Tuesday, April 28, 2009

TAUJIHAT SEMPENA IMTIHAN


Taujihat Peperiksaan

Erm.. musim imtihan..

Musim ini adalah masa yang amat berharga lagi bermakna buat azhari dan azhariah.

Musim yang menentukan berapa tahun lagi untuk habiskan ijazah pertama.Berapa tahun lagi nak menetap di Bumi Mesir ni..

Memang terfikir panjang buat azhari dan azhariah, jawapan di atas kertas peperiksaan adalah segala-galanya dalam mendapat markah kepada setiap subjek yang diduduki.Termenung dibuatnya. Azhar sesuatu yang unik. Timbul persoalan, sistem yang azhar gunakan tidak seperti universiti-universiti lain terutamanya di Malaysia. Nun jauh berbeza. Kuliah tidak diwajibkan, sistem pemarkahan dari kehadiran memang tiada. Assigment tiada, kalau adapun hanya sekelumit. Tiada aktiviti kokurikulum untuk melihat tahap keaktifan pelajar bagi mempengaruhi markah dah peperiksaan. Dan ada lagi pelbagai perbezaan.

Namun Azhar ada jawapannya yang tersendiri jika persoalan ini dilontarkan kepada pihak Al-Azhar.Ya, walaupun kuliah tidak diwajibkan, tetapi ada kelebihan dan keunikan jika mahasiswa yang wajibkan dirinya ke kuliah. Doktor boleh mengetahui uslub atau gaya bahasa yang digunakan dalam menjawab soalan adakah pelajar ini ke kuliah ataupun tidak. Jika ia memang mengikuti setiap sesi pengajian di kuliah maka jawapannya seperti apa yang dituturkan oleh doktor di dalam kuliah. Disinilah antara faktor markah lebih atau kurang. Kesedaran ke kuliah ini adalah wajib bagi azhari dan azhariah. Tidak dinafikan kadang-kadang tidak ke kuliah pun memperolehi markah dan keputusan yang baik.Sungguh unik.

Erm.. musim imtihan..

Bab kuliah dah tutup buku. Cuma yang tinggal masa dan waktu yang berbaki untuk menghadapi peperiksaan. Ramai orang berkata "study hingga last minute" bukan "study last minute". Ungkapan ini betul dan tepat. Tidak seorang pun yang akan menyangkal ungkapan ini. Tapi, bagaimana hanya tinggal last minit sahaja. Maknanya memang kena usaha seupaya mungkin. Stadi last minit ni ada 2 kemungkinan dalam natijah kelak. Imma lulus wa imma tidak lulus. Nak dapat cemerlang sesuatu yang nadir atau sangat jarang berlaku. Ini semua kita tahu. Apa pun, imtihan tetap kena rentangi. Jangan biarkan masa belalu begitu sahaja. Bak kata orang Kedah "pulun tetap pulun" .Jangan dengan masa yang ada ni kita masih malas dan terus alpa sampai malam nak periksa. Malam periksa baru nak buka,baca buku? No, jangan amalkan sikap ini.

Penat memang penat, nak kampui semua dalam beberapa waktu yang ada. Tetapi ini adalah usaha yang terakhir kita. Masa ni memamg kena "struggle Study" sungguh.Cuba kita baca kritikan dibawah :

Penyakit Stadi Last Minit Masalah ramai pelajar universiti atau kolej adalah penyakit stadi (study) last minit. Cemana nak ubah penyakit ni?Apa cara nak mengubahnya?. Sikap stadi last minit boleh dikategorikan sebagai sikap bertangguh, sebab Anda bertangguh nak mengulangkaji pelajaran. Sebab tu yang terkandas sampai terstadi last minit.

Student yang suka bertangguh, maknanya dia student yang tak ada target. Dia tak ada matlamat nak dicapai lalu dia menangguh-nangguh kerja mengulangkaji, anggap study untuk exam tu sesuatu yang remeh.Tak penting pada dia. Mungkin, dia masuk U sekadar suka-suka nak kenal kengkawan baru atau nak tekel awek baru. Mungkin saja, mungkin!

Tu pasal bila tiap kali nak stadi, hati dia kata, “Alaaa. Nantilah stadi, aku nak tengok TV dulu.” Boleh jadi juga, dia lebih mementingkan tidur dari stadi atau selalu relaks lebih banyak dari stadi.Dia kata, “hek elleh. Nantilah stadi pasni, aku nak relaks dulu.” Ada beberapa student yang saya kenal, lebih banyak berjalan-jalan dari stadi, sebab katanya biar stadi last minit supaya cepat masuk semua apa yang dibaca. Masalahnya, boleh ke masuk ilmu time kepala sesak gitu, time last minit sebelum esok pagi nak masuk dewan exam?

Terimalah hakikat. Anda stadi last minit sebab Anda tak nak skor dalam exam. Ye dak? Anda cuma nak sekadar pass saja, asal dah boleh lepas. Mindset Anda berkata, Anda mahukan skor yang sederhana saja. Tak nak menyekor result tinggi.

Sesuatu kerja yang dibuat last minit biasanya dilakukan dalam suasana kelam kabut. Nak cepat. Kesannya, kualiti kurang.Dalam sesetengah kes, makin berterabur jadinya. Minda kita ni semakin dipaksa, ia jadi semakin lemah, makin tak prodaktip (productive). Cayalah.

Kereta bila semakin dipaksa dalam keadaan yang kelam kabut, semakin kuat mem”vrooooomm” dia punya enjin, last-last jadi semakin panas lalu meletup. Stadi last minit akan membuat Anda makin tertekan.Nak mencegah perangai study last minute, paksalah diri untuk study awal-awal. Kasi disiplin diri Anda tu sikit, er, disiplinkan diri Anda tu banyak-banyak! Untuk kebaikan Anda juga.

Jangan ikut sangat cakap kengkawan yang kata study awal buang masa. Ini Anda, itu diorang. Anda ikut cakap diorang, Anda sendiri yang cari susah. Kalo dia genius sampai boleh skor walaupun stadi last minit, itu dia. Bukan Anda. Kenapa ikut stail dia? Sesuai ke dengan Anda? Dah test ke sure boleh skor sebelum ni?Bila Anda susah, diorang tak nak masuk campur. “Ha ko susahle sendiri” kata diorang. Diorang kasi ketawa lagi sebab Anda diperbodoh-bodohkan oleh kata-kata diorang. Jangan jadi mangsa kawan sendiri walaupun Anda kenal benar kawan Anda.

Anda perlu jadi diri Anda sepenuhnya bukan dibentuk oleh kata-kata kawan Anda. Student cemerlang adalah student yang tahu, sebenar-benar tahu apa yang dia nak capai.

Study kat U ni tak sesusah study time tingakatan 5 atau tingkatan 6 atas. Jadi, amik le kesempatan untuk skor tinggi time di universiti. Sky is the limit!Sepatutnya, Anda kena bersyukur sebab dapat masuk belajar di universiti. Ramai orang kat luar sana tak dapat masuk U, terpaksa cari kerja dalam usia muda. Anda kira dah bertuah. Jangan sia-siakan peluang. Nukilan dari http://www.imotivasi.com

Ingatlah, sungguh bahaya penyakit ini.
Maaf, bukan bertujuan nak bebankan pemikiran sahabat-sahabiah.Tetapi ianya sesuatu sikap yang perlu dibuang. Ya, Hanya kita yang tahu diri kita. Kita tahu di mana lompang diri kita, dan kita tahu dimana baik diri kita. Jadi berubahlah untuk diri kita.

Dah la untuk bab stadi last minit ni.

Erm..musim imtihan..

Satu taujihat buat diri ini dan sahabat dan sahabiah sekalian, kita adalah "safwah al-mukhtarah" dipilih oleh Allah Subhanahu wata'ala untuk belajar di suatu pusat yang gemilang namanya di mata dunia. Kita dipilih datang ke suatu tanah yang penuh padanya barakah. Kita dipilih hadir di suatu tempat yang melahirkan para cendiakawan, alim ulama, cerdik pandai islam. Kita dipilih bersama-sama menghadapi suasana yang sama dengan para ulama' dalam mendalami islam.

Fikirkan Kejayaan kita, adalah kejayaan islam. Jadikan nama kita, tenaga kita, untuk islam.Jika sesuatu yang kita lakukan untuk islam nescaya kita akan buat sebaik mungkin. Maka segala sikap, perilaku yang tak baik secara automatik kita hapuskan.

Begitu juga imtihan ini anggaplah ianya medan perang yang perlu kita kuasai dan mendapat kejayaan.Melalui kejayaan inilah salah satu cabang dan wasilah untuk kita lebih kehadapan dalam membawa risalah Islam. Jika kita lihat,pelbagai persepsi dan pandangan dari masyarakat buat golongan agamawan. kualiti, kuantiti sering menjadi bualan. Tambahan isu akademik.Mereka tiada info bahawa kejayaan azhari bukan sahaja pada peperiksaan di Universiti namun kekuatan dalam mengusai ilmu dari pengajian-pengajian selain universiti juga adalah sesuatu yang amat penting dan berharga.Pengajian bersama masyaikh-masyaikh di masjid-masjid dan di tempat-tempat diadakan pengajian.

Namun buat masa sekarang tumpuan pada peperiksaan adalah lebih aula.Jadi buatlah yang terbaik.

USAHA , DOA , TAWAKKAL INGAT! KEJAYAAN KITA, KEJAYAAN ISLAM.

Akhukum Fil Islam
Abu Bakar bin Razak
1.57 pagi
29/04/09
Asrama Darul Aman Haiyu Asyir.

Thursday, April 16, 2009

PERHEBATKAN MUZAKARAH BERKELOMPOK
















permulaan yang baik - lentur buluh dari rebungnya

DARIHAL USRAH oleh Hassan al-Banna

Tulisan ini berupa ringkasan dan pentafsiran terhadap kandungan utama risalah Usrah dan Dakwah oleh al-Imam Hassan al-Banna terbitan Dewan Pustaka Fajar, Kuala Lumpur, 1993. Menurut penerbit, risalah itu berupa petikan daripada karangan Hassan al-Banna yang bertajuk "Nizamul Amru Wa Risalatutta'aim". Penyunting berusaha mengekalkan struktur penulisan (terjemahan) asal. Bahagian lain tulisan ini ialah lapan tindakan dan sepuluh wasiat.

Semoga kita dapat mengambil input dalam mengerakkan muzakarah berkelompok yang tiap minggu kita laksanakan. Semoga muzakarah yang kita amalkan dapat membentuk peribadi syakhsiah muslim yang hakiki di samping kita bermuzakarah mengenai ilmu yang sentiasa kita pelajari supaya dapat kita amalkan dan terjemahkan dalam kehidupan seharian.

MAKSUD USRAH Islam memandang sangat mustahak pembentukan ikatan perpaduan untuk penganutnya. Ikatan itu dinamakan usrah. Melalui usrah kita dapat memimpin penganut Islam ke arah contoh-contoh pujian yang tinggi di samping memperkukuh ikatan yang sedia ada. Selain itu, mutu ukhuwah antara sesama ahli boleh ditingkatkan, iaitu dengan merealisasikan teori dalam perbuatan dan amalan. Oleh itu, kita hendaklah memandang berat perkara ini dan bersedia untuk menjadi batu bata yang sihat lagi berguna kepada bangunan keluarga bentukan yang mulia ini, iaitu keluarga Islam.

RUKUN USRAH Rukun ikatan usrah ini tiga perkara iaitu berkenalan, bersefahaman, dan berimbangan. Kita hendaklah mengambil berat perkara ini dan bersungguh-sungguh menjayakannya supaya ikatan itu tidaklah semata-mata menjadi beban yang tidak bererti.

Berkenalan Rukun usrah yang pertama ialah taaruf (berkenalan) antara satu sama lain. Ahli usrah hendaklah berkenal-kenalan serta berkasih sayang dengan semangat cinta kepada agama. Kita hendaklah memahami pengertian dan hakikat ukhuwah sejati. Elakkan perkara yang boleh mengeruhkan ukhuwah itu. Hal ini boleh dilakukan dengan sentiasa menjunjung titah firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. Jadikan firman Allah dan hadis Rasulullah s.a.w. sebagai perkara yang wajib diutamakan.

Antara firman Allah dan hadis ialah: Orang-orang mukmin itu bersaudara-mara. (Al-Hujarat, 26:10) Berpeganglah dengan tali Allah semuanya dan janganlah kamu berpecah-belah. (Ali Imran, 3:103) Orang mukmin bagi orang mukmin itu laksana bangunan yang sebahagiannya memperkuatkan sebahagian yang lain. (Hadis) Orang muslim ialah saudara bagi muslim yang lain ia tidak menzaliminya dan tidak juga membiarkannya. (Hadis) Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dalam perasaan belas kasihan mereka, dan dalam simpati mereka adalah laksana badan yang satu. (Hadis)

Bersefahaman Rukun usrah yang kedua ialah tafahum (bersefahaman). Kita hendaklah berpegang pada kebenaran dengan mengerjakan apa-apa yang diperintahkan Allah dan meninggalkan apa-apa yang dilarang-Nya. Periksalah diri sendiri dengan sehalus-halusnya sama ada diri kita benar-benar mentaati perintah Allah atau terlibat dalam arena kederhakaan. Setelah memeriksa diri sendiri, kita hendaklah nasihat-menasihati antara satu sama lain apabila kelihatan ada sesuatu yang cacat.

Rakan yang dinasihati itu hendaklah bersikap terbuka dan sanggup menerima nasihat daripada sahabatnya. Pemberi nasihat pula janganlah berubah hati terhadap sahabat yang tersilap itu--walau sejarak sehelai rambut sekali pun.

Nasihat hendaklah diberi dengan cara yang baik tanpa memandang rendah sahabat yang dinasihati itu. Pemberi nasihat janganlah menganggap dirinya lebih mulia. Sembunyikan kesilapan sahabat itu daripada pengetahuan naqib selama lebih kurang sebulan. Ceritakanlah kepada naqib apabila anda tidak berdaya membaikinya. Namun demikian, jangan sekali-kali tawar hati terhadap sahabat yang silap itu. Sebaliknya, teruskanlah kasih sayang anda terhadapnya sehingga Allah melakukan apa-apa perubahan yang dikehendaki-Nya.

Sahabat yang diberikan nasihat pula janganlah keras kepala. Janganlah juga berubah hati walau sejarak rambut sekalipun terhadap si pemberi nasihat. Fahamilah bahawa martabat kasih sayang kerana Allah itu adalah setinggi-tinggi martabat bagi pengertian kasih sayang di kalangan umat manusia. Nasihat pula adalah satu dasar yang amat penting dalam agama Islam. Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya), "Agama itu adalah nasihat." Oleh itu, perhatikanlah dalam-dalam pengajaran yang mulia dalam hadis ini--mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada kamu.

Berimbangan Rukun usrah yang ketiga ialah takaful yang bermaksud memelihara nasib sesama sendiri agar tiada sahabat yang terbiar atau terlantar. Amalkan rukun ini dengan bersungguh-sungguh, iaitu dengan cara menolong memikul bebanan sesama sendiri. Takaful merupakan tunjang iman dan inti sari ukhuwah sejati. Takaful boleh dijelmakan dengan cara bertanya khabar sesama sendiri, ziarah menziarahi, berganti-ganti membuat kebajikan dengan jalan segera menolong antara satu sama lain sedaya upaya.

Sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya), "Kalau seseorang daripada kamu itu berjalan kerana hendak menolong saudaranya adalah lebih baginya daripada ia beriktikaf sebulan di masjidku ini. (Hadis) Sabda baginda lagi (maksudnya), "Sesiapa memberikan kesukaan kepada keluarga sesebuah rumah orang muslim nescaya tidak lain yang dibalas Allah melainkan dengan syurga." (Hadis)

PERINGATAN Dua perkara yang perlu dititikberatkan ialah kehadiran dan pengisian tabung usrah. Setiap anggota usrah hendaklah menghadiri pertemuan-pertemuan yang telah dijadualkan walau bagaimana uzur sekalipun. Setiap anggota usrah juga hendaklah menunaikan kewajipannya untuk tabung usrah di cawangan usrahnya. Apabila kita dapat menunaikan kewajipan yang bersifat perseorangan, kemasyarakatan, dan kewangan seperti di atas, maka rukun usrah akan terlaksana dengan jayanya. Sebaliknya, jika dicuaikan, maka segala rukun dan peraturan itu akan beransur-ansur mundur dan akhirnya terus mati. Dengan matinya peraturan usrah yang baik ini, gerakan dakwah akan serugi-ruginya sedangkan gerakan dakwah sangat dikehendaki dan menjadi tempat harapan bagi umat Islam seluruhnya.

KANDUNGAN USRAH Apakah yang perlu dilakukan dalam pertemuan mingguan usrah yang menepati maksud, rukun dan peringatan di atas? Jawapannya mudah: Kita mempunyai banyak kewajipan sedangkan masa kita terlalu sedikit. Oleh itu pertemuan mingguan kita hendaklah dipenuhkan dengan perkara-perkara yang berikut:

Membentangkan Kesulitan Setiap anggota membentangkan kesulitan masing-masing. Beri perhatian terhadap kesulitan yang diluahkan oleh rakan kita dan berusahalah mengatasinya. Lakukan hal ini dalam suasana ukhuwah sejati dan dengan niat kerana Allah. Dengan demikian dapatlah diperkuatkan lagi asas saling percaya-mempercayai dan tali hubungan ukhuwah dapat diperkukuhkan.

Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya, "Orang mukmin itu cermin bagi saudaranya." Sabda Rasulullah s.a.w. lagi (maksudnya): Perbandingan orang-orang mukmin dalam erti kata kasih sayang mereka, dan dalam erti kata timbang rasa simpati mereka adalah laksana badan yang satu, iaitu apabila mana-mana anggota mengadukan hal turut menangguhkan seluruh badan dengan berjaga malam dan merasai demam.

Bermuzakarah Anggota usrah hendaklah bermuzakarah iaitu bertukar-tukar fikiran dalam urusan Islam. Teliti risalah yang diedarkan oleh pucuk pimpinan kepada seluruh cawangan usrah. Elakkan pertengkaran atau bertikam lidah kerana semuanya itu adalah dikira "haram" menurut undang-undang usrah. Muzakarah hendaklah merupakan penerangan dan penjelasan dengan tidak melanggar batas-batas sopan santun yang sempurna dan dengan cara harga-menghargai fikiran yang datang daripada semua pihak dalam muzakarah itu. Apabila hendak ditutup satu-satu perbincangan, atau hendak dibuat keputusan mengenai apa-apa cadangan, atau hendak diberi penjelasan lanjut mengenai cadangan yang hendak ditimbangkan itu, maka perkara itu hendaklah diserahkan kepada naqib supaya beliau sempat terlebih dahulu mengemukakannya kepada pucuk pimpinan.

Jangan dibuat keputusan dengan cara terburu-buru. Tuhan mencela umat-umat manusia yang bersikap terburu-buru dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan apabila datang kepada mereka sesuatu perkara tentang keamanan atau ketakutan maka mereka pun terus mencanangkannya".Setelah Allah S.W.T. mencela mereka yang berperangai begitu maka Tuhan tunjukkan pula apa-apa yang semestinya dilakukan apabila tersua dengan suasana seperti itu dengan firman-Nya yang bermaksud: "Kalaulah mereka kembalikannya kepada Rasul dan kepada pihak berkuasa antara mereka sendiri nescaya orang-orang yang menimbangkannya itu mengetahui hakikatnya".

Kajian Buku Adakan studi (penelitian) terhadap sesebuah kitab yang bermutu. Jelmakan studi itu dalam kehidupan harian walaupun hanya sekadar mengamalkan bermuka manis. Panduan daripada buku boleh disampaikan dalam taklimat sesuatu projek seperti menziarahi orang sakit; menolong orang-orang yang berhajat (walaupun hanya sekadar kata-kata yang baik), mencari dan bertanyakan hal tentang anggota yang tidak kelihatan bersama-sama kumpulan, menanggung bebanan anggota yang terputus rezeki. Semuanya itu dapat menambahkan lagi tali ukhuwah dan dapat melipatgandakan perasaan kasih sayang dalam hati masing-masing.

Aktiviti Sokongan Untuk mengukuhkan ikatan persaudaraan sesama sendiri, kita hendaklah mengadakan rehlah, lawatan, aktiviti lasak seperti mendayung sampan, mendaki gunung dan berbasikal. Kita hendaklah juga mengadakan aktiviti khusus seperti berpuasa (seminggu sekali atau dua minggu sekali), solat Subuh berjemaah di masjid dan qiamullail.

ENAM PEGANGAN

LANDASAN Nabi-nabi yang telah lalu itu) ialah orang-orang yang menyampaikan risalah Allah, serta mereka takut melanggar perintah-Nya dan mereka pula tidak takut kepada sesiapa pun melainkan kepada Allah. Dan cukuplah Allah menjadi penghitung (akan segala apa yang dilakukan oleh makhluk-makhluk untuk membalasnya.) (Al-Ahzab, 27:39) Lihat juga As-Saba, 34:46-50.


1)Agama hanya dapat dirasakan oleh sesiapa yang menegakkannya dalam dirinya.

2)Bahagia dan saadah hanya akan dirasakan oleh orang yang membela keyakinan, kebenaran
dan keadilan.

3)Kemenangan dan kejayaan hakiki hanya akan diberikan kepada para pejuang yang rela berkorban, kuat menahan penderitaan dan kepapaan.

4)Kesabaran dan ketahanan berjuang hanya akan diberikan kepada mukmin yang mendekatkan diri kepada Allah S.W.T.

5)Tegaklah dengan keyakinan dan perjuangan kerana makna dan guna hidup terletak pada keyakinan perjuangan.

6)Belajar memanfaatkan diri guna kepentingan cita dan agama.

Usrah atau muzakarah berkelompok ini amat besar ertinya. Di dalam muzakarah ini boleh dipelbagaikan dalam pelbagai bentuk mengikut kekretifan naqib yang membawa sesuatu muzakarah itu. Jika kita lihat realti kemahasiswaan medan muzakarah ini juga boleh dijadikan tempat berkongsi dan perbincangan serta bertukar-tuar maklumat yang dipelajari di kuliah mahupun talaqqi bersama masyaikh.

Ini adalah pokok dalam perlaksanaan muzakarah. Jadi ahli muzakarah boleh dan menampakkan mengikut kreatif masing-masing.Medan ini juga boleh diperbincangkan untuk melakukan sebarang aktiviti yang berfaedah dari pelbagai sudut. Keluasan terbuka agar muzakarah ini boleh memperbaiki diri kita dari masa ke semasa selain kita sentiasa memohon nasihat dari para ulama' kita juga bersifat memohon nasihat dan teguran dari sahabat handai yang sentiasa mendampingi kita.

Semoga Muzakarah Berkelompok ini diperhebatkan supaya dapat mengukuhkan kekuatan kita dalam meneruskan kehidupan sebagai penuntut ilmu sekaligus menjana kekuatan untuk menterjemahkan ilmu sebagai amalan yang bermanfaat terhadap diri, keluarga, masyarakat, bangsa dan negara.

Akhukum Fillah
Abu Bakar Razak

17/04/09
6.30 pagi ( Jumaat)
Asrama Darul Aman, Madinah Nasr, Cairo ,Me
sir.


Monday, April 13, 2009

FIKRAH ISLAMIAH


Fikrah Islamiyah
Jumaat 18 Muharram 1419/15 Mei 1998
Dari Masjid Rusila
Oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

Tegakkan pemerintahan yang mempertahankan Islam

SATU perkara yang wajib diketahui dan diamalkan oleh umat Islam daripada pengajaran peristiwa hijrah Rasulullah s.a.w ialah mendirikan negara Islam yang mendaulatkan syariat Allah SWT dan kewujudan daulah Islamiah itu menjadi salah satu daripada ajaran Islam.

Semasa masih ada di Makkah, Rasulullah s.a.w telah ditawarkan dengan berbagai-bagai tawaran di antaranya ialah Rasulullah s.a.w akan dilantik menjadi pemimpin tertinggi Makkah sekiranya Rasulullah s.a.w sanggup meninggalkan dakwah Islam dan membiarkan agama menyembah berhala terus berjalan.


Rasulullah s.a.w menolak tawaran ini dan terus berhijrah ke Madinah kerana di Madinah, penduduknya menerima Islam sebagai agama mereka, sanggup mempertahankan Rasulullah s.a.w dan sanggup menyerahkan tanah air mereka menjadi tapak mendirikan negara Islam yang di dalamnya tertegak syariat Allah SWT dan sanggup pula mempertahankan daulah Islamiyyah yang dibina itu dengan nyawa dan darah mereka.

Tidak sebagaimana di Madinah, penduduk Makkah hanya mahu menyerahkan kuasa pemerintahan sahaja kepada Rasulullah s.a.w tetapi tidak akan membiarkan Islam berkembang biak dan syariat Islam dilaksanakan, dengan itu tidak memungkinkan negara Islam sebenar dapat ditegakkan. Apabila tiba di Madinah Rasulullah s.a.w mempersatukan orang-orang Muhajirin dan Ansar di atas persaudaraan ibadat dan Islam yang lebih tinggi darjat dan
kekuatannya berbanding dengan perhubungan darah keturunan.

Kemudian Rasulullah s.a.w membina masjid sebagai tempat ibadat dan lebih jauh daripada itu tempat pentadbiran negara Islam. Selepas itu Rasulullah s.a.w mengadakan perjanjian yang dinamakan piagam Madinah yang merupakan perjanjian antara pemerintah Islam dan rakyat yang terdiri daripada orang-orang Islam sendiri dan perjanjian dengan rakyat yang bukan Islam
tetapi berada di bawah kerajaan Islam.Rasulullah s.a.w telah menyediakan segala keperluan bagi memungkinkan kewajipan sebagai sebuah negara dan dijadikan dasar negara itu ialah hukuman Allah SWT.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan berhukumlah (dalam perselisihan) di antara mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah". (Surah Al-Maidah ayat 49)

Kitab Injil yang diterima oleh nabi Isa daripada Allah SWT telah diselewengkan oleh ahli kitab sehingga Injil yang satu itu menjadi beratus-ratus buah (dengan pelbagai nama) yang setiap satunya bercanggah dengan yang lain.Ajaran kristian ini dibawa ke Eropah. Apabila berlakunya pertembungan antara golongan gereja dan golongan istana, maka dipisahkan diantara gereja dan istana yang membawa ajaran pemisahan antara agama dan pemerintahan.

Kemudian apabila ada orang-orang Eropah belajar di negara Islam seperti di Andalus dan Baghdad, mereka membawa ilmu ke Eropah. Paderi-paderi kristian telah menolak ilmu-ilmu tersebut yang akhirnya membawa kepada pemisahan antara ilmu duniawi dengan ajaran kristian.Hasilnya lahirlah pula ajaran sekular yang memisahkan ajaran agama dan kehidupan dunia kecuali dalam soal keagamaan di gereja-gereja sahaja.

Ajaran ini pula dibawa ke dalam dunia kecuali dalam negara-negara umat Islam oleh penjajah-penjajah kristian yang menjajah umat Islam sehingga sebahagian umat Islam menganggap Islam itu hanyalah upacara ibadat perseorangan sahaja seperti sembahyang, puasa, membaca al-Quran dan majlis-majlis zikir.

Apabila Turki menerima pembaratan selepas jatuhnya Khilafah Islamiah yang terakhir dengan dibatalkan undang-undang Islam dan diganti dengan undang-undang kafir sehingga Islam tidak lagi memerintah, maka Syeikh Al-Islam Turki yang terakhir iaitu Almarhum As-Syeikh Mustafa Al Basri telah menegaskan dalam bukunya ... sekularisma yang memisahkan ajaran agama dengan kehidupan dunia merupakan jalan paling mudah untuk menjadi murtad.

Apa yang diamalkan oleh Rasulullah s.a.w itu kemudian diikuti oleh umat Islam selepasnya dan menjadi sebahagian daripada ajaran Islam.Oleh itu selepas kewafatan Rasulullah s.a.w, para sahabat menyambung kewajiban itu dengan mereka melantik Abu Bakar As-Siddiq sebagai khalifah yang akan menggantikan baginda dalam menjalankan pemerintahan negara Islam.

Oleh itu satu mesyuarat telah diadakan untuk melantik seseorang khalifah Islam walaupun pada masa itu jenazah Rasulullah s.a.w belum lagi dikebumikan.Itu semua menunjukkan betapa wajibnya mendirikan negara Islam dan kewajiban ini sebahagian daripada ajaran Islam. Adapun pemikiran umat Islam pada hari ini lain pula jadinya apabila mereka menolak ajaran politik dan pemerintahan termasuk di dalam kewajiban Islam dan ajarannya.

Fahaman ini adalah menyeleweng dariapda ajaran Islam, kerana ajaran yang mengatakan bahawa politik suku, ajaran Islam suku merupakan fahaman yang dihasilkan daripada penyelewengan oleh ahli kitab terhadap ajaran yang dibawa oleh nabi Isa a.s.. Nabi Isa a.s telah diperintahkan oleh Allah SWT supaya beramal dengan kitab Taurat dan kitab Injil pada masa yang sama.

Apabila nabi Isa a.s diangkat oleh Allah SWT, pengikut-pengikut setia baginda yang bergelar Khawariyun telah menerima tekanan dan penyeksaan sehingga memaksa mereka mengasingkan diri daripada masyarakat. Akhirnya ajaran Islam yang dibawa oleh nabi Isa telah diselewengkan oleh orang-orang yang jahil dan mempunyai kepentingan diri yang kemudian ajaran yang direka
itu dinamakan agama kristian.

Kita perlu sedar bahawa apabila pemerintahan dipisahkan daripada agama bermakna membatalkan hukum qisas, hudud dan ta'zir serta mempersendakan samada jahil atau tahu menyebabkan seorang itu boleh menjadi murtad.

Dengan itu juga Islam dan aqidah umat Islam tidak dilindungi sebagaimana apa yang telah diucapkan oleh al Imam Al-Ghazali: "Agama itu asas, pemerintah adalah penghulunya. Maka apa yang tidak ada asas akan runtuh dan apa yang tidak ada penghulu akan hilang".

Kita dapat lihat bahawa dengan ditinggalkan ajaran Islam mensabitkan berlakunya segala kemungkaran. Ini kerana negara Islam itulah yang akan mendaulatkan syariat Allah dan menjaga agamanya bermula dengan ibadat, muamalat, munakahat, jenayat dan menjaga ibadat umat Islam.

Firman Allah bermaksud: "Orang-orang yang jika kami memperkukuhkan(menjadikan mereka memerintah) di muka bumi, mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, menyeru perkara ma'ruf dan mencegah kemungkaran dan bagi Allah akibat (kesudahan) segala sesuatu". (Surah Al-Haj ayat 41).

Marilah kita semasa menyambut peristiwa hijrah supaya kembali kepada Islam khususnya kembali kepada satu kewajiban yang telah dilupakan oleh umat Islam iaitu mendirikan negara yang mendaulatkan syariat Islam.
"Sesungguhnya kami telah menurunkan kepada engkau akan kitab dengan sebenarnya supaya engkau menghukum di antara manusia dengan apa yang telah ditunjukkan oleh Allah dan jangan kamu menjadi penolong orang-orang yang khianat". (SurahAn-Nisa ayat 105) .


BIODATA TUAN GURU HAJI ABDUL HADI AWANG




KELAHIRAN

Lahir pada 6 Zulhijjah 1366 bersamaan 20 Oktober 1947 di kampung Rusila, Marang, Terengganu. Anak ke 5 dari 9 orang adik beradik. Ayahnya adalah seorang guru agama dan imam di Masjid Rusila, Marang.

KELUARGA

Mempunyai dua orang isteri iaitu Puan Hajjah Zainab bt. Awang, 47 tahun dan Dr. Norzita Taat, 37 tahun. Anak 13 orang. Dengan isteri pertama beliau mempunyai 11 orang anak manakala dengan isteri kedua, beliau mempunyai 2 orang anak. Anak sulong beliau berumur 22 tahun dan kini belajar di Universiti Iman, Yaman.

PENDIDIKAN

Mula belajar di Sekolah Kebangsaan Rusila, Marang kemudian Sekolah Agama Marang dan seterusnya mengambil senawi di Sekolah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu. Disamping itu belajar agama, Bahasa Arab serta politik dari ayah sendiri iaitu Tuan Guru Haji Awang Muhamad. Melanjutkan pelajaran ke Universiti Islam Madinah dengan biasiswa dari Kerajaan Arab Saudi dari tahun 1969 - 1973. Tamat dengan B. A (Syariah). Melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar ke peringkat M.A (Siasah Syariyyah) dan berjaya menamatkannya dalam masa 2 tahun sahaja (1974 - 1975)

POLITIK

Mula aktif sejak tahun 1964 iaitu semasa belajar lagi sebagai Setiausaha Ranting (sekarang cawangan) PAS kampung Rusila, Marang. 1976, setelah tamat belajar dan pulang ke tanah air dilantik menjadi Ketua Pemuda PAS Terengganu serta EXCO Dewan Pemuda PAS Pusat. Pada tahun 1977 dipilih menjadi Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan kemudiannya disahkan ke jawatan tersebut pada tahun 1980. Pada tahun 1989 di pilih menjadi Timbalan Presiden PAS setelah Dato' Fadzil Mohd Noor dipilih menjadi Presiden PAS.

PILIHANRAYA

Mula menyertai pilihan raya sebaik sahaja pulang ke tanah air pada tahun 1978 di DUN Marang dan kalah di tangan Tengku Zahid Musa dengan majoriti 68 undi. Pada tahun 1982 diamanahkan sekali lagi menjadi calon PAS di DUN Marang dan Parlimen Dungun. Menang di DUN Marang tetapi kalah di Parlimen Dungun di tangan Haji Awang Jabar. Pada tahun 1986, bertanding DUN Rhu Rendang dan menang tetapi kalah di Parlimen Marang di tangan Abdul Rahman Bakar. Pada tahun 1990 menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang. Begitu juga tahun 1995, menang di DUN Rhu Rendang dan Parlimen Marang.

ANTARABANGSA

Mula terlibat di peringkat antarabangsa di Madinah apabila menjadi Ketua Pelajar Malaysia Universiti Islam Madinah di samping menjadi Setiausaha Agung Gabungan Pelajar-pelajar Asia Tenggara di Madinah. Semasa di Asia Barat, beliau aktif bersama Gerakan Ikhwanul Muslimin bersama Dr. Said Hawa, Profesor Muhamad Al Wakeel serta Dr. Abdul Satar Al Khudsi. Di Mesir pula, beliau menjadi Setiausaha Seksyen Syariah dan Undang-undang Persatuan Melayu Republik Aram Mesir. Sebagai pemimpin kanan PAS, Tuan Guru Abdul Hadi Awang banyak terlibat di peringkat antarabangsa samada gerakan Islam atau gerakan rakyat.

Antaranya :-

1. Ahli Penyelaras Sekretariat Parti-parti Islam Sedunia yang berpusat di Istanbul Turki.

2. Ahli Sekretariat Perjuangan Rakyat mempertahankan Baitul Maqdis yang berpusat di Amman, Jordan.

3. Ahli Majma' Taqrir di kalangan mazhab-mazhab Islam yang berpusat di Tehran, Iran.

4. Ahli deligasi ahli Parlimen parti-parti Islam yang dipimpin oleh Dr.Necmetin Erbakan, bekas Perdana Menteri Turki menemui Setiausaha Agung PBB, Butros Butros Ghali serta menemui Ahli Senat Amerika Syarikat.

5. Menyertai deligasi ahli-ahli Parlimen Parti Islam melawat Eropah yang diketuai oleh Dr. Erbakan.

6. Menyertai deligasi pemipin parti Islam seluruh dunia menemui raja-raja serta presiden negara-negara Asia Barat sebelum Perang Teluk.

7. Mengiringi Presiden PAS, Dato' Fadzil Mohd Noor bersama deligasi pemimpin German Islam seluruh dunia untuk mendamaikan kumpulan-kumpulan mujahidin Afghanistan.

BADAN BUKAN KERAJAAN

Menjadi Ketua Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Negeri Terengganu 1977 - 1978.

PENGALAMAN KERJA

Menjadi Pegawai Yayasan Islam Terengganu setelah tamat belajar 1977 - 1978.

Monday, April 6, 2009

SEJARAH 2003 KINI BERULANG


Sejarah 2003 Kini Berulang.

Majlis Kebajikan Keluarga Kedah satu nama yang tidak dapat dipisahkan dari mahasiswa/wi Kedah yang sedang ataupun telah menamatkan pengajian di Bumi Anbiya' Mesir. Ringkasnya disebut MKKK. Pengalaman pahit suka dan duka dalam persatuan ini membawa seribu satu makna samada yang tersurat mahupun yang tersirat.MKKK jelas dari segi tafsiran maksud terhadap namanya yang ternyata diselitkan dua perkataan yang merupakan elemen penting dalam MKKK bagi melaksanakan peranannya itulah kebajikan dan keluarga.

KEBAJIKAN

Sesuatu yang mendalam dari pengamatannya. MKKK hingga kini melaksanakan kewajipannya terhadap anak-anak Kedah yang dinaunginya dari sudut kebajikan.Jika ingin dijelaskan apakah jenis kebajikan yang diberikan maka pelbagai huraian yang boleh diperkatakan.Apa yang penting adalah survival MKKK sebagai sebuah persatuan yang menjadi wadah anak-anak Kedah mesir perlu dijaga dan diteruskan.Soal masih kurang dari pelaksanaan ini adalah muhasabah diperingkat kepimpinan supaya memahami dengan jelas peranan masing-masing untuk melaksanakan sebaik dan semampu mungkin demi kebajikan ahlinya.

Kebajikan dengan ertikata yang berbagai menjadi fokus utama MKKK kepada ahlinya. Kadang-kadang pelbagai isu yang timbul yang perlu segera diselesaikan. Segenap permasalahan yang berlaku terhadap ahli maka MKKK bertanggungjawab untuk meleraikannya.Bahasa mudah untuk difahami dimana peranan MKKK sebagai badan kebajikan terhadap ahlinya adalah dari mula jejak kaki di lapangan terbang Mesir hinggalah langkahan terakhir untuk meninggalkan bumi Mesir.

KELUARGA

MKKK bergerak,berjalan dan terus membina keutuhan atas dasar kekeluargaan. MKKK mengamalkan sistem pentadbiran kekeluargaan dalam kepimpinan dan penyelesaian dalam sesuatu masalah. Kepimpinan bertindak sebagai si ayah dalam memimpin ahli yang bertindak sebagai anak-anak. Jadi atas sistem yang dibina inilah MKKK berdiri dengan perpaduan ahli-ahlinya dan kekuatan pandangan, idea serta pendapat dari ahlinya untuk meneruskan survival sebagai badan kebajikan dan kian maju yang juga sebagai badan yang bertanggungjawab dalam sebaran dakwah islamiah. Di Bumi Mesir bagi anak-anak Kedah tiada persatuan lain melainkan MKKK yang telah bertapak lebih dari 40 tahun. Peranan ini terus dimainkan oleh kepimpinan yang silih berganti.

Ingin diungkapkan didalam keluarga pelbagai karenah yang timbul kadang-kadang suka, kadang-kadang duka, tak kurang juga kadang-kadang bermasam muka dan kadang-kadang sedih apatah lagi kadang-kadang datang perasaan terasa namun demi ikatan kekeluargaan semua ini dapat diakhiri dengan keindahan dan kedamaian.Inilah hakikat keluarga. Kepimpinan memainkan tanggungjawabnya manakala yang dipimpin juga turut menunaikan tanggungjawabnya. Suasana ini amat harmoni andai kita praktikkan seratus peratus dalam kesatuan ini. MKKK kian mengorak pelbagai langkah mengikut suasana dan keadaan semasa. Inilah sebuah kesatuan.

Ingin menghurai panjang mengenai persatuan yang bernama MKKK ini. Namun kesempatan yang ada ingin memfokuskan mengenai sejarah yang berakhir pada tahun 2003 kini berulang.Perkara kecil dan simple namun kesannya amat mendalam bagi kepimpinan dan ahli MKKK.



Tanggal 04 April 2009

MKKK mengulangi sejarah Muhasabah Nisfu Sanah yang sekian lama tidak dilaksanakan. Sebenarnya muhasabah sebegini perlu termaktub didalam takwim tahunan MKKK dalam setiap sesi pentadbiran. Apabila melihat suasana Muhasabah Nisfu Sanah adalah terdapat 1001 kebaikan dan kepentingan. Kepimpinan boleh mengoreksi gerak kerja masing-masing agar lebih mantap dan kembali pulih jika terdapat lompang-lompang selama mentadbir hampir setengah sesi.Ahli juga turut dapat bermuhasabah tanggungjawab masing-masing terhadap MKKK.
Berikut Berita setelah Muhasabah Nisfu Sanah (HISAB '09) MKKK.

Haiyu Sabiek, 4 April - Majlis Kebajikan Keluarga Kedah pada tahun ini telah mencatatkan satu sejarah dengan penganjuran program Muhasabah Nisfu Sanah (HISAB '09) yang berjalan dengan jayanya di Asrama Darul Aman 3, Haiyu Sabiek. Program yang bertemakan "Mendokong Kesinambungan Perjuangan Mahasiswa Islam" ini diklasifikasikan sebagai program mega MKKK pada sesi 08/09 yang membawa motif yang cukup bermakna. Di antara objektif dan matlamat program HISAB '09 ini diadakan adalah untuk memberikan kesempatan kepada barisan pimpinan dan ahli MKKK untuk bermuhasabah dan mengoreksi kembali segala gerak kerja, pembawakan dan tindakan yang telah dijalankan oleh MKKK sepanjang separuh penggal pentadbiran bagi sesi 08/09 yang lalu.

Seterusnya menerima cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli bagi memperbaiki segala kelemahan dan kekurangan dalam sebarang aspek untuk membina kekuatan persatuan selepas ini.Program HISAB '09 kali ini telah dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran oleh Ustaz Mohd Khairulnaim bin Abd. Kadir daripada Maahad Qiraat Al-Azhar, Shoubra pada jam 9.30 pagi. Majlis yang dipengerusikan sendiri oleh Yang Dipertua MKKK, Ustaz Abu Bakar bin Razak ini diteruskan dengan ucapan pembukaan dan taklimat ringkas program oleh YDP. YDP dalam ucapannya menekankan kepada hadirin tentang peri pentingnya muhasabah dan konsep musyawarah dalam pembawakan sebuah organisasi persatuan. Beliau juga meminta setiap hadirin supaya memberikan komitmen yang tinggi sepanjang program berlangsung.

Setelah itu, program dilanjutkan pula dengan pembentangan laporan aktiviti setiap Jabatan, Badan dan Unit MKKK sepanjang separuh penggal yang lalu secara ringkas oleh AJKT serta AJK Unit HEWI yang terlibat. Kemudian, sesi perkara berbangkit dan soal jawab berkenaan segala aktiviti dan program yang telah dilaksanakan dibuka kepada hadirin. Slot ini memberi peluang kepada ahli-ahli untuk meminta penjelasan daripada barisan kepimpinan bagi setiap tindakan yang diambil oleh MKKK dalam menjalankan segala aktiviti dan program serta dalam menghadapi beberapa isu dan masalah yang berlaku pada masa yang lalu. Selain itu juga, pelbagai cadangan dan pandangan daripada ahli-ahli telah diterima oleh barisan kepimpinan untuk dilaksanakan selepas ini bagi mengukuhkan perjalanan persatuan sepanjang slot tersebut berlangsung. Respon yang cukup baik daripada hadirin yang hadir mencerminkan keperihatinan semua pihak dalam membangunkan persatuan yang dicintai ini.

Selesai sahaja slot soal jawab dan penjelasan bagi segala persoalan yang dilontarkan oleh ahli, majlis diserikan lagi dengan slot ramah mesra bersama wakil kepimpinan PMRAM sesi 2009 yang dijemput hadir bersama dalam program. Presiden PMRAM, Ustaz Abdul Mu'izz bin Muhammad mengetuai rombongan wakil PMRAM yang hadir dijemput untuk memberikan ucapan seterusnya menyempurnakan perasmian pentup program HISAB '09. Wakil PMRAM yang turut hadir ialah Timbalan Presiden, Ustaz Shahrizan bin Mohd Hazime, Ketua Badan Pengetahuan dan Penyelidikan, Ustaz Mohd Farkhan bin Md Zain dan Setiausaha HEWI PMRAM, Ustazah Nor Hafiza binti Abdul Wahab. Presiden dalam ucapannya menyeru semua hadirin agar meneruskan usaha mengukuhkan persatuan dengan kekuatan kesatuan mahasiswa dan perlaksanaan segala tindakan mengikut landasan ajaran Islam.

Semestinya program kali ini memberikan natijah yang amat penting kepada MKKK. Kehadiran ahli-ahli MKKK yang ramai dalam program HISAB '09 iaitu hampir 300 orang juga melambangkan sensitiviti yang tinggi setiap mereka dalam mempertahankan kesinambungan perjuangan persatuan ini. Tambahan pula, kesibukan masing-masing dalam persediaan menghadapi peperiksaan yang bakal menjelang tidak menghalang untuk mereka meluangkan sedikit masa menghadiri program kali ini. Barisan kepimpinan MKKK mengucapkan ribuan terima kasih kepada ahli-ahli yang memberikan kerjasama dan komitmen yang tinggi dalam menggerakkan hala tuju persatuan. Inilah lambang kekuatan dan kesatuan mahasiswa/wi Islam di Mesir.

"Walau kita terus maju kehadapan namun amat penting sekali sekala kita menoleh ke belakang"


Semoga kesatuan ini dibimbing oleh Allah Jalla Wa'ala dan terus melangkah demi dasar yang didokongnya tak lain dan tak bukan Al-Quran dan As-sunnah.

Akhukum Fil Islam

Abu Bakar bin Razak
Asrama Darul Aman, Hayyu Asyir Kaherah Mesir
12.08 malam.
07/04/2009.