Friday, April 25, 2008




7 PERHENTIAN

Dalam meniti kehidupan sebagai mahasiswa Al-Azhar, aku terbayang pelbagai gambaran bagaimana masa depanku.Masa depan yang menjamin kesenangan dan kemewahan dalam setiap aspek perbicaraan. Mewah dalam ilmu pengetahuan , mewah dengan harta kesenangan, mewah dengan budaya dan budi pekerti dan yang lebih penting mewah dalam usaha keakhiratan. Kadang-kadang aku menangis keperitan merasa gundah dalam perjalanan kemahasiswaan.Tambahan bumi Mesir yang penuh dengan dugaan dan halangan.Kadang-kadang aku gembira diulik persekitaran kerohanian yang penuh biah ibadah dan bertapa ramainya alim ulama' serta ilmu keagamaan. Kadang-kadang aku sedih kepiluan tiada daya dan kekuatan dilabel dengan pelbagai tanggapan. Jiwaku kusut apabila lontaran cemuhan dan sindiran. Tapi aku mengerti itu asam garam dalam menuntut ilmu perjuangan. Mungkin semua insan bernama khadam ilmu pernah melalui tapi tidak diluahkan dan diceritakan. Diri yang lemah ini masih runsing memikirkan masa hadapan.Perasaan itu hidup dan terus terbayang dalam fikiran.

Al-Azhar satu nama yang gah di mata dunia. Gabungan ilmu turathi dan ilmu kotemporari lebih menampakkan Al-Azhar suatu universiti yang ulung lagi dipandang tinggi. Tapi aku sebagai anak didiknya mapukah aku berdiri menyatakan aku azhari?. Apa yang ada padaku ,waktuku dimana telah aku habiskan, aku sendiri keliru. Masa ibarat pedang yang mencincang tubuh manusia jika tidak memanfaatkannya. Ilmu Al-Azhar segak bergaya menjadi rujukan serata dunia. Tapi jika diajukan beberapa persoalan dan permasalahan mampukah aku sebagai azhari menjawabnya? Hari kian lama kian mendung dan akan menjadi gelap. Itulah ibarat hidupku yang kian hampir menamatkan pengajian di Al-Azhar. Meninggalkan Al-Azhar suatu kenangan yang tidak akan aku lupakan. Tetapi aku tidak mahu meninggalkan Al-Azhar dengan suasana mendung dan gelap. Aku mahu Al-Azhar terus bersinar di dalam kehidupanku. Aku akan kenantiasa merindui Al-Azhar. Aku mengetuk dahiku masa itu belum tiba. Penting pada ketika ini masih diberi kesempatan masa dan umur sebagai azhari perlu aku istimrar dan istiqamah berusaha mencari ilmu, mendalami ilmu agar mencapai matlamat yang diimpikan. Bukan hanya mimpi tetapi perlu aku realisasi.

Ilmu didada masih goyang dan tak saksama. Hadirku di pengajian talaqqi pun seperti cipsmore sekajap ada sekejap tiada. Bagaimana hendak lengkapkan ilmu asyik tertinggal pengajian sahaja.Guruku sentiasa berpesan "nak cari ilmu ni mesti berterusan" ungkapan ini kupahatkan dalam sanubariku ini. Satu lagi ucapan yang masih terngiang ditelingaku " jika ada jalan untuk mendapatkan ilmu jangan asyik mengatakan nantilah..nantilah, nescaya tidak Berjaya". Aku berfikir panjang dua kata hikmat buat diriku sebagai penuntut ilmu. Jika sekali terbayang ucapan itu, takkan terus tak berjaya? Monolog dalam diriku berbunyi. Aku cuba melarikan diri dari digelar atau tergolong dalam golongan yang apa yang guruku katakan itu. Tapi jiwaku masih tidak tenteram bagaimana pula jikalau diertikan azam?. Kita berazam untuk melakukannya. Setelah berfikir panjang dalam benak fikiranku aku cuba membuat kesimpulan. Apa yang perlu dipeningkan, yang penting teruskan pengajian dan pembelajaran.Apabila di Mesir dan Al-Azhar ini jangan jadikan pengajian sebagai mengisi masa lapang sahaja malahan perlu meletakkan pengajian adalah segala-galanya dan tujuan utama hadirnya diri ini ke bumi Anbiya'. Selain Pengajian, adalah perkara kedua, ketiga dan seterusnya.

Sejarah telah membuktikan mahasiswa keluaran Al-Azhar ketika hayatnya di Mesir tidak menggunakan masa dengan pengajian, pelbagai masalah dan perkara yang tidak selayaknya kepada azhari berlaku. Kenapa? Itulah kesempatan yang amat bernilai dan berharga. Aku cuba terus menyelami fikiranku, subjek atau bidang ilmu manakah yang masih kurang padaku. Apabila dikaji semula memang ternyata ada lagi bidang-bidang keilmuan yang belum aku kuasai. Aku akan terus mencorak perjalananku yang berbaki di muka bumi Al-Azhar ini. Ini yang terjadi, keluarga di kampung sudah tidak sabar menantikan kepulanganku tapi diri ini masih terketar-ketar takut tak mampu mencapai hasrat dan harapan keluarga dan masyarakat. Masa menjadi suntuk seolah-olah tidak mencukupi. Kalau difikirkan mengenai kewangan juga antara faktor hayatku di Mesir kian sampai penghujungnya. Aku tidak mahu fikir bab wang, jika difikirkan memang tidak akan selesai. Ada perkara yang lebih penting yang perlu aku aulakan itulah keilmuan. Kiniku tahu dimana lebih kurangku. Aku mesti teruskan berusaha mantapkan kelebihanku dan perbaiki kelemahanku. Aku bukan hendak berbangga dengan kelebihanku tetapi ianya adalah fitrah kejadian manusia yanag ada lebih dan kurangnya. Kuliah di Al-Azhar memang berbeza dengan sejarah kuliah dunia. Di Universiti setiap muhadarah hanya satu atau dua kelas tetapi apabila time imtihan satu bangunan digunakan.kan heran bin ajaib. Tapi inlah keunikan Al-Azhar. Mahasiswa Al-Azhar dah masak dalam keadaan begini jadi diorang ni taklah rasa pelik lagi. Aku bertanya dalam benakku dimanakah aku? Hadir tak aku ke kuliah? Tergolongkah aku dari golongan yang hadir ke kuliah? Atau tergolong dalam sebilangan arab yang datang hanya hari terakhir muhadarah ambil muqarar untuk imtihan. Aku menjawab sendiri tanpa menulis.

Keputusan imtihan juga faktor kejayaan tapi sesetengah azhari itu tidak diendahkan, yang penting pengajian kulit hingga kulit. Aku suka mengmbil kedua-duanya dan kedua-duanya adalah penting dan ada nilainya. Merenung jauh aku apabila berada dalam situasi begini. Aku cuba kuatkan dalam ingatan fatrah imtihan Al-Azhar tumpu 100% pada imtihan. Sesudah imtihan 100% dalam pengajian talaqqi itu keputusanku pada diriku. Perjalanan sebagai azhari jika direnung difikir memanglah memenatkan. Tetapi sesuailah dengan hasil yang bakal lahir kelak. Bak kata orang "bukan senang nak senang". Jadi susah dahulu, perit dulu untuk mencapai sesuatu yang bernilai dan tiada di tempat lain. Al-Azhar ini boleh aku ibaratkan mutiara yang hanya ada di dasar lautan. Tiada di tempat lain. Untuk mendapatkannya perlu selami dan tempuhi baru diperolehi. Aku rasa penat dah menulis, berat sudah jari jemariku yang melayang menulis,mata pensil pun kian tumpul , patutlah aku berhenti angan-angan aku ini disini tetapi kena ingat bukan hanya angan-angan illusi tapi sesuatu yang realiti.Sebelum itu inginku khabarkan mengapa aku memilih 7 perhentian sebagai tajuk kepada layangan tulisanku ini. Suatu perjalananku ke Iskandariah, untuk sampai ke Manarah dari Sidi Gabir aku telah melalui 7 perhentian. Mulai dari sinilah sempat kulukirkan monologku sebagai bahan bacaan.

Wednesday, April 23, 2008


Mahasiswa dan Masyarakat

Kehidupan di menara gading adalah suatu kelebihan kepada mahasiswa berbanding masyarakat.Setibanya di tempat pengajian selepas berjaya menamatkan zaman persekolahan di peringkat menengah terus digelar mahasiswa.Mahasiswa dalam ertikata sebenar seorang penuntut ilmu walau dalam apa jua bidang sekalipun.Jika hendak ditakrifkan mahasiswa dalam konteks dunia moden sekarang pelbagai maksud yang boleh kita letakkan dan sandarkan kepada mahasiswa.Adalah menjadi persoalan apakah kaitan mahasiswa diantara masyarakat? Apakah pentingnya mahasiswa terhadap masyarakat? Perlukah mahasiswa dikaitkan dengan masyarakat? Soalan demi soalan dilontarkan dan berhajat kepada jawapan dan rasional.Sukar untuk digambarkan jika kita melihat keadaan semasa antara mahasiswa dan masyarakat. Tetapi jika kita mengimbau sejarah silam memang akan mendapat kaitan yang jelas. Mahasiswa pada era sebelum kemerdekaan ketika itu amatlah diperlukan oleh masyarakat dan terbukti mahasiswa pada ketika itu memberi sumbangan yang bermakna kepada masyarakat.Lihatlah kesan yang terdapat di negara kita Malaysia, membangun dari segi kemajuannya sikap serta budaya yang diamalkan menampakkan impak yang positif dari mahasiswa dan masyarakat.

Satu persoalan kepada mahasiswa kini, apakah yang telah mahasiswa lakukan atau apakah sumbangan mahasiswa terhadap masyarakat di zaman mutakhir ini?tentu pelbagai jawapan dari mulut para cendiakawan yang akan diiktibar kelak.Dalam mencapai matlamat sebagai mahasiswa yang cemerlang dan terbilang, perlu ada beberapa perkara yang menjadi target setiap diri mahasiswa untuk berbakti kepada masyarakat.Masyarakat umpama mahkota yang pelu diletakkan sesuai pada tempatnya. Mahasiswalah penentu di mana tempat yang sesuai untuk meletakkan mahkota yang bernilai dan berharga ini.Ilmu didalam diri mahasiswa perlu disumbangkan dalam bentuk yang sesuai kepada masyarakat.Mahasiswa atau golongan yang dikatakan pemuda perlu memainkan peranan yang sebaik mungkin dalam membentuk masyarakat mengikut kemampuan yang ada. Mahasiswa antara insan yagn pelu dipersalahkan jika masyarakat masih goyah akidah, rosak pegangan , tiada moral dan akhlak serta gejala sosial yang semakin menjadi-jadi.Dimanakah mahasiswa yang mempunyai gelombang pemikiran cerdik pandai dalam meyelesaikan masalah di kalangan masyarakat? Adakah masih perlu berdiam diri tanpa melakukan apa-apa pun usaha untuk menjernihkan keadaan?.

Wahai mahasiswa dengarlah rintihan masyarakat yang ingin melihat suasana dan perjalanan kehidupan mengikut landasan yang tepat dan betul bertepatan dengan syariat yang diturunkan.Mahasiswa antara tenaga penggerak dan pelaksana yang perlu bersungguh-sungguh serta tekun dalam melangsaikan hutang terhadap masyarakat.Jika di fikirkan dari segi logikal pun golongan pemuda atau golongan pertengahan inilah yang mendokong dan memikul perjalanan golongan bawahan(kanak-naka) dan golongan atasan(orang tua) kerana golongan pertengahan ini mempnyai daya fizikal dan mental yang utuh dan kuat.Mahasiswa kini perlu menilai dan membuat penelitian apakah keadaan dan suasana yang perlu dilalui oleh masyarakat sekarang. Mahasiswa tidak selayaknya mengikut rentak masyarakat 100% bahkan mahasiswa adalah aset pengubah masyarakat dari buruk kepada baik dan dari baik kepada lebih baik.

Sebenarnya mahasiswa perlu bersatu walau dalam kelainan kerana ingin mencapai matlamat yang satu.Kebahagian dan kesempurnaan kehidupan masyarakat boleh dikatakan 80% ditangan mahasiswa.Kini, mahasiswa perlu mencorak atau membuat lakaran agar apabila terjun dalam masyarakat suatu hari kelak tidak kekok dan kelu di hadapan masyarakat yang hanya menantikan apa yang ingin dilakukan oleh insan yang bergelar graduan ini. Jadi, janganlah berdiam diri lagi walau masih dalam arena perjuangan menuntut ilmu dalam masa yang sama mahasiswa perlu mempunyai hala tuju dan corak yang bakal dipersembahkan kepada masyarakat kelak.Pastikan corak yang dilakar itu adalah sebaik-baik bentuk dan padanan warna yang sesuai dalam menawan hati masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama.

Mahasiswa adalah golongan matang dalam membahagikan antara yang baik dan yang buruk dalam membawa masyarakat.Jadi, perlulah gunakan kematangan ini dengan sebaik mungkin. Alangkah indahnya intelektual yang celik dalam urusan perjalanan kehidupan dunia dan kesenangan malahan juga celik dalam urusan kehidupan akhirat yang kekal abadi .Mahasiswa perlu bergabung dalam menjalankan misi dan visi yang amat bernilai dan berharga ini. Dunia ibarat tempat persinggahan para nakhoda kapal yang ditugaskan untuk mencari bekalan di tempat persinggahan ini.Maka mahasiswa ibarat mandub-mandub yang terlatih yang menjadi penunjuk jalan dan pemberi panduan kepada semua nakhoda agar mendapatkan bekalan-bekalan yang bermanfaat untuk dibawa ke tempat yang ditujui.Jika mandub-mandub ini tidak memainkan peranan mereka dalam memberi panduan dan jalan yang sewajarnya nescaya pelbagai masalah dan kepincangan yang timbul.Begitu juga peranan mahasiswa terhadap masyarakat dalam berjalan ke arah tempat yang bakal semua insan sampai. Melalui kisah yang digambarkan ini membawa seriu satu perkara yang boleh dikiaskan, Cuma diskopkan kepada mahasiswa yang memikul tanggungjawab yang besar dan perlu sedarkan diri. Jika didalami kata-kata hukamak ilmu jika tidak diamalkan seperti pohon yang tidak berbuah. Mahasiswa mempunyai mutiara ilmu didada dan wajib mempraktikkannya dan melaksanakannya.Pohon yang dikatakan tidak berbuah ini membawa maksud pokok yang meletihkan dan memberi kekecewaan kepada si petani.Keringat, susah payah , perit dalam usaha penanaman pokok ini dengan harapan membuahkan hasil tetapi malangnya ianya tidak berbuah.Inikan usaha yang memenatkan. Begitu juga penuntut ilmu yang bertahun mendalami ilmu, wang dan perbelanjaan yang banyak dihabiskan untuk membiayai pembelajaran tetapi tidak mengamalkan apa yang dipelajari adalah usaha yang sia-sia .

Aduhai mahasiswa janganlah jadikan ilmu yang diusahakan ini diabaikan atau disalahgunakan atau lebih malang lagi ianya tidak digunakan.Ayuh mahasiswa bangunlah,sedarlah bahawa masyarakat memerlukan khidmat kalian. Pelengkapkan diri dengan keilmuan dan pelbagai thaqafah didada.Jangan lagi leka, jangan lagi masih tidak tahu apa tujuan menuntut ilmu.Mahasiswa ingatlah bahawa masyarakat menanti suatu gelombang usaha agar berlaku perubahan dalam meniti kehidupan mengikut panduan dan garisan dari Rabul Jalil Jalla Wa 'ala.

Satu persoalan yang ditinggalkan agar para mahasiswa menjawab dengan seikhlas hati, adakah kalian sanggup melihat masyarakat terombang ambing tanpa tempat untuk berlindung? Sedangkan kalian mahasiswalah yang menjadi payung-payung kepada masyarakat.