Monday, October 13, 2008

Perutusan Aidil Fitri 1429H

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

Bagi pihak pimpinan Majlis Kebajikan Keluarga Kedah, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, kepada seluruh anak Kedah yang berada di Perlembahan Nil ini dan tidak ketinggalan kepada seluruh anak Malaysia amnya di Bumi Mesir ini.

Aidil Fitri adalah hari kebesaran kurniaan Allah SWT setelah kita menunaikan ibadat puasa dalam masa sebulan, berjihad dan bermujahadah dengan mengerjakan ibadat dengan penuh ketaatan kepada Allah SWT, melakukan perkara yang disuruh dan meninggalkan perkara yang dilarang.

Ibadat yang melatih kita untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa kepada Allah Taala. Orang yang bertaqwa adalah mereka yang senantiasa mentaati perintah Allah dan amat takut untuk melakukan kejahatan.

Semoga ‘Madrasah Ramadhan 1429’ yang baru kita lalui ini akan menjadi ikhtibar untuk kita meneruskan amalan yang baik yang dilaksanakan sepanjang Ramadhan. Ramadhan datangnya dinantikan,kehadirannya disambut, keberadaan didalamnya dimanfaatkan, penghujungya dirisaukan dan pemergiannya dirindukan. Berdoalah Allahumma Ballighna Ramadhan.

Pemergian ramadhan penuh kesedihan, semoga kita ditemukan pada tahun mendatang. Namun di hujung Ramadhan terdapat hari kebesaran yang disambut dengan penuh kegembiraan.Setelah sebulan dalam bulan Ramadhan, berlapar dahaga, bersabar dengan cabaran dan dugaan Ramadhan, bertungkus lumus dalam ibadat bermunajat mengejar peluang yang hanya datang sebulan daripada setahun. Kita akan ditemukan dengan hari yang bernama Hari Raya Aidilfitri.

Segalanya bakal lenyap tanpa pahala jika kita alpa dan dilalaikan dengan sambutan Aidil Fitri yang terkeluar dari norma-norma Islam. Bagi kita sebagai mahasiswa islam hendaklah menyambut Aidilfitri seperti yang dianjurkan oleh Islam.

Islam menganjurkan kita memuji nama Allah apabila menjelangnya Syawal, memanjatkan rasa syukur kerana berjaya melalui ujian besar menghadapi Ramadhan serta bersedih kerana kita sudah terlepas daripada Ramadhan, bulan yang penuh rahmat. Kita mengharapkan agar ‘Madrasah Ramadhan 1429’ ini hidup di 11 bulan lainnya.

Kejayaan akan menjadi milik kita dengan pertolongan Allah swt sekiranya kita berjaya menzahirkan ketaqwaan dan keimanan yang kukuh.

Al Quran yang diturunkan pada bulan Ramadhan mestilah menjadi pegangan dan panduan kita untuk dibawa ketengah masyarakat bagi menyelamatkan mereka dari kesesatan dan kemusnahan dengan memimpin mereka ke arah kebenaran dan kesejahteraan yang sebenar.

Semoga dengan berkat Aidil Fitri kali ini, kita dapat mentautkan kembali tali silaturrahim sesama anak Kedah di Bumi Anbiya' ini.

Saya berharap, kesempatan ini akan digunakan oleh semua ahli MKKK untuk kunjung-mengunjung antara satu sama lain bagi membentuk ukhuwwah islamiah secara realistik.

Teruskanlah budaya muhibbah islamiah ini, agar apabila di lapangan ummat kelak kita adalah agen perubah dan penegak kebenaran.

Marilah pada kesempatan ini, kita membaharukan semangat untuk meningkatkan lagi usaha dan kekuatan dalam menuntut ilmu dengan nama sebenar-benar penuntut. Jadikan Aidilfitri kali ini batu loncatan yang juga bertepatan dengan sesi pengajian kita di sini. Bermula dengan semangat dan pembaharuan masa, semoga kita lebih tekun dan mendalami sedalamnya ilmu yang kita pelajari.Kecemerlangan milik semua sesuai dengan tahap usaha dan keinginan dalam mencapainya.

Akhirnya, Selamat Hari Raya Aidilfitri buat semua anak Kedah di Mesir.Tidak ketinggalan untuk saya ucapkan selamat kembali ke Bumi Mesir bagi anak Kedah yang pulang berhari raya di Tanahair dan salam perantauan dari anak-anak Kedah di Mesir.

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa dan janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan kamu menjadi orang-orang Islam.” (Surah Ali Imran: 102)

Sekian, terima kasih.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, walillah il-hamd.

Abu Bakar bin Razak,

Yang Dipertua Majlis Kebajikan Keluarga Kedah.

Wednesday, October 1, 2008

Manhaj Al-Azhar Terjaga -Syeikh Usamah


Penerimaan masyarakat dunia kepada Al-Azhar dapat dilihat sejak tertubuhnya Al-Azhar itu lebih 1,000 tahun yang lalu, demikian ditegaskan oleh Syeikh Dr.Usamah Sayyid Al-Azhari, seorang ulamak Al-Azhar yang terkenal di Mesir ketika menyampaikan ceramahnya 28 September lalu di hadapan ratusan para mahasiswa dan mahasiswi di Dataran Hayyul 'Asyir pada program Wada' Ramadhan anjuran Markaz Pengumpulan Kajian dan Hasilan Penyelidikan PMRAM (MANHAL). Ucapan beliau itu yang memakan masa lebih dua jam itu mengupas tajuk Manhaj Al-Azhar Dalam Aqidah Dan Syariah telah berjaya memukau para hadirin yang datang membanjiri dataran tersebut.

Beliau memulakan perbincangan dalam Fekah. Menurut beliau, sejak dahulu telah terdapat 90 orang ulamak yang dikenali sebagai "mujtahid" dalam Islam. Antara mereka, Imam Syafie, Imam Hanafi, Imam Malik,Imam Ahmad bin Hanbal,Imam Laith bin Sa'ad serta ramai lagi. Namun akhirnya masyarakat dunia menerima empat dari kalangan mereka sebagai sumber Islam bagi mazhab Fekah dalam Islam iaitu empat Imam Mazhab yang masyhur. Begitu juga dalam bidang Aqidah, lahirnya aliran Asy'ari dan Matrudi. Begitu juga dalam bidang Hadis,diiktiraf enam kitab sebagai sumber bagi bidang Hadis antaranya Bukhari dan Muslim.

Presiden PMRAM bersama Syeikh UsamahMenceritakan kehebatan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar beliau menerangkan bagaimana Al-Azhar berjaya mengambil tempat di hati kalangan para ulamak silam dari pelbagai negara di dunia ini. Antara mereka yang mengembara dalam perjalanan menunaikan haji dari negara masing-masing,singgah seketika di Al-Azhar. Antara mereka hingga tinggal mepelajari di Al-Azhar beberapa tahun hingga dilantik sebagai Syeikh Al-Azhar. Untuk itu, beliau turut menerangkan kehebatan mereka hingga ada yang mahir dalam bidang lain selain ilmu agama. "Ada kalangan syeikh Al-Azhar dahulu pernah menulis buku tentang kejuruteraan,muzik,geografi dan sains,"ujar beliau.

Di Al-Azhar, terdapat 70 lebih ilmu agama Islam yang diajar termasuk Tafsir, Hadis,Usul Feqh dan pelbagai lagi.

Menurut Syeikh Usamah yang banyak mempelajari ilmu dari Mufti Mesir sekarang,Dr.Ali Jumaah, ilmu-ilmu yang berada di dalam tulisan tidak mencukupi tanpa pemegang amanah yang menanggung ilmu-ilmu tersebut.

Beliau juga menasihati para mahasiswa dan mahasiswi agar berpegang dengan manhaj yang dibawa oleh Al-Azhar kerana ia adalah terjaga. "Jika seorang dari kalangan ulamaknya terpesong dari manhaj ini,akan ada lagi berpuluh-puluh lagi ulamak lain yang akan mempertahankannya (manhaj tersebut),"

Majlis yang dikendalikan oleh mantan Presiden PMRAM, Ustaz Hairul Nizam Mat Husin tersebut turut membuka sesi soal jawab kepada para hadirin.
sumber : www.pmram.org