepada kebajikan,dan jika mayat itu tidak baik bererti kamu melepaskan
kejahatan daripada tengkok kamu".(Muttafaqun Alaihi)

"Wahai Ali, tiga perkara jangan engkau lambat-lambatkan.Pertama sembahyang bila telah masuk waktunya. kedua ,menyelenggarakan jenazah bila ia telah hadir (ada) danketiga ketika janda telah ada yang sekupu meminangnya"(Riwayat Ahmaddan At-Tarmidzi)

Kedua-dua Hadis diatas menunjukkan kewajipan kepada kita yang masih hidup untuk menguruskan jenazah dan menyegerakan urusan pengebumian jenazah.Walaupun pengurusan jenazah adalah fardhu kifayah namun alangkah baiknya kita semua juga mengetahui bagaimana urusannya dan khusus buat azhariyyun yang memang bila pulang kelak sebagai satu cahaya dalam masyarakat dalam mendorong masyarakat menghayati amal islami dalam kehidupan. Jadi antara perkara terpenting adalah memahami dan mampu melaksanakan urusan pengebumian jenazah.

Bagaimana pengurusan jenazah Malaysia yang meninggal dunia di Mesir?

Saya tidak berhasrat untuk membahaskan mengenai Panduan atau kaifiat menguruskan jenazah dari memandikan sehinggalah mengebumikan jenazah. Namun apa yang saya paparkan disini adalah bagaimana ingin menguruskan jenazah(malaysia) yang menghembuskan nafasnya yang terakhir di Mesir mengikut ketetapan atau prosuder yang biasa dilaksanakan.

Huraian yang akan saya bentangkan adalah tindakan-tindakan yang perlu dilakukan oleh seseorang yang ingin menguruskan jenazah(malaysia) di Bumi Mesir.Ini adalah sekadar panduan serta step yang perlu dilakukan dalam menguruskan jenazah dari saat kematiannya hingga selesai kewajipan yang keempat iaitu mengebumikan jenazah.Pengurusan ini adalah sama samada jenazah merupakan pelajar atau bukan pelajar, lelaki atau perempuan.

Langkah Pertama

Makluman tentang kematian kepada pihak berwajib Seperti :
1) Keluarga si mati di Malaysia
2) Kedutaan Malaysia Besar Kaherah
3) Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir
4) Badan Kebajikan Anak Negeri( mengikut kelahiran si mati)

Langkah Kedua

Berbincang dengan pihak keluarga di Malaysia tentang pengkebumian si mati adakah hendak dikebumikan di Mesir atau di Malaysia?Terdapat perbezaan pengurusan mengenai pengkebumian di Mesir dan di Malaysia.

Langkah Ketiga

Jika jenazah ingin dikebumikan di Malaysia

Harus memaklumkan kepada Kedutaan, sekarang adalah dibawah tanggungjawab En Syarbini dan En Zainuddin untuk urusan kematian.

Biasanya kedutaan akan mengambil sebuah syarikat arab yang akan menguruskan segala hal sehingga jenazah sampai di KLIA.

Berikut adalah step yang dilakukan:
1) Syarikat Arab ini akan datang ditempat kematian.Biasa kematian di hospital. Maka Syarikat ini akan meminta agar kita dapatkan pengesahan kematian dari hospital atau doktor yang terakhir yang mengesahkan kematian jenazah.

2) Kemudian surat pengesahan kematian ini akan dibawa bersama passport si mati ke Maktab Sihhah yang berdekatan untuk mendapatkan keizinan untuk pengebumian dan pengesahan kematian(surat mati).

3) Maktab sihhah akan meminta surat daripada safarah yang menyatakan jenazah ini hendak dikebumikan di Malaysia.Jadi syarikat arab ini akan mengambil surat safarah dalam melakukan urusan di maktab sihhah untuk mendapatkan surat mati(syahadah wafat) serta kebenaran membawa pulang jenazah ke Malaysia.

4) Syarikat akan memindahkan jenazah ke hospital yang biasa disimpan mayat (hospital itali abbasiah) sebelum mengetahui penerbangan terdekat untuk menghantar jenazah.

5) Setelah mendapat waktu dan masa penerbangan maka proses memandikan, mengafankan dan menyembahyangkan jenazah akan dilakukan.(untuk proses ini terpulang kepada kita untuk meminta syarikat arab yang menguruskan atau kita sendiri yang ingin menguruskan)

6) Setelah selesai memandikan,mengafankan dan menyembahyangkan jenazah akan terus disimpan di (peti simpan mayat ) di Lapangan Terbang.

7) Mengikut masa dan waktu jenazah akan dihantar terus ke KLIA, biasa akan mengambilperkhidmatan Egypt Air.Syarikat hanya menguruskan hingga disini sahaja.

8) Pengurusan di KLIA hingga ke kampung halaman atau tempat yang ingin dikebumikan jenazah adalah atas urusan keluarga si mati. terpulang kepada keluarga si mati bagaimana untuk membawa pulang jenazah ke kampung samada melalui kapal terbang domestik ataupun van jenazah.

Jika Jenazah ingin hantar pulang ke Malaysia ini sahaja langkah-langkahnya. Pengurusan agak mudah disebabkan kita menggunakan perkhidmatan syarikat arab untuk menguruskan proses penghantaran jenazah ke Malaysia. Cuma perlu memaklumkan kepada keluarga akan kos yang perlu ditanggung oleh keluarga utk urusan ini. Kos yang dikenakan hampir USD2400. Tidak termasuk jika ada pengiring untuk menghantar jenazah pulang.

Langkah Keempat

Jika Jenazah ingin dikebumikan di Mesir

Beberapa pihak perlu dihubungi segera:

1) Kedutaan ( En Syarbini,Prof Madya Dr. Jamil dan Ustaz Zainuddin)
2) PMRAM (Presiden PMRAM)
3) Mas'ul Tanah Perkuburan Malaysia ( Ustaz Aisam, Perlis)
4) YDP-YDP BKAN Sekitar Dataran hayyu Asyir.

Langkah Kelima

Mengikut keempat-empat pihak diatas:

Pihak Kedutaan
- Berbincang bagaimana cara terbaik untuk mendapatkan surat mati (syahadah wafat)dan kebenaran pengebumian (Tasrih dafn)di Mesir dari Maktab Sihhah(Kementerian Kesihatan Mesir). Jika ingin menggunakan perkhidmatan Syarikat adalah lebih baik walaupun terdapat kos(L.E 1520.00), namun memudahkan urusan. Jika ingin melakukan sendiri adalah langkah yang perlu dilakukan seperti langkah ketiga di atas.

- Selepas dapat surat mati dari Maktab Sihhah surat ini perlu diterjemah ke dalam bahasa inggeris di kedutaan. Jadi surat mati ini perlu ada bersama waris untuk laporan mati di Malaysia.

Pihak PMRAM
- Memaklumkan bahawa jenazah hendak dikebumikan di Mesir, mohon pihak PMRAM sediakan pekhidmatan dari ustaz-ustaz yang berpengalaman untuk memandikan dan mengafankan jenazah. Jika jenazah perempuan maka perlu kepada perkhidmatan ustazah-ustazah. (adalah lebih baik jenazah dimandikan dan dikafankan oleh orang Malaysia sendiri)

- Memohon pihak PMRAM sebarkan berita kematian ini dan memberitahu jezanah akan disembahyangkan pada jam,waktu dan tempat sekian agar pelajar-pelajar bersedia untuk menyembahyangkan jenazah.

YDP-YDP BKAN Sekitar Dataran hayyu Asyir.
- Kebiasaan jenazah akan disembahyang di Dataran Hayyu Asyir, jadi perlu menghubungi YDP-YDP sekitar Asyir untuk memaklumkan kepada penghuni asrama sekitar dataran untuk turun menyembahyangkan jenazah.Untuk mengimamkan solat jenazah adalah lebih baik orang terdekat atau ahli keluarganya sendiri.

Mas'ul Tanah Perkuburan Malaysia
- Pemberitahuan kepada mas'ul ini adalah amat penting untuk beliau bersedia membuka kubur dan bersedia untuk urusan pengebumian jenazah.

- Surat kebenaran pengebumian perlu diserahkan kepada beliau bila jenazah tiba di kawasan perkuburan. selagi surat ini belum ditangannya jenazah belum boleh dikebumikan.Surat ini adalah simpanan pihak pengurusan perkuburan mesir.

- Beliau juga akan mengetuai urusan pengebumian, jadi ahli keluarga atau sahabat handai jenazah perlu membantunya hingga selesai urusan pengebumian.

- Biasanya ketika proses pengebumian itu, adalah baik sahabat-sahabat yang diluar pintu masuk kubur mengadakan tahlil dan doa buat si mati.

Langkah keenam

- Dengan tamatnya doa yang dibacakan itu, maka selesailah urusan pengebumian jenazah.

- Pada malamnya diadakan majlis tahlil dan solat hadiah kepada si mati.

Begitulah pengurusan yang perlu dilaksanakan. Masih terdapat banyak perkara yang perlu diselitkan untuk melengkapkan perbahasan mengenai pengurusan jenazah. Namun sekadar ini yang saya mampu mengikut pengalaman. Dan masih banyak perkara perlu dipelajari agar segala urusan dapat diselesaikan dengan keadaan yang lebih sempurna mengikut tuntutan agama dan sepertimana yang dilakukan oleh Nabi Muhammad Sallahu 'alaihi wasallam serta para sahabat dan para auliya' dan alim ulama'.

Wakil Syarikat Pengurusan Jenazah untuk proses penghantaran pulang ke Malaysia

Surat Mati dari Kementerian Kesihatan Mesir

Surat Mati yang diterjemahkan ke dalam bahasa inggeris oleh Kedutaan Malaysia

Surat Pengebumian Jenazah di Mesir

Bilik Simpan Mayat di Hospital Itali Abbasiah Kaherah


Tambahan

1) Pengurusan ini perlu didokumenkan untuk masa mendatang.

2) Perlu menubuhkan satu pertubuhan seolah-olah khairat kematian yang ada di Malaysia untuk memudahkan urusan pengebumian jenazah.

3) Kursus pengurusan jenazah perlu di anjurkan secara berkala setiap tahun untuk memastikan terdapat tenaga pelapis untuk menguruskan jenazah.

4) Azhariyyun mesti boleh melakukan pengurusan jenazah.


Akhukum Fillah
Abu Bakar bin Razak
2.47 petang, 6 Jun 2009
Asrama Darul Aman , Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.







Monday, June 1, 2009

Ingatan Buat Seorang Sahabat

Ingatan Buat Seorang Sahabat

Seringkali kita menyebut setiap pertemuan tentunya akan bersua dengan perpisahan. Kini ianya menjadi kenyataan. Sahabat yang kami kenal yang begitu periang, penghibur dan seorang yang mempunyai jasa yang tinggi dalam persahabatan.

Seorang yang tak pernah kami melihat mukanya masam, tak pernah kami melihat wajahnya keruh tetapi raut wajah yang sering membuatkan hati kami sejuk dan amat menggembirakan.Sunyi sehari tanpanya. Adakala hari pulang ke muhafazahnya kami di Kaherah tertunggu-tunggu akan kepulangannya. Iya, kerana bila datang pelbagai cerita yang dibawa, tak kering gusi bila mendengar tiap-tiap perkataan tuturannya.

Seorang yang rajin ,mengemas, memasak dan membantu tidak kira siapa sekalipun. Tiada kepentingan.Sifat setia kawan dan pertalian persahabatan yang amat kuat. Pastikan terasa walaupun seketika dia tiada.Meniti hari bersamanya, bersama gotong royong memasak,mengidang,membasuh periuk, mencuci lantai apabila selesai sesuatu aktiviti dan program adalah saat yang tidak akan kami lupakan.Tambahan program dan aktiviti MKKK tak pernah diabaikan.

Sesiapa yang pernah mengenalinya pasti akan terus mengingatinya. Sikapnya yang ala-ala orang tua banyak memberi nasihat, tunjuk ajar walaupun kami seusia dengannya. Seorang sahabat yang amat istimewa.Gurauan yang menghiburkan. Diari hidupnya yang tak pernah marah,tak pernah bertempit, tak pernah tinggi suara kerana marah tetapi tinggi suara kerana ketawa memang tidak terkira.

Kini, telah selamat tiba di tanahair tercinta.Kami akan sentiasa merinduimu.

Terima kasih buat Syeikh Yusoff Haji Ahmad lebih mesra dengan panggilan Abah (Pegawai Kebajikan Anak Kedah Mesir) yang berkorban menemaninya pulang walaupun baharu sahaja tiba di Bumi Mesir bersama keluarga. Semoga Allah permudahkan urusan Abah. Terima kasih buat teman-teman yang membantu secara langsung dan tidak langsung.

Buat Sahabat,
Semoga kita bertemu lagi.Kami doakan agar kepulangan ini suatu kebaikan untukmu. Semoga segalanya akan menjadi baik. InsyaAllah kami sahabatmu akan sentiasa mengingatimu.Semoga Allah memelihara kita semuanya.

Gambar-gambar kenangan :

Di hadapan Asrama Darul Aman Hayyu Asyir seteleh selesai solat hari raya aidilfitri 2008

Tempah : T-shirt Jelajah Soifiah Matruh Siwa 2007

Di Belakang Rumah Kedah Sabiek

Kenduri Walimah : Tok Cik & Kak Su

Ziarah ke Tanta
Jaulah Kaherah: Di Qal'ah Salahuddin Al-Ayubi

Memasak untuk kami ketika bertandang ke rumahnya di Tanta
(persahabatan yang akan terus diabadikan dalam ingatan)

Bersama Abah ketika di Airport Jadid
31 Mei 2009


Turut Hadir : Pengarah JPMK

Akhukum Fillah
Abu Bakar bin Razak
7.28 pagi (02/06/09)
Asrama Darul Aman Hayyu Asyir, Kaherah, Mesir.